1 Sep 2013

Najib Masih Dijajah Jika Takut Bersuara Isu Di Mesir, Syria


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diibaratkan masih lagi dijajah sekiranya tidak bersuara terhadap kezaliman yang dilakukan ke atas umat Islam, khususnya di Mesir dan Syria, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu berkata, ia ekoran sikap Najib yang dilihat tidak tegas dalam menyatakan pendirian, termasuk isu penindasan membabitkan umat Islam di Palestin.

“Sehingga ini Perdana Menteri masih tidak berani untuk menyatakan pendirian tegas mengenai kezaliman yang berlaku walaupun telah beberapa kali didesak untuk berbuat demikian.

“Apakah setelah Amerika menyatakan pendirian mereka, baru Malaysia mahu menyokong. Ini tindakan yang tidak betul. Malaysia mesti berpendirian dan berprinsip tanpa menanti keputusan Amerika.

“Sekiranya ini pun Najib tidak berani, negara bukan saja mempunyai pemimpin yang tidak merdeka pemikiran mereka, tetapi masih lagi terjajah dan tidak bebas,” tegasnya ketika berucap di Taman Seri Wang, Sungei Petani semasa sambutan Ambang Merdeka dan majlis Rumah Terbuka KEADILAN Kedah, 30 Ogos lalu.

Amerika Syarikat baru-baru ini mengumumkan akan melakukan serangan terhadap Syria yang dipimpin diktator Bashar Al Assad ekoran dakwaan penggunaan senjata kimia yang menyebabkan lebih 600 rakyatnya terbunuh.

Pada masa sama, krisis di Mesir bagaikan tidak berkesudahan menyaksikan ribuan rakyatnya terkorban selepas junta tentera merampas kuasa daripada presiden yang sah dipilih oleh rakyat, Mohammad Morsi.

Dalam pada itu, Anwar turut meminta umat Islam yang cintakan keamanan supaya menghadiri Himpunan Solidariti Ummah pada 6 September ini di Stadium Shah Alam, Selangor.

“Kita mesti buktikan dengan pendirian yang tegas menentang kezaliman dan kerakusan kuasa yang berlaku seperti di Mesir, Syria dan Palestin,” tegas beliau.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ahli Parlimen Sungei Petani, Datuk Johari Abdul, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato Mohd Rashid Hasnon serta pimpinan Pakatan Rakyat negeri Kedah dan Pulau Pinang. -KD

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sistem pemerintahan sekarang pun masih ikut penjajah.

Tanpa Nama berkata...

Penasihat kata NAJIB kena ikut arahan, kalau tidak APCO akan tarik diri.