3 Sep 2013

Persempadanan Semula: Pakatan Rakyat Akan Lawan Habis-habisan


Pakatan Rakyat akan menentang sebarang cadangan mengadakan persempadanan semula kawasan pilihan raya selagi pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dilucutkan jawatan.

“Persempadanan semula yang dijangka berlaku tahun ini akan ditentang jika (pimpinan) SPR sekarang tidak dipecat,” kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

“Rakyat menuntut SPR sekarang dibuang. Tidak ada wibawa untuk menguruskan soal persempadanan yang dikhuatiri memberi kelebihan kepada Umno BN,” katanya kepada Keadilan Daily.

Tegasnya, SPR gagal mengendali Pilihan Raya Umum ke-13, terutama sikap berdolak-dalik dan helah bahawa kononnya dakwat kekal yang diguna akan kekal.

“SPR gagal kendali isu dakwat kekal dengan alasan yang berubah-ubah sehinggalah jari dicelup dalam PRK Kuala Besut,” katanya. Tambah Saifuddin, puluhan petisyen pilihan raya yang difailkan ke mahkamah bukti parti politik, termasuk Barisan Nasional tidak diyakini lagi.

“Banyak petisyen difailkan bukti kegagalan SPR,” katanya. -KD


Anwar ikrar tiada persempadan semula selagi SPR tidak ditukar


Persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak akan ada tahun ini selagi pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ada kekal.

Demikian ikrar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider.

Tahun ini, sampailah sudah masanya persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu dibuat.

Ini bermakna, bila-bila masa sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu membentangkan satu persempadanan pilihan raya baru ke dalam Dewan Rakyat.

Mengikut Perlembagaan, ia perlu dilakukan setiap lapan hingga 10 tahun sekali.

Kali terakhir ia dibuat pada tahun 2003 iaitu menjelang pilihan raya umum 2004.

Kini, masanya sudah melebihi 10 tahun. Oleh itu, SPR mahu tidak mahu terpaksa membuat persempadanan ini.

Baru-baru ini,Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya akan bermula hujung tahun ini selepas tertangguh pada 2011.

Beliau berkata proses itu akan dilaksana secara berperingkat dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

"Sepatutnya dibuat pada tahun 2011 tetapi memandangkan pada masa itu kami perlu menghadapi persediaan pilihan raya umum ke-13 (PRU13), maka kami menangguhkannya hingga PRU13 selesai," katanya melalui ceramah bertajuk Pengalaman SPR dalam mengendalikan persempadanan kawasan pada 2003 dalam seminar selepas pilihan raya anjuran Majlis Peguam Malaysia 8 Jun lepas.

Namun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tegas menolak SPR dengan kepimpinan yang ada untuk mengendalikan kerja-kerja ini.

"Kita menentang keras kerana tidak wajar SPR yang curang dengan rekod kotor dan jijik itu diamanahkan untuk melakukan sesuatu perubahan besar.

"Tidak munasabah dan kita akan tentang keras dan kita beri ingatan jangan sekali-kali mengadakan persempadanan ini oleh SPR yang ada," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sempadan kawasan pilihan raya adalah perkara yang termaktub di dalam perlembagaan. Untuk mengubah sesuatu perkara dalam Perlembagaan, ia perlukan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Dengan kedudukan BN yang hanya mempunyai majoriti tipis dalam Dewan Rakyat, amat sukar bagi SPR untuk melakukannya.

Sudah tercatat dalam sejarah pilihan raya di negara ini, Umno dan Barisan Nasional (BN) akan menang besar setiap kali selepas persempadanan pilihan raya dilakukan.

Yang terakhir adalah persempadanan pilihan raya yang dibuat pada tahun 2003. Ia dibuat selepas PAS menang besar dalam pilihan raya sebelumnya yang diadakan pada tahun 1999 akibat sokongan orang Melayu kepada PAS ekoran kes mata lebam Anwar.

Dalam persempadanan 2003 itu, kawasan pilihan raya di negara ini disusun sedemikian rupa dengan memasukkan orang-orang Cina dan India ke dalam kawasan yang selama ini dikuasai oleh pengundi Melayu.

Antara kesan yang paling ketara adalah kawasan Parlimen Kuala Kedah yang dimenangi Mohamad Sabu pada tahun 1999 dan Pokok Sena di Kedah yang dimenangi Datuk Mahfuz Omar.

Dalam persempadanan ini, negeri-negeri yang mendapat sokongan tinggi Umno mendapat tambahan bilangan kerusi yang sangat tinggi. Antaranya Johor yang menambahkan bilangan kerusi ke-26 kerusi Parlimen.

Hasilnya, pada pilihan raya 2004, BN menang besar. Sebahagian besarnya kerana persempadanan kawasan pilihan raya yang dibuat pada 2003.

Namun ia boleh dibuat ketika itu kerana BN mempunyai kuasa dua pertiga dalam Dewan Rakyat.

Pada tahun 2011, persempadanan tidak dibuat kerana BN tiada kuasa dua pertiga walaupun alasan Wan Ahmad adalah kerana hendak menghadapi pilihan raya.

Alasan ini bercanggah sekali dengan apa yang berlaku pada tahun 2003 apabila persempadanan kawasan pilihan raya dibuat setahun sebelum pilihan raya 2004.

Bagi Anwar, persempadanan ini bukan soal dua pertiga tetapi soal kredibiliti SPR itu sendiri yang mesti diselesaikan.

"Soal electoral roll pun tidak berjaya diselesaikan lagi sampai sekarang. Selesaikan itu dahulu," katanya merujuk kepada daftar pemilih yang dikesan mempunyai pelbagai masalah.

Baru-baru ini, SPR menukar setiausahanya, Datuk Kamarudin Mohd Baria namun bagi Anwar ia bukan jalan penyelesaiannya.

"Penyelesaian ini tidak boleh selesai dengan penukaran setiausaha yang bersara yang diganti dengan yang baru tetapi penukaran orang-orang kanan mereka.

"Sudah-sudahlah kepada yang berkhidmat, terima kasihlah. Bagilah kepada mereka pingat dan ganjaran kerana mereka berjasa kepada Umno... bagilah. Tetapi jangan korbankan prinsip kebebasan dan ketelusan ini," kata Anwar.

