11 Mac 2009

Anwar Kemuka Gagasan Ekonomi Pakatan Rakyat

Pada 8 Mac lalu, di dalam Pidato Kebangsaan yang disampaikan sempena Ulngtahun Pertama Pakatan Rakyat di MBSA SHah Alam, Datuk Seri Anwar telah mengutarakan gagasan ekonomi yang menjadi agenda Pakatan Rakyat. Berikut ialah petikannya:

Negara sekarang berhadapan dengan cabaran yang sugguh getir. Kita insaf dengan keadaan ekonomi yang menguncup dan kesan buruknya buat rakyat khususnya kalangan miskin. Pendekatan lama yang menangguk atau menggeruk di atas keperitan hidup rakyat miskin harus berubah. Pemerintah tidak wajar sekadar membantu meredakan sedikit beban rakyat tetapi tidak melepaskan mereka dari putaran ganas kemiskinan; supaya mereka mampu berdikari.

Cara yang diamalkan selama ini dengan memberikan bantuan kecil untuk mengekalkan kebergantungan "dependency syndrome" untuk tujuan politik murahan perlu ditamatkan. Pendekatan arus berubah kepada pinjaman kecil atau kredit mikroumpamanya buat masyarakat Melayu, bumiputera dan rakyat miskin lainnya. Kita perlu melakukan anjakan dalam dasar pembangunan desa dan pendekatan baru dalam menangani kemiskinan bandar.

Dasar membela rakyat termiskin dan terpinggir (affirmative action) bukanlah untuk menjadikan mereka khadam terhormat tetapi harus menjurus ke arah membebaskan mereka dari kebergantungan. Maka sungguh mengelirukan manakala kita diminta bersyukur dengan limpahan projek kecil tetapi dipadam kenyataan bahawa kos sara hidup dan jumlah pengangguran dijangka mencecah 400 ribu orang. Pertumbuhan ekonomi tidak terkesan di akhir tahun 2008. Ekspot januari 2009 mencatat kejatuhan paling teruk sepanjang 28 tahun (menguncup 32% berbanding tahun sebelumnya).

Kita kini harus menangani krisis ekonomi yang paling dahsyat dalam sejarah bangsa kita. Tetapi kita juga berdepan dengan rasuah, krisis undang-undang dan masalah hubungan kaum yang meruncing.

Segala krisis ini hanya boleh diselesaikan melalui agenda ekonomi yang mampu menggembeling seluruh kekuatan rakyat. Menangani kemelut ekonomi yang kian parah menuntut anjakan dari dasar lmbap yang tidak diyakini pelabur dan rakyat. Segala ransangan dana tidak akan berbekas tanpa perubahan sistem percukaian, perundangan dan pengagihan adil.

Justeru itu harus waspada dengan percubaan penguasa dengan menggunakan muslihat baru, memohon diredakan penggeseran politik dengan menumpukan kepada isu kegawatan ekonomi walhasil isu ekonomi tidak mungkin terlepas dari isu perencanaan ekonomi, ketelusan dan pertanggungjawaban.

Ini diperkukuhkan dengan perbicaraan yang dikaitkan dengan peralihan pimpinan negara. Peralihan malah tambah mencemaskan kerana terperangkap dengan dasar usang yang mencengkam kebebasan dan urusan ekonomi yang menjurus kepada rasuah dan penyelewengan.

Perhatikan saja hubungkait permasalahan ekonomi dengan pengurusan negara. Beban rakyat bertambah akibat kebocoran atau ketirisan - kos air, letrik dan tol meningkat. Ini juga berpunca akibat kecurangan dan perjanjian memihak kepada pemodal dan membebankan rakyat samada konsesi tol lebuhraya atau janakuasa bebas (IPP).


Tiada ulasan: