11 Dis 2010

Perbetulkan PKR Segera Sebelum Rakyat Tolak Pakatan Rakyat

Konflik dalaman PKR menghakis sokongan terhadap PR

PETALING JAYA: Konflik dalaman, masalah imej dan indentiti Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini dijangka menghakis sokongan pengundi terhadap Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Demikian menurut pandangan Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Abu Hassan Hasbullah ketika ditemubual oleh FMT sejurus beliau kembali dari Vietnam semalam.

"Tidak dapat dinafikan sama sekali secara persepsinya dan diperkuatkan lagi oleh data dari kajian yang dibuat oleh UM baru-baru ini, berlaku kemerosotan kepercayaan politik terhadap PR hasil dari masalah imej, indentiti dan konflik internal PKR sewaktu proses pemilihan parti itu baru-baru ini.

"Ini paling ketara ketika berlangsung proses pemilihan pucuk pimpinan baru-baru ini. Ia lebih mendatangkan kesan apabila pemimpin-pemimpin PKR termasuk sebahagian calon bertanding tidak bijak memahami media, tidak bijak dalam mengatur perhubungan awam dan juga dari segi komunikasi.

"Ini telah mewujudkan gambaran corak atau fenomena yang mereka berkelahi sesama sendiri dan tidak mempunyai konsensus secara pragmatik, secara praktikal terhadap visi yang hendak mereka bawakan," terang beliau.

Menurut satu kajian yang dijalankan di dua negeri yang dikuasai PR, Kuala Lumpur dan Selangor oleh Pusat Demokrasi dan Pengajian Pilihan Raya UM (Umcedel) baru-baru ini, beliau berkata, "Kajian itu mendapati 52 peratus daripada 1,124 responden berkata konflik dalaman PKR telah menghakis keyakinan terhadap kepimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim manakala 49 peratus pula berpendapat mereka kecewa dengan PKR.

Berdasarkan keputusan bancian itu lagi, sebanyak 43 peratus pula berkata perkembangan tersebut akan mempengaruhi keputusan mereka sama ada akan meberikan undi mereka kepada PKR atau sebaliknya pada pilihan raya akan datang.

PKR masih ada ruang

Bagaimanapun menurut Prof Abu Hassan lagi, keputusan tersebut masih bergantung kepada perkembangan semasa dan beliau tidak menolak kemungkinan PR, khususnya PKR sendiri masih mempunyai ruang untuk membaiki keadaan sebelum ketibaan PRU 13 nanti.

"Tetapi sejauh mana kemerosotan itu berlaku masih lagi dalam peringkat perkembangan. Kemungkinan ianya akan berubah atau sebagainya bergantung kepada demografi pengundi terbesar iaitu yang berumur 21 hingga 40 tahun yang kebanyakannya menyokong pemikiran alternatif iaitu PR.

"Jadi selagi tidak ada data demografi yang mewakili kelompok ini secara detail, masih ada ruang untuk penambahbaikan bagi menarik semula kepercayaan tersebut," ujar beliau lagi.

Sebelum ini dalam perkembangan bancian yang dijalankan oleh Umcedel tersebut, Anwar mendakwa laporan media yang memburukkan nama parti dan imejnya tidak mendatangkan kesan. -FMT

Ulasan GB

Apa pun alasannya, PKR perlu dibersihkan akibat daripada konflik dalaman mereka ekoran Pemilihan parti yang tercemar dengan pelbagai kes penipuan.

Ia memerlukan keberanian, ketelusan dan kejujuran untuk mengakui fakta bahawa insiden penipuan itu MEMANG BERLAKU dan justerunya, PKR telah menjadi bebanan kpada Pakatan Rakyat.

Benar tugas utama kita ialah menumbangkan UMNO BN, tetapi kita juga tidak mahu apabila kita menjadi pemerintah kita juga melakukan kerja-kerja yang UMNO BN telah lakukan terhadap rakyat.

Kita tidak mahu kemenangan sementara, yang apabila kita menang kita dijatuhkan semula akibat dari kegilaan untuk berkuasa dan merebut Putrajaya.

Rakyat kini amat kritikal dan sebarang penipuan walau sekecil mana akan tetap terbongkar jua.

Tidak ada pemimpin di atas dunia, walau pandai dan bijak macam mana sekalipun yang mampu terlepas dari hukuman rakyat, hanya lambat atau cepatnya sahaja.

Dan sesuatu jawatan yang dimenangi secara tidak betul (baca: haram) akan tetap hilang keberkatan dan pertolongan dariNya, malah akan terus menerima laknat dari Allah dan para malaikatNya disamping kutukan dari rakyat jelata sampai akhir dunia.

Suami Cekup Isteri Bawa Lelaki Lain Ke Rumah


Suami cekup isteri curang

ALOR SETAR: Geram kerana isterinya berlaku curang, seorang suami bukan saja nekad menghubungi Pejabat Agama Daerah Langkawi (Padal), tetapi turut menampar isterinya yang berusia 36 tahun bersama pasangannya berusia 50 tahun ketika mereka ditahan pihak berkuasa itu kerana disyaki berkhalwat di sebuah rumah di Kuah, Langkawi, awal pagi semalam. Gambar fail

Suami berusia 40-an itu dikatakan sudah hilang sabar dengan tindakan isterinya itu yang kerap membawa lelaki lain pulang ke rumah sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan, dia dan isterinya kini dalam proses perceraian dan tinggal berasingan sejak beberapa bulan lalu dan ia berkemungkinan berpunca akibat sikap wanita itu yang berlaku curang di belakang suaminya.

Menurut sumber Padal, pihaknya yang menerima maklumat daripada lelaki terbabit kira-kira jam 4 pagi bergegas ke lokasi dan mendapati keadaan rumah itu gelap dan pintu berkunci dari dalam.

Beliau berkata, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki berusia 50 tahun yang berseluar panjang dan tidak berbaju membukanya lalu membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Lelaki itu memberi alasan terpaksa membuka baju kerana basah kuyup akibat hujan ketika dalam perjalanan ke rumah wanita itu dengan menunggang motosikal.

“Hasil pemeriksaan menemui wanita terbabit yang memakai baju dan seluar ketat berada di dalam rumah itu dan dalam keadaan takut selepas mendapati suaminya turut berada bersama kami,” katanya.

Sumber itu berkata, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti hubungan mahram atau suami isteri menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat.

Katanya, ketika serbuan, seorang kanak-kanak perempuan dipercayai anak pasangan suami isteri itu yang berusia lapan tahun turut berada dalam rumah terbabit dan sedang nyenyak tidur.

“Suspek lelaki yang ditahan itu memberi alasan dia hanya menganggap wanita itu sebagai adik sendiri dan kerap menghantar makanan serta memberi wang kepadanya.

“Bagaimanapun, alasan itu tidak diterima kerana ketika serbuan dilakukan, pintu rumah itu berkunci dari dalam sehingga menimbul syak mereka melakukan maksiat,” katanya.

Difahamkan, lelaki itu sudah mempunyai isteri serta tiga anak tetapi kerap ke rumah ‘adik angkatnya’ itu untuk berkongsi kasih sayang antara abang dan adik.

Lebih malang lagi apabila suri rumah itu dan pasangannya terpaksa bermalam dalam lokap pada malam itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi selepas tiada penjamin untuk menjamin mereka di pejabat agama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali. -hm

Dakwaan pecah Amanah RM1.5 Juta, Suami Isteri Mengaku Tidak Bersalah

Suami-Isteri Didakwa Pecah Amanah RM1.5 Juta

GEORGE TOWN: Bekas ketua pusat khidmat pelanggan sebuah bank dan suaminya telah dicaj di Mahkamah Sesyen di sini Jumaat atas dakwaan pecah amanah melibatkan wang berjumlah lebih RM1.5 juta. Aishah Mohamed Rose, 49 dan Johari Ahmad, 53, dari Kangar, Perlis, mengaku tidak bersalah dan meminta supaya dibicarakan.

Mereka dituduh melakukan pecah amanah melibatkan RM1,578,191 milik Bank Muamalat Bhd Cawangan Universiti Sains Malaysia antara 23 Februari dan 7 Disember 2009.

Timbalan Pendakwa Raya, S. Devanandan pada mulanya mencadangkan agar mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin ke atas setiap seorang daripada mereka memandangkan ini adalah satu kes pecah amanah yang serius.

Beliau juga meminta mahkamah menahan pasport antarabangsa kedua-dua tertuduh itu.

Bagaimanapun peguam Jagdeep Singh Deo berhujah walaupun anak guamnya didakwa pecah amanah melibatkan satu jumlah wang yang besar tetapi sebenarnya tidak ada satu formula yang jelas bagaimana untuk menetapkan jumlah wang jaminan.

“Kedua-dua anak guam saya hanya mempunyai M50,000... dan mereka boleh menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah," katanya.

Malah katanya, kedua-dua tertuduh juga telah memberikan kerjasama kepada polis sepanjang tempoh penyiasatan dilakukan.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Azizkemudiannya menetapkan wang jaminan kepada RM50,000 seorang 17 Januari 2011 untuk kes mereka didengar.

Jika didapati bersalah kedua-dua suami isteri itu berhadapan dengan hukuman 20 tahun penjara, sebatan dan denda. -mstar


Sazali Sumbang Pingat Emas Acara Bina Badan

Mr Universe Sazali Abdul Samad menang pingat emas pertama Malaysia di Muscat

KUALA LUMPUR - Juara Mr Universe enam kali, Sazali Abdul Samad, menyumbang pingat emas pertama Malaysia melalui acara bina badan kategori lightweight 70kg pada Kejohanan Pantai Asia Kedua Muscat 2010 yang berlangsung di Qurum National Park Amphitheater, Oman, malam semalam.

Aksi Sazali yang penuh berkeyakinan nyata menjadi tumpuan penonton dan mendapat tepukan gemuruh ketika melakukan persembahan gaya bebas dengan latar belakang muzik yang menggabungkan tema filem 'Robocop' dengan runut bunyi filem klasik lakonan Arnold Schwarzenegger, 'Conan the Barbarian'.

"Saya sangat gembira bertanding buat julung kali dalam Kejohanan Pantai Asia dan seterusnya menjuarai gelaran ini.

"Ini merupakan gelaran terbaru sebagai tambahan kepada kejuaraan yang telah saya raih sepanjang karier dalam sukan bina badan dan saya rasa sungguh teruja," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Olimpik Malaysia hari ini.

Au Nguyen Hai dari Vietnam memenangi perak manakala Somsri Turimthaisong dari Thailand pula meraih gangsa. -Bernama

Malaysia Gembira Kerana Presiden Korea Selatan Puji Kenaikan Harga Barang

Korea puji program rasionalisasi subsidi kerajaan

KEPALA BATAS - Program rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan kerajaan turut mendapat pujian daripada Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak yang melawat Malaysia selama dua hari mulai Khamis lalu.

"Ia (rasionalisasi subsidi) bukan sesuatu perkara yang senang untuk dilaksanakan. Kerajaan harus memastikan negara kuat dan tindakan tersebut telah mendapat pujian daripada Presiden Korea Selatan dalam lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini.

"Lee berpendapat bahawa apa yang kerajaan Malaysia buat adalah satu perkara yang bijak. Kita tahu menjaga subsidi, pada masa yang sama kita juga menjaga kedudukan kewangan, tidak boros serta berbelanja dengan berhemat," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau menyampaikan hadiah wang tunai kepada pelajar di dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor yang memperoleh keputusan cemerlang pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2010.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan telah meneliti kepentingan rakyat dan membuat kajian rapi untuk jangka masa yang panjang sebelum bertindak untuk merasionalisasi subsidi.

Ia dilaksanakan bagi memastikan kedudukan kewangan negara dan kualiti kehidupan rakyat dapat diseimbangkan dan bukan untuk membebankan rakyat seperti apa yang didakwa oleh pihak pembangkang.

Langkah merasionalisasi subsidi kali kedua dilaksanakan awal bulan ini yang melibatkan pengurangan subsidi ke atas petrol RON95, diesel, LPG dan gula.

Nor Mohamed yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata, Presiden Korea Selatan itu sedar tentang kekuatan negara Malaysia tetapi pihak pembangkang tidak.

"Orang luar lebih sedar tentang kekuatan kita berbanding pembangkang, biasalah mereka ini sudah kehabisan modal," katanya. -Bernama

Ulasan GB

Sampai begitu sekalikah terdesaknya kerajaan sehingga perlu mendapatkan pujian dari Presiden Korea Selatan untuk memuji tindakan "rasionalisasi subsidi" yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia?

Berkata Presiden Korea itu "Ia (rasionalisasi subsidi) bukan sesuatu perkara yang senang untuk dilaksanakan."

Benar, tidah mudah dilaksanakan KECUALI dengan kebijaksanaan kerajaan yang ada menipu dan menzalimi rakyatnya.

Mohd Nor Yaakob, anda boleh memohon untuk menjadi warga negara Korea Selatan dan boleh menjadi menteri di sana.

Rakyat Malaysia TIDAK menerima rasionalisasi subsidi yang merupakan pontianak jelmaan untuk menutup namanya yang sebenar iaitu - kenaikan harga barang-barang.



Nouvelle Beauty Centre Diarah Jual Hartanya

Firma Sosilawati diarah jual harta

Nouvelle Beauty Centre diperintah ikut perjanjian

KUALA LUMPUR: Syarikat Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd, milik jutawan kosmetik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya diperintahkan menjual tanah dan bangunan bernilai RM3 juta kepada sepasang suami isteri seperti dijanjikannya.

Ia berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof membenarkan permohonan pasangan itu, Low Choong Yen, 59, dan isterinya, Lim Bee Geok, 52, untuk mendapatkan penghakiman terus, dalam kamar beliau semalam.

Peguam, Karena Tang Shiau Hui ketika ditemui, berkata Zabariah juga memerintahkan Nouvelle Beauty Centre meneruskan penjualan hartanah itu kepada Low dan Lim selaku plaintif dengan menandatangani perjanjian jual beli serta menyerahkan dokumen berkaitan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh perintah.

Katanya, hakim memutuskan bahawa surat tawaran berhubung penjualan hartanah berkenaan oleh Nouvelle Beauty Centre adalah mengikat kedua-dua belah pihak.

Syarikat berkenaan juga diperintahkan membayar kos RM15,000 kepada plaintif.

Saman terhadap Nouvelle Beauty Centre difailkan 25 hari sebelum Sosilawati, 47; pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dibunuh di Tanjung Sepat, Banting.

Plaintif mendakwa, surat tawaran ditandatangani defendan bertarikh 2 April lalu menyatakan syarikat itu bersetuju menjual tanah seluas 144.9 meter persegi kepada mereka termasuk bangunan pejabat empat tingkat di atasnya berjumlah RM3 juta.

Mereka kemudian membayar deposit RM60,000 selepas menandatangani surat tawaran dan baki deposit RM240,000 dibayar apabila perjanjian jual beli ditandatangani.

Bagaimanapun selepas perjanjian ditandatangani, melalui surat syarikat itu memberitahu plaintif ia tidak lagi berhasrat meneruskan jual beli berkenaan.

Sehubungan itu, Low dan Lim memohon perisytiharan bahawa wujud perjanjian jual beli yang sah dan injunksi bagi menyekat syarikat berkenaan daripada menjual hartanah terbabit kepada pihak lain.

Aktivis Reformis Sokong Chegubard Tak Iktiraf Pemilihan

Aktivis Reformasi sokong Che'gubard tak iktiraf Pemilihan

Aktivis Reformasi menyokong tindakan Sdr Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai “Che' GuBard” yang telah membuat pendirian tegas untuk tidak mengiktiraf keputusan pemilihan parti dengan menuntut penjelasan bertulis daripada parti berhubung pelbagai dakwaan manipulasi, penipuan dan salahlaku JPP serta Sekretariat Ibu Pejabat di bawah pimpinan Setiausaha Agung, YB Saifuddin Nasution.

Aktivis Reformasi mendesak keras agar pimpinan parti khususnya Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah, memberi perhatian serius terhadap tuntutan yang dibuat oleh che'GuBard. Aktivis Reformasi sangat kesal jika pucuk pimpinan meremeh-remehkan tuntutan che'GuBard ini.

Aktivis Reformasi kini juga sedar bagaimana pucuk pimpinan parti merendahkan tuntutan dari orang bawahan. Pucuk pimpinan harus ingat bahawa orang bawahan inilah yang menyokong parti dengan mengharungi gas pemedih mata, bermandi asid dan dibelasah belantan FRU, terkini dalam demonstrasi isu air Selangor minggu lepas.

Ketika golongan elit bersenang-lenang di keliling Ketua Umum, che'GuBard memimpin massa meskipun tidak memegang sebarang jawatan tinggi parti dan ditentang polis FRU. Tiada gunanya menjadi pemimpin berjawatan tinggi jikalau tidak berani untuk tampil sebagai pejuang kental ketika semboyan menuntut kita turun di jalanan melawan kezaliman.

Aktivis Reformasi amat bersetuju bahawa politik naungan adalah satu malapetaka kepada perjuangan parti. Politik naungan kini sedang melanda PKR apabila kumpulan-kumpulan yang menjadi elitis di sisi Ketua Umum, dengan biaya kewangan mereka yang sungguh mewah, sedang membentuk barisan kepimpinan parti yang baru.

Aktivis Reformasi juga ingin menyatakan kegusaran tentang budaya politik ampu-mengampu yang selama ini menjadi darah daging UMNO, kini sedang menular, berkembang dan subur dalam PKR. Budaya seumpama ini akan membuatkan parti terpesong dari landasan perjuangan sebenar sebagai sebuah gerakan reformasi rakyat.

Parti hendaklah berwaspada dengan kelompok yang berselindung atas nama reformasi tetapi seumpama lintah darat dengan satu tujuan, iaitu mengambil kesempatan mencari projek dan peluang perniagaan. Kumpulan-kumpulan lintah darat ini sedang berada di sekeliling Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan memegang jawatan besar dalam parti. Kumpulan lintah darat ini sedang mengampu pimpinan parti dan mendapat sokongan para-para YB yang lupa diri. Kumpulan lintah darat ini juga mempunyai beberapa YB dalam lingkungannya dan mereka telah dikenalpasti mengampu pimpinan tertentu dan Ketua Umum bagi memastikan dapat bertanding pada pilihanraya umum ke-13 nanti.

Pemilihan secara ‘1 ahli 1 undi’ adalah langkah berani parti untuk menyuburkan demokrasi tetapi hanya jika pemilihan dijalankan dengan telus, adil dan bersih. Justeru itu, jika pemilihan ‘1 ahli 1 undi’ dipenuhi dengan penipuan, manipulasi undi dan amalan politik wang yang berleluasa di sana-sini, maka pemilihan parti tidak membawa apa-apa makna, malah parti akan dilihat berkompromi dengan penipuan dan membenarkan ketidakadilan berlaku dalam parti yang mahu berjuang untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.

Aktivis Reformasi mengingatkan pucuk pimpinan parti bahawa gerakan reformasi sedang meneruskan perjuangan tegasnya menuntut keadilan dan ketelusan dari SPR melalui siri Demo Bersih, tetapi dalam masa yang sama PKR sedang membenarkan barisan Majlis Pimpinan Pusat dan Biro Politik parti dibentuk hasil daripada proses pemilihan yang penuh penipuan dan politik wang.

Aktivis Reformasi berjanji akan terus memelihara prinsip-prinsip keluhuran Gerakan Reformasi sebagai sebuah Gerakan Rakyat seperti yang dinyatakan dalam Deklarasi Permatang Pauh, satu gerakan yang diangkat oleh rakyat sebagai agen perubahan pada tanggal 12 September, 1998.

Akhir sekali, Aktivis Reformasi ingin menekankan bahawa perjuangan reformasi adalah perjuangan rakyat dan bukan perjuangan untuk individu tertentu, samada Anwar Ibrahim atau anak-anak emasnya.

Salam reformasi.

5 Tenggelam Ditelan Ombak Di Kuala Terengganu

Kuala Terengganu: Keseronokan enam sekawan bermain ombak di Pantai Peranginan Chendering, di sini, berakhir tragedi apabila dua daripada mereka lemas manakala tiga lagi masih hilang dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, semalam.

Sebelum kejadian, tiga daripada mereka yang juga adik-beradik, Kumuda Shanmugan, 28, Raymond, 26 dan Roshini, 16, dari Taman Sungai Keramat, Kampung Jawa, Klang, Selangor serta tiga rakan mereka dikenali sebagai Mogan, 21, Mathavi, 20, dan Vijaykumar, 18, pergi ke pantai berkenaan untuk mandi.

Bagaimanapun, sebaik tiba di pantai itu, Mathavi terjerumus ke dalam pasir sebelum ditarik ombak besar ketika bermain di gigi air di kawasan berbatu di pantai berkenaan.

Panik dengan kejadian itu, tiga beradik terbabit bersama dua lagi rakan terjun ke laut untuk menyelamatkan mangsa yang ketika itu hampir lemas.

Bagaimanapun, mereka turut lemas akibat dipukul ombak sebelum disedari orang ramai yang menghubungi pihak berkuasa.

Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Kuala Terengganu dan Chendering yang tiba beberapa minit kemudian menyelamatkan seorang daripada mereka, manakala dua lagi ditemui lemas dan tiga lagi masih hilang.

Mereka yang lemas ialah Roshini dan Kumuda, manakala yang masih hilang ialah Raymond, Mogan dan Vijaykumar. Mathavi yang diselamatkan lima individu terbabit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Rakan Raymond, Sritharan Sivasangaran, 32, berkata kali terakhir dia menemui mangsa ketika mengunjungi rumah rakannya dikenali sebagai Kali di Kampung Chendering, pagi semalam.

“Ketika itu saya melihat dia biasa saja dan tak banyak bercakap. Saya percaya sebaik keluar dari rumah Kali, dia pergi menemui dua adiknya yang datang bercuti ke negeri ini dan tidak sangka mereka bermain air di kawasan pantai ini,” katanya.

Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Negeri, Zakaria Mohamad yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat berkata, mangsa ditemui orang ramai dan anggota bomba kira-kira jam 3 petang tidak jauh dari tempat kejadian.

“Mathavi terselamat selepas berpaut pada batu berhampiran tempat kejadian dan dibawa ke HSNZ untuk rawatan kecemasan sebelum ditempatkan ke wad ICU,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat dilakukan lebih 50 anggota membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk enam unit skuba, Jabatan Pertahanan Awam dan polis serta Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM).

Beliau berkata, mangsa dipercayai dihanyutkan tidak jauh dari tempat kejadian. -hm

Foto Real Dan Unik Tanpa Sentuhan Photoshop

Foto Yang Real Dan Unik

Photoshop, sebuah perisian yang biasa digunakan untuk memanipulasikan imej dan foto secara digital supaya imej dan foto tampak lebih menarik atau mengubahnya sehingga ia menjadi seperti sekeping imej yang boleh mendatangkan pelbagai kesan yang unik dan menarik.

Namun dibawah ini terdapat foto-foto yang lansung tidak diberikan sentuhan photoshop. Ia adalah gambar yang real - gambar yang sebenarnya tetapi tetap unik untuk tatapan para peminat fotografi dan orang awam.

Jom kita lihat bersama:


1. Ujung Pelangi


Jurugambar yang mengambil foto ini, mengklaim bahwa ujung pelangi jatuh tepat di sebuah jalan raya. Ayoo segera ambil sekop…siapa tau Ada harta karun terpendam di kaki pelangi…

2. Badai Gurun


Coba perhatikan gambar tersebut seperti sebuah miniatur kota dengan sentuhan Photoshop. Tapi itu nyata.. Diambil dari sebuah badai gurun Di Iraq tahun 2005 silam

3. Sarang Laba-Laba


Bukan sarang laba-laba raksasa, hanya beberapa juta laba-laba yang membangun sarang di tempat berdekatan

4. Jabang Bayi


Diambil dari COVER MAJALAH “LIVE” pada tahun 1965. Foto jabang bayi yang pertama kali di ambil oleh endoscope

5. Awan Mammatus


Gambar ini nyata, disebut awan mammatus atau awan bergulung mirip kembang gula.

6. Teka-Teki Silang Raksasa


Gedung setinggi 100 kaki ini nyata terdapat di Ukraine.

7. Truk Overload


Mungkin kalian akan melihat ini sebagai sentuhan Photoshop, tapi ini merupakan gambar nyata sebuah truk di Somalia, kerana di sana kurang tegasnya penguatkuasaan undang-undang lalu lintas mengenai had muatan sesebuah kenderaan.

8. Itek Raksasa


Sepintas terlihat seperti permainan Photoshop dimana dua gambar digabungkan menjadi satu, tapi ini nyata dibuat oleh artis Florentijn Hofman, itek setinggi 100 kaki

9. Manusia Pinggang Terkecil


Kelihatan Photoshop??? Ini nyata seorang perempuan bernama Chatie Jung, yang menggunakan Korset sangat ketat Dan berbahaya. Konon kabarnya gara-gara korset Dan bentuk tubuhnya livernya mengecil. Dia masuk di Guiness book of record \

10. Guitar Amppliflier


Kedai guitar di Southampton dimana sang penjual mengubah pagar pengaman yang jelek menjadi berbentuk gitar amp raksasa

11. Karya Seni Tuhan


Keajaiban alam berupa formasi batuan di Arizona.

12. Berdiri Di Atas Laut


Diambil dari cheesy 80s album cover, merupakan foto tanpa sentuhan Photoshop diambil di Salar de Uyuni in Bolivia, merupakan lautan garam dangkal terbesar di seluruh dunia.

13. Rangka Mobil


Kelihatan seperti vector grapic dengan sentuhan Photoshop, tapi ini merupakan karya Benedict Radcliffe, yang membuat rangka Mobil dari dawai.

10 Dis 2010

Satu Kaedah Untuk Melariskan Susu New Zealand - Gempakkan Ramai Wanita Malaysia Kena Osteoporosis

Wanita Malaysia antara tiga negara berisiko tinggi hidap osteoporosis - Kajian

SINGAPURA -- Wanita Malaysia adalah antara tiga dari negara Asia yang paling berisiko menghidap osteoporosis pada awal usia 30an, kata satu kajian syarikat nutrisi hasil susu dari New Zealand, Fonterra.

Kajian juga menunjukkan 50 peratus rakyat Malaysia berdepan risiko penyakit tersebut pada usia 50an, kata Pengurus Asas Kesihatan Fonterra Asia dan Timur Tengah, Joanne Todd.

Kajian tersebut yang menganalisis 2.1 juta imbasan tulang yang dilakukan di seluruh Asia turut menunjukkan seorang daripada tiga penduduk Asia berusia 35 tahun ke atas menghadapi risiko osteoporosis, katanya.

"Osteoporosis, penyakit yang menyebabkan tulang rapuh dan retak bukan lagi masalah yang dihadapi golongan tua semata-mata," katanya ketika membentangkan hasil kajian itu pada mesyuarat rantau Asia pertama anjuran International Osteoporosis Foundation (IOF), di sini hari ini.

Todd berkata kajian juga mendapati sejumlah besar penduduk Asia berusia lingkungan 30an tidak mempunyai tahap jisim tulang yang sepatutnya pada usia mereka.

Justeru kata beliau, risiko osteporosis yang dihadapi golongan itu semakin meningkat apabila usia bertambah, kerana jisim tulang yang terbentuk pada usia 30an mempunyai kesan besar pada kemudian hari.

Risiko juga meningkat secara drastik bagi lelaki dan wanita dalam kumpulan usia 50an, dengan 50 peratus daripada mereka diklasifikasikan dalam kumpulan ostopenia atau tulang menipis.

Pengambilan kalsium yang rendah adalah penyumbang berpotensi kepada masalah kesihatan tulang, dan kajian mendapati secara purata pengambilan makanan mengandungi kalsium bagi golongan dewasa di Asia ialah 450 mg setiap hari.

Ia jauh lebih rendah berbanding saranan Pertubuhan Makanan dan Pertanian, dan Pertubuhan Kesihatan Dunia iatu antara 1,000 dan 1,300 mg sehari.

Kajian juga menunjukkan rakyat Filipina dan Indonesia mempunyai keadaan tulang paling tidak sihat, manakala penduduk Taiwan dan Singapura mempunyai tulang paling kuat.

Ketua Pegawai Operasi IOF Judy Stenmark pula berkata osteoporosis adalah antara penyakit paling lazim di dunia, namun ia juga paling diabaikan, jarang didiagnos serta kurang mendapat rawatan.

Malah katanya, tidak ada garis panduan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana badan kerajaan mengenai penyakit itu yang dapat dikesan menerusi ukuran ketinggian individu semakin berkurang, sakit belakang dan membongkok. -- BERNAMA

Ulasan GB

Demikian caranya untuk merebut pasaran dengan memperbodohkan rakyat. Tak sudah-sudah rakyat hendak dilembukan.

Bersabar Chegubard, Jangan Ganggu Pimpinan Buat Bukan-bukan

Pemilihan: PKR minta Chegubard sabar, jangan buat bukan-bukan

KUALA LUMPUR, 10 Dis — Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail meminta semua pihak yang membuat aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) termasuk Badrul Hisham Shaharin — bekas calon jawatan ketua sayap Pemuda PKR yang tewas supaya jangan bertindak tergopoh-gopoh.

Sehubungan itu, Saifuddin meminta Badrul Hisham, yang kelmarin menegaskan tidak mengiktiraf keputusan pemilihan yang baru lalu, supaya bersabar menanti penemuan ke atas aduan-aduan aduan yang dibuat berhubung pemilihan pucuk kepimpinan pusat.

Tambah Saifuddin, JPP masih menjalankan siasatan terhadap setiap aduan yang dikemukakan.

Sepanjang pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dijalankan sebanyak 18 aduan telah dikemukakan kepada JPP manakala bagi pemilihan cabang pula sebanyak 289 aduan.

“Aduan sekarang di atas meja JPP, jadi kita serah kepada JPP untuk menyiasat setiap aduan yang dikemukakan sepanjang pemilihan berlangsung.

“Semua aduan yang dikemukakan masih belum selesai, JPP masih menyiasat setiap aduan.

“JPP tahu tanggungjawab terhadap aduan yang dikemukakan itu, kita biarkan proses siasatan ini berjalan,” kata Saifuddin ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau juga mahu semua pihak memberikan ruang kepada JPP untuk menyiasat dengan teliti setiap aduan yang dikemukakan.

“Lagipun kita baru habis kongres, sudah tentu siasatan terhadap aduan ini masih lagi berjalan. Jadi saya harap kita beri masa kepada JPP untuk menyiasatnya.

“Bukan semua aduan akan selesai cepat, ada aduan yang kita kena panggil pengadu jadi kena sabarlah.

“Kita juga perlu hormati proses siasatan ini, kepada mereka yang kemukakan aduan kita harap bersabar. Serah kepada JPP untuk siasat,” katanya.

Ketika ditanya sama ada tindakan Badrul Hisham atau lebih dikenali “Chegubard” akan menjejaskan PKR, Saifuddin bagaimanapun berkata, tumpuan sekarang adalah pilihan raya umum ke-13.

“Kita serahkan kepada JPP untuk siasat, isu kita sekarang adalah menghadapi pilihan raya umum.

“Fokus kita adalah memperkuatkan parti dan juga Pakatan Rakyat,” katanya.

Kelmarin, Badrul Hisham berkata, beliau tidak mengiktiraf keputusan pertandingan jawatan Angkatan Muda Keadilan yang diumumkan 26 November lalu.

Malah, Ketua PKR Rembau ini juga berkata, beliau tidak akan menerima apa jua jawatan selagi segala aduan mengenai kecacatan dan kepincangan pemilihan dijawab dengan rasmi oleh jawatankuasa pemilihan.

“Saya dengan ini menyatakan akur apa yang berlaku tetapi sama sekali tidak mengiktiraf keputusan pemilihan PKR 2010.

“Saya masih juga menantikan penjelasan bertulis dalam perkara yang saya bangkitkan,” katanya.

“Kita telah berjaya membuktikan tanpa politik naungan dan kewangan yang melimpah kita mampu menang jika semua dijalankan secara telus.

“Saya telah menghantar bantahan bertulis. Bantahan yang telah menyenaraikan perbagai kepincangan ini tidak mendapat respons bertulis setakat ini,” katanya.

Dalam kenyataan pertama selepas Kongres Nasional PKR Ketujuh baru-baru ini, Badrul Hisham berkata, beliau tidak kecewa kerana tewas pemilihan yang julung kali menggunakan sistem secara langsung.

“Kalau kecewa pun adalah kerana saya tidak dapat melaksanakan pembaharuan dalam (Angkatan Muda Keadilan) AMK yang saya dan teman-teman amat yakin mampu menyerlahkan politik reformasi yang kita laungkan selama ini yang telah digariskan dengan jelas dalam Manifestasi Anak Muda Malaysia,” katanya.

Badrul Hisham tewas dalam persaingan satu lawan satu di tangan Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mempertahankan jawatannya dengan majoriti lebih 1,000 undi. -TMI

Ulasan GB

Hairan kita, pemilihan sudah berakhir, aduan masih disiasat katanya.

Siasatan untuk apa lagi sebenarnya? Sekadar untuk menjawab secara bersurat kepada para pengadu bahawa penipuan tidak wujud?

Beri peluang JPP untuk apa? Untuk terus menipu dan menipu lagi sekalian para ahlinya?

Sepatutnya, jika ada kejujuran dalam sebarang siasatan, pemilihan yang lepas telah dibatalkan atau setidak-tidaknya ditangguhkan.

Kebenaran dan keadilan akan tetap menang mengatasi penipuan walau siapa juga yang melakukan, kawan atau pun lawan.


Nak marah GB? Marahlah. Kesannya bukan kepada GB tetapi kepada PR sendiri nanti. Belajarlah untuk terima hakikat. Jangan kita bersorak tak sudah-sudah sehingga dah kalah di Bagan Pinang, Hulu Selangor, Batu Sapi dan Galas pun masih tak sedar-sedar lagi.

Bagi Pimpinan PR, Apa Ada Pada Blogger?

Gembleng blogger Pakatan jadi media alternatif

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Pakatan Rakyat harus memberikan perhatian serius terhadap peranan blogger pro Pakatan dalam menyebarkan maklumat yang tepat berhubung Pakatan dan mendedahkan segala kepincangan yang berlaku dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim berkata, Pakatan Rakyat harus mempersiapkan pasukan blogger agar lebih berstrategi dalam menyampaikan maklumat dan menjawab segala serangan BN terhadap Pakatan.

Persiapan ini juga, katanya harus dilakukan segera memandangkan terdapat jangkaan PRU akan diadakan tahun hadapan.

Blogger pro Pakatan mestilah digembleng tenaga untuk menjadi media alternatif bagi menjawab serangan BN kepada Pakatan.

"Disebabkan gendang pilihan raya telah dipalu oleh BN, usaha tersebut mestilah disegerakan," kata beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini bahawa kedudukan 100 blog politik Malaysia berdasarkan Alexa ranking menunjukkan senarai blogger pro kerajaan mendominasi kedudukan teratas blog-blog yang sering dikunjungi oleh pelayar internet.

Senarai ini menggambarkan blogger pro kerajaan kini berjaya mendominasi media baru dalam melancarkan serangan siber.

Khalil juga berkata, tidak dinafikan blogger pro kerajaan melancarkan serangan terhadap Pakatan secara tersusun dan berstrategi.

Justeru ujarnya, blogger pro Pakatan juga harus dibentuk dan disusun secara lebih teratur dan kukuh untuk membalas serangan itu.

"Saya dapati serangan blogger BN agak berstrategi dan semacam ada kesatuan dan perancangan yang rapi yang dilakukan oleh mereka.

"Kerana itu saya berpandangan usaha dari blogger pro Pakatan juga perlu dengan perencanaan dan strategi secara terancang bagi menawan BN," katanya yang juga Adun Titi Serong.

Tambahnya juga, peranan blogger juga jelas membantu kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU yang lepas terutamanya menarik minat golongan muda.

Ini juga kerana blogger Pakatan lebih beretika dalam membuat sebarang pendedahan dengan memberikan bukti dan fakta yang jelas, bukan hanya memfitnah.

"Saya melihat semasa PRU ke 12 media pro pembangkang berjaya menarik minat golongan pengundi muda untuk mendapatkan maklumat

"Apalagi segala pendedahan dari blogger Pakatan adalah dengan fakta dan bukan niat untuk memfitnah serta menjaga akhlak Islam.

Katanya lagi, jika Pakatan mengambil ringan usaha ini, tidak mustahil golongan muda beralih kepada BN.

"Jika kita lambat dan silap percaturan mungkin mengakibatkan pengundi yang datang dari kelompok yang mempercayai media ini akan memilih BN," katanya.

Ulasan GB

Bagi pimpinan PR, seorang blogger PR mesti hanya mengisahkan hal-hal yang indah-indah, hal yang muluk-muluk, yang cantik-cantik, yang wangi-wangi tentang parti komponen PR dan para pemimpinnya.

Jangan kritik, jangan sentuh dan jangan dedahkan sebarang kelemahan dan kepincangan. Jika ada kelemahan utarakan secara bisik-bisik kepada pimpinan tersebut. GB jawab, jika yang didedahkan secara terbuka tak diambil tindakan inikan pula kritikan yang dilakukan secara "sirr" - satu istilah yang digunakan oleh golongan ulamak muda apabila mengkritik pimpinan kerajaan.

Ini bukan zaman rahsia-rahsia. Ini zaman IT, zaman blog, zaman FB, zaman twitter. Semuanya telus, semuanya terdedah semuanya pantas beredar.

Pimpinan yang tak mahu ditegur dan dikrtik, TURUN segera. Zaman anda sudah berlalu. Janji kita kepada rakyat dulu: membentuk sebuah kerajaan yang bersih, adil dan telus.

Tentang blogger PR, GB sudah ulas di

PR Telah Hilang Kekuasaan Terhadap Alam Siber

Tuduhan Hishamuddin Mengada-ngada, MCA Tuntut Minta Maaf

MCA gesa Hishammuddin Hussein untuk mohon maaf

Timbalan Ketua Pemuda MCA Mah Hang Soon menggesa agar Naib Presiden UMNO Hishammuddin Hussein memohon maaf kepada seluruh ahli MCA berikutan tuduhannya terhadap Presiden MCA Chua Soi Lek sebelum ini

Mah Hang Soon berkata, tuduhan Hishammuddin Hussein telah bercanggah dengan semangat Barisan Nasional yang disaran Perdana Menteri Najib Razak, terutamanya apabila PM Najib telah menyetujui pandangan Chua Soi Lek secara terbuka, iaitu komponen parti BN harus berkongsi kedudukan yang sama rata dalam hubungannya sebagai rakan parti. Sebagai Naib Presiden UMNO, Hishammuddin seharusnya menyokong PM dengan tindakannya.

"PM telah membuat kenyataan bahawa parti komponen BN seharusnya peka antara satu sama lain, barulah BN diperkasa. Hishammuddin Hussein pula menuduh Chua Soi Lek secara terbuka, mengingkari hasrat PM yang sebenarnya."

Tuduhan Hishammuddin mengada-ada

Tuduhan Hishammuddin Hussein bahawa Chua Soi Lek seharusnya menggunakan saluran dalam Majlis Tertinggi BN untuk membangkitkan ketidakpuasan mahupun mengutarakan cadangan ini turut dikritik Mah Hang Soon sebagai "mengada-ada".