Kepentingan rakyat

Di sebalik faktor ketelusan, faktor kepentingan rakyat juga perlu dikaji dalam persempadanan kawasan pilihan raya ini.

Dengan kuasa yang ada, Pakatan Rakyat (PR) di negeri Selangor misalnya boleh berkata 'tidak' kepada cadangan persempadanan pilihan raya ini kerana mereka mempunyai kuasa dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri.

Namun, jika tidak dilakukan persempadanan ini bermakna, rakyat Selangor yang paling rugi kerana mereka tidak akan diwakili dengan adil. Selangor mempunyai 1,924,281 pemilih berdaftar dalam PRU-13 lalu tetapi bilangan Parlimennya hanya 22 sahaja berbanding Johor yang mempunyai 26 kerusi.

"Di Selangor sekarang, jumlah rakyat bagi setiap Parlimen dan DUN terlalu tinggi berbanding dengan negeri-negeri lain. Jika kawasan pilihan raya Parlimen atau DUN tidak ditambah di Selangor bermakna, rakyat yang rugi," kata Abdul Shakur Tahir, Setiausaha Pilihan Raya PAS Pusat.

Beliau berkata, Johor misalnya mempunyai banyak kawasan Parlimen berbanding rakyatnya bagi setiap Parlimen. Begitu juga kawasan Putrajaya yang hanya mempunyai 10,000 pengundi tetapi mendapat satu parlimen.

"Hulu Selangor misalnya mempunyai 74,939 pengundi dan Gombak mempunyai 106,747 pengundi.

"Sedangkan Segamat di Johor hanya mempunyai 39,807 pengundi manakala Pagoh hanya mempunyai 40,515 pengundi sahaja. Ini tidak adil kepada pengundi Selangor.

"Oleh itu, sesuatu perlu dibuat untuk mencapai kata sepakat dan hak rakyat diberi," kata Shakur yang sangat berpengalaman dalam kerja-kerja pilihan raya.

Ini bermakna, mahu atau tidak mahu persempadanan kawasan pilihan raya satu keperluan. Menjadi keperluan juga ia dibuat dengan adil dan bukan untuk memenuhi keperluan pribadi pihak-pihak yang berkepentingan.

Dengan suasana yang ada, mahu atau tidak, SPR buat pertama kalinya dalam sejarah perlu mendapat persetujuan PR untuk membuat persempadanan kawasan pilihan raya. Jika tidak, SPR akan gagal dan akan dilihat gagal dalam menjalankan tugasnya.
-TMI

Perhimpunan Seluruh Mesir Sempena 2 Bulan Penggulingan Mursi


Perikatan Kebangsaan Bagi Menyokong Kesahtarafan (Legitimasi) telah memanggil satu perhimpunan untuk diadakan pada hari ini (Selasa) bagi memperingati penggulingan Presiden Mohamed Morsi pada 3 Julai dua bulan lalu. 

Perhimpunan di seluruh negara juga telah diadakan pada hari Jumaat lepas oleh pakatan itu, dimana seorang anggota Ikhwan yang diterajui kumpulan pro- Morsi, dengan beberapa orang lain telah terlibat bertempur dengan pasukan keselamatan.

Protes dalam beberapa minggu kebelakangan ini semakin dipenuhi dengan keganasan oleh pasukan keselamatan.

Satu gelombang penangkapan tokoh-tokoh utama Ikhwan juga telah dilakukan untuk menyekat keupayaan kumpulan untuk menggerakkan rakyat, dengan sekurang-kurangnya 2,000 orang telah ditahan pada pertengahan Ogos di kem bantahan pro-Morsi di Kaherah, dimana lebih daripada 600 demonstran telah terbunuh.

Kementerian Kesihatan Mesir berkata lapan orang terbunuh dalam pertempuran hari Jumaat diantara kupulan pro-Morsi dengan pasukan keselamatan.

Perikatan Kebangsaan Bagi Menyokong Kesahtarafan menyeru umatnya dalam satu kenyataan lewat semalam untuk memberikan tekanan yang "kuat tetapi aman" dengan protes setiap hari bagi "menuntut Legitimasi dan mengutuk rampasan kuasa."

Morsi, yang berasal dari Ikhwan, telah diguling oleh tentera Mesir di tengah-tengah bantahan besar-besaran terhadap pemerintahan satu tahun beliau. Ditahan oleh tentera di satu lokasi rahsia sejak kejatuhannya Morsi kemudiannya dituduh dengan beberapa kesalahan.

Pada hari Ahad, pihak pendakwa raya telah merujuk beliau ke mahkamah diatas tuduhan menghasut pembunuhan para penunjuk perasaan, di dalam satu insiden yang berlaku pada Disember 2012. Empat belas anggota Ikhwan yang lain adalah defendan dalam kes yang sama, dan merupakan tuduhan pertama terhadap Morsi untuk pergi ke mahkamah setakat ini.

Pakatan itu tidak mengumumkan lokasi demonstrasi yang dirancang pada hari Selasa esok, yang akan diadakan di bawah panji-panji "rampasan kuasa itu adalah satu keganasan," tetapi berkata protes akan berlaku dalam semua dataran di seluruh negara, dengan sidang akhbar akan diadakan untuk mendedahkan "jenayah rampasan kuasa".



Kerajaan sementara Mesir pula telah melakukan tindakan keras ke atas Ikhwan Muslimin dan sekutu-sekutunya dengan menamakannya "kempen terhadap keganasan".

Rakyat Naik Minyak Apabila Najib Umum Kenaikan Harga Minyak


Ekoran kenaikan harga minyak, stesen minyak di Melaka dirempuh oleh pengguna yang 'naik minyak' ?

Dek kerana pengumuman mengejut oleh kerajaan Malaysia melalui Datuk Seri Najib lewat petang semalam ditambahkan sifat panik dikalangan rakyat Malaysia akhirnya menyebabkan berlakunya kemalangan di stesen minyak Shell Durian Tunggal Melaka.

Rakyat Malaysia terutamanya golongan pertengahan dan yang berpendapatan rendah merasakan kenaikan minyak 20 sen besar impaknya kepada mereka, mengambil kesempatan untuk mendapatkan penjimatan sebanyak mungkin dengan mengisi minyak di stesen minyak berdekatan sebelum bermulanya harga baru minyak RON 95 tengah malam tadi (3 September 2013).

Gambar kemalangan berjaya dirakam di stesen minyak SHELL Durian Tunggal berdekatan dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Kes berlaku disalah sebuah stesen minyak Shell di Durian Tunggal, Melaka malam tadi. Berita Semasa dimaklumkan kemalangan berpunca kerana :

* pemilik stesen minyak SHELL Durian Tunggal Melaka tidak mahu menjual minyak petrol RON 95 kepada pemilik kenderaan dengan alasan simpanan minyak mereka telah pun kering.

* Sedangkan, pelanggan di sekitar Stesen Minyak SHELL Durian Tunggal Melaka yang terus menunggu merasakan pemilik stesen minyak itu hendak mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan yang sekali ganda atas nama pengumuman kenaikan harga minyak 20 sen bagi (minyak RON 95 & diesel)

Lagi Gambar Kemalangan Stesen Minyak Shell Durian Tunggal Melaka Semak satu persatu gambar kemalangan di bawah ini untuk paparan yang lebih jelas lagi dalam format galeri gambar :
Disebabkan kerajaan Malaysia mengumumkan kenaikan minyak secara mendadak, stesen minyak pun didakwa mahu mengambil kesempatan akhirnya rakyat Malaysia pun turut “naik minyak” apabila salah satu pam minyak Stesen Minyak SHELL Durian Tunggal Melaka dirempuh & dilanggarnya. Apa respon balas anda pula? -beritasemasa

Kenapa naik sampai 20 sen, rintih rakyat

KLANG: Rakyat mengeluh dengan keputusan kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen mulai tengah malam tadi yang dilihat terlalu tinggi.

Tinjauan Harakahdaily di stesen minyak mendapati mereka bukan sahaja perlu menanggung kos tambahan setiap bulan bahkan ada juga yang mengambil keputusan untuk menggunakan motosikal untuk ke tempat kerja.

Anuar Ismail, 33, dari Meru merasakan kenaikkan tersebut terlalu besar untuk beliau yang sentiasa berulang dari rumah ke tempat kerjanya di Shah Alam.

"Memang berat untuk saya tanggung kos kenaikkan tersebut setiap bulan, 20 sen bukan satu kos yang rendah dan setiap bulan saya anggarkan kos tambahan untuk minyak sebanyak RM150 hingga RM200.

"Saya pasti kenaikkan ini juga akan menyebabkan barang-barang keperluan lain turut meningkat, rakyat akan terus terbeban,"
jelasnya.

Beliau juga terpaksa mengambil keputusan untuk menggunakan motosikal ke tempat kerjanya walaupun mengetahui risiko kemalangan amat tinggi bagi pengguna motosikal.

Kamarulzaman Adnan, 30, tidak menolak rakyat bukan sahaja perlu berhadapan dengan kenaikan harga minyak tetapi juga perlu bersedia dengan kenaikan barangan keperluan nanti.

Beliau berkata, kenaikan tersebut juga dilihat tidak seimbang dengan pendapatan rakyat di negara ini yang sentiasa tertekan dengan keadaan ekonomi.

"Amat terasa apabila kerajaan umum kenaikan minyak sebanyak 20 sen, perlu diingat kita bukan hanya menghadapi kenaikan 20 sen tetapi kita perlu bersedia dengan peningkatan kos barang keperluan.

"20 sen adalah satu jumlah yang besar, jika sebelum ini saya berbelanja sekitar RM500 sebulan untuk mengisi minyak, tetapi dengan harga baru ia akan meningkat RM650 sebulan," jelasnya.

Kamarulzaman turut mempersoalkan kenapa kerajaan perlu menaikkan sehingga 20 sen sedangkan kenaikan sebelum ini pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sekitar 5 sen sahaja.

"Kenapa kerajaan tidak dapat mengawal harga sekarang, kita tahu alasan kenaikan disebabkan oleh harga minyak dunia.

"Tetapi jika harga minyak kembali turun adakah kerajaan dapat menurunkan harga tersebut, dengarlah rintih rakyat yang hidup mereka semakin tertekan," kata beliau yang selalu berulang alik dari Shah Alam ke Bukit Kemuning.

Dalam pada itu Tommy, 17, merupakan seorang pelajar turut mengeluh apabila mengetahui keputusan kerajaan menaikkan harga minyak.

Beliau berpendapat jika sebelum kenaikan harga rakyat sudah menanggung beban sara hidup yang amat teruk, apatah lagi dengan harga yang telah diumumkan.

"Memang menyusahkan rakyat terpaksa menanggung beban sara hidup, kita sedia maklum dengan keadaan ekonomi dan kesukaran mendapat pekerjaan bagaimana mereka hendak tanggung kenaikkan kos tersebut.

"Kalau kerajaan itu perihatin mereka akan mendengar keluhan rakyat, sampai bila nak dibebankan hidup mereka. Saya sebagai pelajar turut merasakan bebanan ini.

"Kenaikan jika seimbang dengan pendapat rakyat itu bukan satu masalah, tetapi kita lihat kenaikkan ini amat jauh sekali dengan apa yang rakyat perolehi dengan apa yang mereka perlu belanjakan," jelasnya.

Dalam pada itu, tinjauan malam tadi mendapati beberapa stesen minyak di sekitar Klang mengalami kesesakan akibat pemandu yang mahu mengisi RON95 pada harga RM1.90 sebelum naik kepada RM2.10 selepas tengah malam.


Kenaikan harga minyak disambut dengan kemarahan

Ribuan rakyat Malaysia beratur di hampir semua stesen minyak malam tadi menjelang kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter, sekaligus menaikkan kemarahan orang ramai kerana pemotongan subsidi itu.

Kebanyakan pengguna yang ditemui di Lembah Klang menyalahkan Barisan Nasional (BN) kerana menaikkan harga bahan bakar itu di saat rakyat terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang makin meningkat dari hari ke sehari.