"Pada hakikatnya Konvensyen BN adalah mesyuarat tertutup untuk parti komponennya mengentengahkan pandangan diri dalam sesi dialog. Chua Soi Lek sekadar mengemukakan cadangan MCA, dan tindakan ini selari dengan 'menggunakan saluran sebaik-baiknyanya', sebagaimana yang dikatakan Hishammuddin Hussein."

"Sebaliknya Hishammuddin membuat tuduhan terbuka di lobi parlimen, dan tindakan ini umpama menampar muka diri, kerana mengabaikan sepenuhnya bahawa Majlis Tertinggi BN adalah mekanisme yang sesuai," kata Mah Hang Soon.

Mah Hang Soon menambah, Hishammuddin Hussein turut berada dalam konvensyen tersebut ketika Chua Soi Lek mengetengahkan pandangan, maka Hishammuddin seharusnya berdialog dengan Chua pada ketika itu juga, dan bukannya bercakap kepada media selepas itu. Tindakan sedemikian akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap BN.

"Hishammuddin seharusnya memohon maaf kepada seluruh ahli MCA berikutan kata-katanya itu, kerana beliau telah menjejaskan semangat perpaduan yang didukung dalam Konvensyen Barisan Nasional," simpul Mah Hang Soon.

*Kenyataan media Mah Hang Soon selaku Timbalan Ketua Pemuda MCA, diterjemah dari teks asalnya dalam bahasa Cina. -MR

Simpan Foto Bogel Artis, Front Pembela Islam Buat Laporan Polis Terhadap Ahmad Dhani

Ahmad Dhani simpan foto bogel artis

BUKTI...gambar porno Dewi Persik dan Julia Perez yang dimuat turunkan daripada akaun Twitter Ahmad Dhani.

JAKARTA: Front Pembela Islam (FPI) semalam membuat laporan polis terhadap bintang rock, Ahmad Dhani atas dakwaan menyimpan gambar bogel penyanyi dan pelakon, Dewi Persik (Depe) dalam akaun Twitternya.

“Kami membuat laporan terhadap Ahmad Dhani kerana menyimpan gambar porno Dewi Persik.

“Berserta dengan itu, kami juga membuat laporan terhadap Dewi,” kata Ketua FPI cawangan Jakarta, Habib Salim, ketika ditemui di Balai Polis Metro Jaya.

Habib tiba bersama lima wakil FPI dengan membawa gambar berkenaan.

Gambar itu antaranya menunjukkan Dewi berbogel dalam satu filem yang pernah dibintanginya serta gambar Julia Perez yang sudah tersebar di media sebelum ini.

“Gambar ini adalah bukti. Kami membuat laporan terhadap Depe dulu.

“Mengenai Jupe (Julia Perez), kami masih mencari bukti lengkap,” kata Habib. - Agensi

Rasuah Bermaharajalela, PDRM Paling Tinggi Berasuah

Hampir 50% rakyat percaya gejala rasuah berleluasa

Hampir separuh daripada rakyat di negara ini yang dibanci dalam kajian mengenai rasuah antarabangsa berpendapat gejala rasuah semakin berleluasa di negara ini.

Mengikut Barometer Antarabangsa Rasuah 2010 oleh Transparency International, 46 peratus percaya amalan rasuah tahun ini adalah lebih tinggi daripada tahun lalu manakala 19 peratus berpendapat ia telah berkurangan dan 35 peratus lagi pula berkata keadaan tidak berubah.

Namun daripada 1000 orang yang dibanci oleh agensi pasaran TNS Malaysia dalam wawancara secara langsung daripada 28 Jun hingga 26 Julai tahun ini, hanya 9 peratus atau 90 orang mengakui telah memberikan rasuah sepanjang 12 bulan lalu.

Mereka mendakwa telah memberi rasuah kepada anggota polis atau mereka yang bekerja di tempat pemprosesan permit, tanah, perubatan, jabatan pendidikan negari, perundangan dan kastam.

Ini meletakkan Malaysia di tangga ketujuh daripada 22 negara Asia Pasifik yang dikaji dengan Korea Selatan mendahului senarai itu - hanya dua peratus rakyatnya yang diwawancara mengakui pernah memberi rasuah sepanjang setahun lalu.

Sebahagian besar rakyat Malaysia berkata pasukan polis paling terjejas dengan gejala rasuah dan diikuti dengan parti politik, badan perundangan dan parlimen.

Mereka mencatatkan mata 4.1, 4.0 dan 3.4 masing-masing pada skala 1 hingga 5, dengan 5 sebagai yang paling terjejas akibat rasuah. -mk


PDRM dipandang paling tinggi berasuah atasi parti politik, dedah TI

Low berkata persepsi terhadap amalan rasuah besar telah meningkat. — Foto Reuters
KUALA LUMPUR, 10 Dis — Rakyat Malaysia melihat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai entiti paling tinggi terlibat dalam amalan rasuah — mengatasi parti-parti politik, kakitangan awam lain, sektor perniagaan dan kehakiman — demikian menurut laporan Global Corruption Barometer 2010 dikeluarkan hari ini.

Kajian dikendalikan oleh Transparency International (TI) Malaysia ini membabitkan 1,000 responden — berusia 16 tahun dan ke atas dengan 57 peratus daripada mereka adalah kalangan tinggal di kawasan bandar.

Kajian itu yang dijalankan Julai lalu merupakan laporan tahunan edisi yang ketujuh, kecuali bagi tahun 2008.

Datuk Paul Low, Presiden TI Malaysia berkata, penemuaan itu adalah sesuatu yang luar biaasa berbanding kajian-kajian yang dijalankan di banyak negara lain, di mana parti politik berada di atas sekali dan disusuli oleh perkhidmatan awam dan bidang kehakiman.

Bagaimanapun katanya, peratusan membabitkan kes-kes rasuah kecil-kecilan mengalami penurunan.

Katanya, persepsi mengenai amalan rasuah besar mengalami peningkatan. -TMI