Janji Putrajaya untuk meningkatkan pemberian wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam bajet 2014 tidak memberikan kesan kepada penduduk Lembah Klang kerana kebanyakan daripada mereka tidak layak menerimanya dan bantuan itu hanya diterima sekali sedangkan kesan kenaikan itu terpaksa ditanggung setiap hari.

Pemberian wang tunai RM500 itu sebelum ini diberikan kepada lima juta isi rumah yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Shahrulnizam Mohamad, 29, berkata kenaikan harga minyak bermula tengah malam tadi dijangkakan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu kerana umumnya rakyat mengetahui Pakatan Rakyat (PR) akan menurunkan harga bahan bakar itu sekiranya berjaya menguasai Putrajaya.

"Kenaikan harga ini sangat memberi kesan kepada rakyat yang berpendapatan rendah kerana kenderaan seperti kereta memainkan peranan penting kepada orang awam. Dengan kenaikan harga barang ini, peniaga juga akan mengambil kesempatan menaikkan harga barang," katanya.

Sementara itu, K Primela, 35, berkata kerajaan tidak wajar menaikkan harga petrol sewaktu rakyat sedang terhimpit dengan kenaikan harga barang selepas musim perayaan.

"Kerajaan BN 'bijak' mengambil kesempatan selepas beberapa bulan pasca PRU13 untuk menaikkan harga minyak. Sebelum pilihan raya berjanji untuk tidak menaikkan harga minyak, tetapi kemudian lain jadinya. Apatah lagi kini rakyat sudah mula dibebankan dengan kenaikan harga barang. Gaji tidak pula catat kenaikan tapi harga minyak pula yang naik.


"Rakyat sendiri dapat perhatikan perbuatan buruk kerajaan BN apabila belum sampai setahun mendapat mandat menerajui negara, sudah tampil dengan pendekatan membebankan rakyat. Selepas ini, apa pula yang kerajaan nak naikkan,” katanya, ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Bandar Puteri, Klang malam tadi.

Lim Tai Boon, 46, yang ditemui di tempat sama juga melihat kenaikan harga minyak sebagai permainan politik kerajaan BN.

"Dulu sebelum pilihan raya janji tidak naikkan harga minyak. Lepas BN menang pilihan raya, lain pula ceritanya. Perkara ini memang tidak patut, menyusahkan rakyat," katanya.

Pengguna turut kesal dengan tindakan kerajaan menaikkan harga bahan bakar itu kerana tempoh makluman yang diberikan singkat untuk pengguna bertindak.

Tengku Zarul Tengku Lokman, 37, berkata kenaikan 20 sen seliter satu tindakan kejam yang dilakukan kerajaan kepada rakyat sambil menjangkakan harga barang keperluan asas lain turut meningkat ekoran kenaikan harga bahan bakar.

"Saya tahu mengenai kenaikan harga minyak ini melalui laman sosial Facebook. Media kerajaan melalui televisyen dan radio tidak komited dengan pengumuman itu. Esok bila sudah naik, baru hendak disiarkan. Itu yang jahatnya kerajaan enggan memaklumkan terlebih awal," katanya.

Amir Azri, 26, pula membayangkan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menaikkan kadar pemberian BR1M tidak praktikal kerana saguhati itu diberikan sekali sahaja tetapi perbelanjaan petrol adalah keperluan harian.

"Kadar BR1M yang diterima tidak setimpal dengan kenaikan harga minyak. BR1M adalah wang pembayar cukai, justeru wang rakyat juga yang digunakan untuk menjayakan wang saguhati itu," katanya kepada The Malaysian Insider.

Najib ketika mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel semalam, menjelaskan kerajaan ketika ini menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1 seliter bagi diesel, serta menegaskan kerajaan masih lagi memberi subsidi yang banyak kepada rakyat.

Beliau menjelaskan pengurangan subsidi sebanyak 20 sen ini bermakna kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80 sen seliter untuk diesel," kata Najib selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) di Pejabat Perdana Menteri.

Kali terakhir minyak petrol RON95 dan diesel naik pada tahun 2010, iaitu mengalami kenaikan sebanyak 5 sen seliter.

Najib menegaskan langkah itu bagi memastikan sasaran kerajaan mencapai defisit fiskal dalam lingkungan 3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2015 dan bajet berimbang menjelang tahun 2020.

Perdana menteri memberikan alasan langkah pengurangan subsidi itu bertujuan memastikan ia sampai kepada kelompok sasaran memandangkan subsidi ketika ini dinikmati oleh semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang kaya dan warga asing.

Katanya, Malaysia perlu melaksanakan sistem subsidi yang lebih mensasarkan golongan yang memerlukan dan mudah terjejas sambil menjelaskan kerajaan ketika ini terpaksa menanggung subsidi bahan api sebanyak RM24.8 bilion untuk tahun ini.

Bagi memastikan kelompok yang lebih memerlukan ini menikmati subsidi, Najib juga mengumumkan pentadbirannya berjanji akan meningkatkan pemberian wang tunai BR1M yang akan diumumkan semasa pembentangan bajet 2014 nanti.
-TMI

TIPU RAKYAT SELEPAS PRU: Najib Umum Kenaikan Harga Minyak!


Putrajaya hari ini mengumumkan langkah untuk menaikkan minyak petrol RON95 kepada 20 sen seliter, kata Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini.

Najib, yang juga merupakan Menteri Kewangan, berkata kenaikan tersebut akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

"Selepas berbincang, saya mengumumkan kenaikkan RON95 sebanyak 20 sen seliter," kata Najib.

Pada ketika ini, harga seliter RON95 adalah RM1.90 seliter. -TMI

ULASAN GB

Rakyat tidak serik-serik ditipu oleh Najib dan kerajaan UMNO BN.

Selepas mendapat kemenangan di dalam pilihanraya yang lepas, hari ini Najib mengumumkan kenaikan harga minyak petrol yang sepastinya akan mencerut leher rakyat.

Lingkaran ganas juga akan berlaku dimana kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan harga barang keperluan lain kerana kenaikan harga minyak petrol akan meningkatkan kos pengangkutan barang-barang-barang keperluan yang lain.

2 Sep 2013

Kenyataan Rasmi Kesatuan Ulama Sedunia Mengenai Krisis Mesir


Kenyataan Rasmi Pada 29 Ogos 2013 :: 22 Syawal 1434

Kenyataan terbaru yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Islam Se-Dunia mengenai isu Mesir iaitu :

1- Wajib memberikan bantu ke atas rakyat yang dizalimi dan haram bersetongkol bahkan cenderung kepada kezaliman yang berlaku.

2- Pihak media, wartawan dan segala saluran informasi dituntut melaporkan perkara yang benar dan tidak menyembunyikan hak dengan mengada-adakan pendustaan dan penipuan atas apa yang berlaku.

3- Para mufti dan alim ulama digesa agar kembali bertakwa kepada Allah dalam mengeluarkan sebarang fatwa. Fatwa yang berbentuk memberikan keizinan dan keharusan dalam menumpahkan darah adalah fatwa yang dikeluarkan oleh orang yang menjual agama dan mengundang kemurkaan Allah.

4- Umat Islam di seluruh dunia digesa untuk memberikan sebarang bantuan yang termampu dalam bentuk doa, qunut nazilah dan sebagainya terhadap umat Islam dan rakyat Mesir yang dizalimi lagi ditindas.

sumber : qaradawi.net

Dr.Mursi Akan Dihadapkan Ke Mahkamah Jenayah Dengan Beberapa Tuduhan Yang Direka


Lewat hari Ahad semalam, pihak Pendakwa Raya Mesir telah mengarahkan rujukan kes-kes terhadap Presiden Mohamed Mursi yang digulingkan, bersama 14 defendan lain ke Mahkamah Jenayah, untuk didakwa kononnya mereka bertanggungjawab kerana pertempuran yang berlaku pada Disember tahun lepas di hadapan istana presiden Al-Itihidaya di Kaherah, demikian lapor Al-Ahram. 

Sekurang-kurangnya sepuluh orang terbunuh dalam pertempuran yang berlaku di antara penyokong dan penentang Mursi Disember lalu selepas beliau mengeluarkan perisytiharan perlembagaan yang dikatakan kontroversi, yang dikritik oleh pembangkang sebagai tidak demokratik dan kononnya memberi kepada bekas presiden kuasa yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Empat belas defendan termasuk pemimpin Ikhwan Muslimin Essam El-Erian dan Mohamed El-Beltagy; pendakwah Islam Sheikh Wagdy Ghoneim; ketua biro kepresidenan Mursi, Ahmed Abdel-Ati, timbalan ketua pejabat presiden Asaad Sheikha; bekas penasihat presiden Ayman Abdel-Raouf ; dan juga ketua belia Islam Ahmed El-Mogheir dan Abdel-Rahman Ezz.

Menurut para penyelidik, Mursi dan kakitangan presiden telah dituduh mengarahkan para penyokong mereka untuk menyerang penunjuk perasaan yang berhimpun secara aman di luar istana bagi mengutuk perintah bekas presiden itu. Langkah itu dilaporkan datang selepas pengawal republikan dan kementerian dalam negeri enggan untuk mematuhi arahannya bagi menyerang para penunjuk perasaan.

Mursi telah dituduh menghasut para penyokong dan pembantu beliau untuk membunuh dan menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan aman berkenaan.

Ghoneim, El-Erian dan El-Beltagy pula telah dituduh menghasut kekerasan terhadap penunjuk perasaan melalui media.

Satu tarikh untuk perbicaraan segera terhadap defendan akan diumumkan tidak lama lagi.

Pada 26 Julai lalu, mahkamah tertinggi Mesir mengarahkan penahanan presiden digulingkan itu, yang telah tidak dibenarkan berkomunikasi dengan sesiapa juga sejak kejatuhannya pada 3 Julai, selama 15 hari sementara menunggu siasatan kerana disyaki bersekongkol dengan kumpulan Islam Palestin Hamas.

Mursi terus menerima tamparan apabila ditambah tahanan 15 hari lagi pada 19 Ogos sementara menunggu siasatan tuduhan terhadap penglibatannya dalam serangan di Itihadiya pada Disember 2012.

Akhbar Mesir Bohong, Jutaan Rakyat Berdemonstrasi Bukan Ratusan!

Para penganalisa politik Mesir menilai, pemberitaan akhbar-akhbar nasional pasca-revolusi umumnya "bias" terhadap Ikhwanul Muslimin, terutama di masa pemerintahan Muhammad Mursi dan pasca-penggulingannya.

"Berita-berita media massa Mesir pasca-revolusi sangat bias dan kadang tidak proporsional yang menjurus pada pembohongan publik," kata Mamdouh Sabri dalam dialog interaktif dengan jaringan television Al Sharq Al Awsat, Sabtu (31/8).

Sabri merujuk pada laporan akhbar Al Shouruq terbitan Sabtu yang menyebut, jumlah demontstran Ikhwanul Muslimin pada Jumaat (30/8), hanya ratusan orang di Kaherah dan sejumlah ibu kota wilayah.

"Padahal jumlahnya ratusan ribu, bahkan jutaan di Kaherah dan sejumlah provinsi lain. Ini pembohongan publik,"
tutur Sabri. Demonstrasi Ikhwanul Muslimin yang disebut 'Jumaat Syuhada' tersebut, digelar di beberapa tempat di Kaherah dan di berbagai provinsi dengan mengusung beberapa tema. Aksi demo di Kaherah membawa tema, 'Jumaat Pemulihan Revolusi', di Iskandariah bertema 'Jumaat Penentuan', dan di Fayoum dengan temanya 'Jumaat Penumbangan Pemerintah Kudeta'.

Demonstrasi sejuta orang itu menimbulkan aksi kekerasan di beberapa tempat di Kaherah yang mengorbankan belasan orang akibat pertempuran dengan pegawai keselamatan. Jumlah korban jiwa yang muncul di media massa setempat juga tidak sekata. Al Ahram, misalnya, menyebut enam orang terkorban, Al Watan lima orang, Al Masri Al Youm tiga orang, dan Al Naba menyebut 15 orang terbunuh.

Akhbar nasional Mesir umumnya dimiliki pemerintah. Warga Mesir menamainya 'Al Jaraid Al Qaumiyah'. Selain itu, sejumlah parti politik juga memiliki akhbar sendiri seperti Al Wafd dan Al Ahrar. Namun, Sejumlah akhbar milik kubu Islam diganggu pasca-penumbangan Mursi dalam kudeta tentera pada 3 Julai lalu.

ULASAN GB

Hal yang sama juga berlaku di negara kita. Agensi berita nasional, BERNAMA dan media arus perdana di Malaysia melaporkan hanya "ratusan" orang hadir di perhimpunan BERSIH. Puluhan orang saja hadir ceramah peimpin Pakatan.

Tetapi jika acara BN, maka angka yang puluh pun sudah melonjak jadi ribuan.

Tetapi hukum kebenaran dan keadilan akhirnya menyerlahkan UNDI POPULAR berpihak kepada Pakatan, bukan Barisan. Ertinya majoriti rakyat di negara ini memilih Pakatan Rakyat sekalipun akhbar-akhbar bercetak dan media massa eletronik begitu bias. Kerajaan UMNO BN yang ada kni hanya menang kerusi, bukan undi, satu kemenangan yang tidak bermaruah. Dan hukum kebenaran dan keadilan akan menetapkan kemenangan yang tidak bermaruah itu akan tetap tewas akhirnya! Pembohongan media massalah penyebabnya.

[VIDEO] Komposer & Penyanyi Malaysia Ciptakan Lagu ‘Rabia-Syria’


Kudeta yang dilakukan ke atas Presiden Mursi oleh tentera Mesir dua minggu lalu yang telah memakan korban yang tidak sedikit, begitupun yang terjadi di Syria kini dua tahun lalu, bagaimana Bashar Assad membunuh rakyatnya sendiri. Ya, Mesir dan Syria semakin hari semakin menjadi perhatian dunia.

Sebagai bentuk kepedulian terhadap saudara-saudara muslim di Mesir dan Syria, banyak demonstrasi yang dilakukan oleh ribuan orang dari pelbagai pelusok dunia — selain turun ke jalan memprotes pembantaian. Dan adalah Hafizh Hamidun, penyanyi berasal Malaysia bersama komposer Fedtri Yahya menciptakan lagu bertajuk Rabia-Syria sebagai bentuk kepedulian mereka atas Mesir dan Syria.

Berikut lirik lagu Rabia-Syria

Rabi’a…
Syria…
Ku kirim cinta

Sebagai umat
Syahadah yang sama
Hati terguris
Sebak di dada

Rabi’a…
Syria…
Saudara kita

Tak henti
Rintangan melanda
Dan mereka
Merana

Rabi’a…
Syria…
Ya Allah
Bantulah

يارب بالمصطفي
بلغ مقاصدنا
واغفر لنا مامضي

ياواسع الكرم
محمد سيد الكونين والثقليـن
والفريقين من عرب ومن عجمِ

Rabi’a…
Syria…
Ku kirim doa

Di hadapan
Di belakang
Teruskanlah berjuang

Rabi’a…
Syria…
Hapuslah derita

Rabi’a…
Syria…

Hujungnya di syurga

Tulisan asal: islampos


1 Sep 2013

Najib Masih Dijajah Jika Takut Bersuara Isu Di Mesir, Syria


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diibaratkan masih lagi dijajah sekiranya tidak bersuara terhadap kezaliman yang dilakukan ke atas umat Islam, khususnya di Mesir dan Syria, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu berkata, ia ekoran sikap Najib yang dilihat tidak tegas dalam menyatakan pendirian, termasuk isu penindasan membabitkan umat Islam di Palestin.

“Sehingga ini Perdana Menteri masih tidak berani untuk menyatakan pendirian tegas mengenai kezaliman yang berlaku walaupun telah beberapa kali didesak untuk berbuat demikian.

“Apakah setelah Amerika menyatakan pendirian mereka, baru Malaysia mahu menyokong. Ini tindakan yang tidak betul. Malaysia mesti berpendirian dan berprinsip tanpa menanti keputusan Amerika.

“Sekiranya ini pun Najib tidak berani, negara bukan saja mempunyai pemimpin yang tidak merdeka pemikiran mereka, tetapi masih lagi terjajah dan tidak bebas,” tegasnya ketika berucap di Taman Seri Wang, Sungei Petani semasa sambutan Ambang Merdeka dan majlis Rumah Terbuka KEADILAN Kedah, 30 Ogos lalu.

Amerika Syarikat baru-baru ini mengumumkan akan melakukan serangan terhadap Syria yang dipimpin diktator Bashar Al Assad ekoran dakwaan penggunaan senjata kimia yang menyebabkan lebih 600 rakyatnya terbunuh.

Pada masa sama, krisis di Mesir bagaikan tidak berkesudahan menyaksikan ribuan rakyatnya terkorban selepas junta tentera merampas kuasa daripada presiden yang sah dipilih oleh rakyat, Mohammad Morsi.

Dalam pada itu, Anwar turut meminta umat Islam yang cintakan keamanan supaya menghadiri Himpunan Solidariti Ummah pada 6 September ini di Stadium Shah Alam, Selangor.

“Kita mesti buktikan dengan pendirian yang tegas menentang kezaliman dan kerakusan kuasa yang berlaku seperti di Mesir, Syria dan Palestin,” tegas beliau.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ahli Parlimen Sungei Petani, Datuk Johari Abdul, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato Mohd Rashid Hasnon serta pimpinan Pakatan Rakyat negeri Kedah dan Pulau Pinang. -KD

[VIDEO] GRO Berbaju Kurung Ke Pesta Arak Merdeka


Sambutan ambang merdeka yang sepatutnya berlangsung dengan penuh kesyukuran dicemari pesta minuman keras oleh pengunjung beragama Islam di sebuah kelab hiburan di Jalan Sultan Sulaiman, di sini.

Lebih memalukan apabila ia berlangsung dalam keadaan pengunjung wanita berpakaian baju kurung dan kebaya dipercayai sempena tema ‘rumah terbuka Aidilfitri’ anjuran kelab berkenaan.

Ketika serbuan dijalankan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), kira-kira jam 2 pagi itu, rata-rata pengunjung sedang asyik berhibur bersama ‘bintang-bintang’ ternama dalam kalangan pengunjung tetap kelab berkenaan, yang menyertai pertandingan karaoke di situ.

Pada awalnya, serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu berlangsung aman, bagaimanapun beberapa pengunjung gagal memberi kerjasama membuatkan pihak penguat kuasa Jawi terpaksa mengambil masa lebih dua jam sebelum dapat menyelesaikan ketegangan yang berlaku.

Beberapa petugas media juga menjadi ‘mangsa’ sasaran pengawal kelab yang bertindak mengarahkan semua rakaman dipadamkan sambil mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Operasi Jawi, Mohamad Rais Rasid berkata, dalam serbuan berkenaan, seramai 30 pengunjung yang disyaki meminum minuman keras, ditahan untuk siasatan lanjut manakala 20 lagi diberi notis perintah hadir kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

“Setiap tahun kita laksanakannya tetapi kali ini agak mencabar kerana membabitkan pengunjung yang terlalu ramai dalam kalangan Melayu Islam dan itu amat menyedihkan kerana tempat ini tidak sesuai untuk sambut merdeka. Ada hidang arak serta pencampuran lelaki dan perempuan,” katanya selepas operasi berkenaan.

Operasi bermula jam 12 tengah malam itu berakhir kira-kira jam 4 pagi melibatkan 71 anggota penguat kuasa Jawi dan juga polis.

Mohamad Rais berkata, siasatan turut dijalankan ke atas penjual arak yang mana jika sabit salah boleh membawa didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, dalam operasi sama, dua remaja berusia 20 tahun ditahan kerana berkhalwat hasil serbuan ke atas sebuah hotel bajet di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras.

Pihak penguat kuasa Jawi terpaksa menunggu kira-kira empat minit sebelum pintu dibuka dan mendapati remaja perempuan itu cuba menyembunyikan diri dalam tandas bilik hotel dalam keadaan separuh bogel.

Kedua-duanya dibawa ke Jawi sebelum diikat jamin dan kes disiasat mengikut seksyen 27 kerana berkhalwat dan jika sabit salah denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya. -SH


[BERGAMBAR] Parlimen Britain Tolak Serang Syria Seiring Demonstrasi Rakyatnya


London: Perdana Menteri Britain, Encik David Cameron, kelmarin gagal dalam undian terhadap usul yang dibentangkan di Parlimen bagi menyertai rakan sekutunya untuk menyerang Syria.

Seramai 285 Anggota Parlimen (AP) menentang sementara 272 undi menyokong usul ketenteraan sebagai tindak balas ke atas tindakan rejim negara itu menggunakan senjata kimia.

Undian Parlimen Britain itu melambangkan pandangan rakyatnya yang sudah serik dengan sebarang penglibatan ketenteraan di luar negara selepas penglibatan berlarutan tentera mereka di Iraq sebelum ini.

Encik Cameron berkata meskipun beliau percaya senjata kimia memang digunakan di Syria pada minggu lalu, beliau tetap menghormati keputusan Parlimen Britain.

Apabila ditanya oleh pemimpin Parti Buruh, Encik Ed Miliband, jika beliau berjanji tidak membelakangkan kehendak Parlimen, Encik Cameron berkata:

"Saya boleh berikan jaminan. Saya memang berpegang kuat pada pendirian mengenai perlunya respons tegas ekoran penggunaan senjata kimia tetapi saya juga percaya perlunya menghormati kehendak Dewan Parlimen," katanya.

Awal minggu ini, Encik Cameron dilihat bersedia menyertai Washington untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap rejim Presiden Bashar al-Assad berhubung penggunaan senjata kimia.

Kelmarin, Encik Assad berikrar negaranya akan terus mempertahankan diri bagi menentang sebarang serangan Barat.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Chuck Hagel, yang berada di Manila semalam, berkata sebarang keputusan yang bakal diambil oleh Presiden Barack Obama dan pentadbirannya akan berdasarkan rundingan dengan negara-negara sekutu lain.

"Pendekatan kami ialah mencari pakatan antarabangsa yang akan bertindak bersama-sama," kata Encik Hagel.

Menurutnya lagi, Washington menghormati pendirian Parlimen Britain yang menolak penglibatan dalam sebarang serangan ke atas Syria.

"Setiap negara mempunyai tanggungjawab untuk membuat keputusannya sendiri. Kami akan terus berbincang dengan Britain serta negara-negara sekutu yang lain. Perbincangan itu akan melibatkan apa langkah selanjutnya yang harus diambil bersama sebagai respons kepada serangan kimia di Syria," katanya.

Kelmarin, para pegawai pentadbiran Amerika bagaimanapun akur pihaknya tidak cukup maklumat untuk membuktikan bahawa Encik Assad yang secara peribadi mengarahkan penggunaan senjata kimia.

Beberapa negara sekutu Amerika sebelum ini telah memberi amaran bahawa sebarang tindakan ketenteraan tanpa kebenaran Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya akan memburukkan keadaan di Syria. - AP, AFP, Reuters.

Seorang Kakitangan Awam Maut Terjun Hotel


Selayang: Seorang kakitangan awam terbunuh selepas terjun dari tingkat dua sebuah hotel di Selayang Point, di sini, selepas premis berkenaan diserbu anggota penguat kuasa dalam Op Zina, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, mangsa yang berusia 43 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang hotel selepas panik dengan kehadiran pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan ke biliknya.

Operasi diketuai penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu turut dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak sempena malam ambang kemerdekaan.


Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa yang panik dengan kehadiran anggota penguat kuasa nekad terjun dari tingkat dua hotel.

“Ketika serbuan, mangsa dipercayai berdua-duaan bersama teman wanitanya di bilik hotel. Akibat terjatuh dari ketinggian itu, mangsa cedera parah di kepala,” katanya. -HM

Pemerintah Mesir Mengganas: Tangkap Empat Wartawan Al Jazeera

Empat orang wartawan dari stesyen television Al Jazeera yang berpejabat di Qatar diberitakan telahditahan di Ibu Kota Mesir, Kaherah. Penangkapan mereka difahamakan akibat pemerintah Mesir mulai kurang senang dengan pemberitaan waratawan yang dilihat tidak memihak pemerintah Mesir.

Keempat orang diketahui adalah koresponden Wayne Hay, juru kamera Adil Bradlow dan dua orang produser Russ Finn dan Baher Mohammed. Mereka ditangkap pada Selasa 26 Ogos 2013, tetapi pihak Al Jazeera menyatakan, penangkapan berlangsung pada Rabu 27 Ogos 2013.

Menegenai penangkapan staf Al jazeera pihak berkuasa menjamin keselamatan juga kesihatan seluruh jurnalis. Pada akhirnya pemerinta Mesir memenuhi permintaan pembebasan para jurnalis. Demikian diberitakan The Guardian, Jumaat (30/8/2013).

Penangkapan keempat jurnalis ini dilakukan hanya seminggu setelah penyerbuan dan penangkapan staf jaringan television Al Jazeera di Mesir, Mubahser Misr. Pemerintah Mesir melabelkan Mubahser Misr sebagai ancaman bagai keselamatan nasional dan mereka perlu menutup pejabat berita ini.

Selain itu Menteri Dalam Negeri Mesir juga menuduh Al Jazeera dalam pemberitaannya terlalu condong membela Morsi. Menanggapi tuduhan dari pemerintah Mesir, stesyen television berita ini telah menyangkal semua tuduhan.

Mereka juga menyebut Pemerintah Mesir memang merencanakan kempen menentang Al-Jazeera.

31 Ogo 2013

Penyokong Dr.Mursi Kembali Berhimpun Semalam - updated


Ribuan penyokong Ikhwanul Muslimin dilapor meneruskan protes terhadap kerajaan sementara Mesir yang disokong tentera di seluruh negara, semalam.

Aksi yang dilakukan para pendemo ini nampaknya tidak menghiraukan serauan dari pihak keselamatan Mesir yang akan menggunakan cara kekerasan bila demonstrasi berakhir dengan kekecohan.

Menurut AFP, Sabtu (31/8/2013), penangkapan dari beberapa pemimpin Ikhawnul Muslimin (pendukung Morsi) pada Jumaat 30 Ogos merupakan yang terbesar sejak peristiwa demonstrasoi massa turun ke jalan dua minggu lalu.

Jurucakap pegawai berkata kepada Al-Jazeera, protes berlaku di beberapa kawasan termasuk Nasr City, Mohandessine, Giza, Zagazig, Menuofia dan Dakahlia dalam kawasan Delta Nil.

"Perhimpunan menuntut keadilan ke atas presiden digulingkan, Mohammed Mursi, turut melibatkan kawasan Shoubra al-Kheima, Qalyobua iaitu kampung halaman Mursi," katanya.

Protes yang terbaru itu melibatkan tindakan peserta yang hanya duduk secara aman sebelum solat Jumaat dipercayai bertujuan menguji kesabaran pihak berkuasa terhadap mereka.

Asa yang berjalan sambil meneriakkan nyanyian seperti "ayuh bangun, jangan takut, tentera harus pergi," dan nyanyian lainnya seperti "menteri dalam negeri Mesir adalah preman dan negara kita (Mesir) adalah Islam bukan sekular."

Susulan kebangkitan protes, pasukan keselamatan Mesir bertindak menutup semua jalan utama ke masjid Raba Al-Adaweya, termasuk laluan ke Dataran Tahrir, selain menutup bangunan kementerian pertahanan serta balai polis Al-Azbakia.

Kementerian Dalam Negeri yang melabelkan penyokong Mursi sebagai penimbul huru-hara dalam satu kenyataan berkata, pasukannya akan tetap bertegas dengan sebarang perbuatan mengancam keselamatan negara selain polis berhak menggunakan kekerasan dalam mempertahankan harta awam dan persendirian.

TERKINI:

Enam orang terbunuh dan 190 orang cedera dilaporkan semalam setelah berlaku pertempuran diantara piha keselamatan dan [ara demonstran.

Lima orang, termasuk dua orang pegawai keselamatan dilaporkan turut terbunuh di Kaherah. Sementara satu orang lainnya terkorban di kota pesisir.

Kenyataan rasmi tersebut dilaporkan oleh Menteri Kesihatan Mesir.

Menurut media tempatan , demo pada Jumaat semalam merupakan demo yang lebih besar dari demo Jumaat minggu lalu. Pihak Ikhawanul Muslimin juga telah menyiapkan taktik baru dalam menggerakkan aksi demo.

Strategi Ikhwanul Muslimin adalah menjauhi tempat utama kota Kaherah disebabkan pihak polis sudah berjaga dengan kereta kebal dan berlapis-lapis pasukan keselamatan.

Mayat Bayi Dalam Loji Kumbahan UiTM Dungun

Warga kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, dekat sini gempar apabila mayat seorang bayi ditemui dalam loji kumbahan berdekatan Kolej Redang, dekat sini, pagi semalam.

Mayat bayi yang cukup sifat itu ditemui terapung dalam keadaan tertiarap tanpa pakaian di permukaan loji kumbahan oleh seorang juruteknik syarikat kontraktor, 39, yang ingin memulakan kerja pembersihan di kumbahan tersebut.

Mayat bayi perempuan yang mungkin baru dilahirkan itu dipercayai agak lama dan berkemungkinan masuk ke dalam loji kumbahan itu melalui saluran najis berukuran kira-kira 20 sentimeter dari tandas asrama.

Pemeriksaan awal mendapati bayi terbabit mengalami kecederaan pada bahagian badan, lengan dan tengkorak kepala pecah dan ia berkemungkinan berusia dalam tempoh 48 jam.

Siasatan awal polis mendapati kawasan kejadian berpagar dan dipercayai tidak berkunci semasa kejadian.

Mayat berkenaan kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hosital Dungun untuk pemeriksaan lanjut serta dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ismail Abdullah ketika mengesahkan kes berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci daripada pelbagai sudut termasuk melihat rakaman kamera tertutup (CCTV) serta menyoal siasat beberapa saksi yang boleh dikaitkan dengan kes berkenaan.

Menurut Ismail, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan jika sabit kesalahan mereka yang terlibat boleh dikenakan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Rektor UiTM Dungun, Profesor Madya Dr Abdol Samad Nawi ketika dihubungi berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan dan menyerahkan kes itu kepada pihak polis.

"Kita tak boleh komen apa-apa, biarlah polis siasat dahulu kes ini kerana ia adalah kes polis,” katanya. -SH