11 Dis 2010

Nouvelle Beauty Centre Diarah Jual Hartanya

Firma Sosilawati diarah jual harta

Nouvelle Beauty Centre diperintah ikut perjanjian

KUALA LUMPUR: Syarikat Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd, milik jutawan kosmetik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya diperintahkan menjual tanah dan bangunan bernilai RM3 juta kepada sepasang suami isteri seperti dijanjikannya.

Ia berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof membenarkan permohonan pasangan itu, Low Choong Yen, 59, dan isterinya, Lim Bee Geok, 52, untuk mendapatkan penghakiman terus, dalam kamar beliau semalam.

Peguam, Karena Tang Shiau Hui ketika ditemui, berkata Zabariah juga memerintahkan Nouvelle Beauty Centre meneruskan penjualan hartanah itu kepada Low dan Lim selaku plaintif dengan menandatangani perjanjian jual beli serta menyerahkan dokumen berkaitan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh perintah.

Katanya, hakim memutuskan bahawa surat tawaran berhubung penjualan hartanah berkenaan oleh Nouvelle Beauty Centre adalah mengikat kedua-dua belah pihak.

Syarikat berkenaan juga diperintahkan membayar kos RM15,000 kepada plaintif.

Saman terhadap Nouvelle Beauty Centre difailkan 25 hari sebelum Sosilawati, 47; pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dibunuh di Tanjung Sepat, Banting.

Plaintif mendakwa, surat tawaran ditandatangani defendan bertarikh 2 April lalu menyatakan syarikat itu bersetuju menjual tanah seluas 144.9 meter persegi kepada mereka termasuk bangunan pejabat empat tingkat di atasnya berjumlah RM3 juta.

Mereka kemudian membayar deposit RM60,000 selepas menandatangani surat tawaran dan baki deposit RM240,000 dibayar apabila perjanjian jual beli ditandatangani.

Bagaimanapun selepas perjanjian ditandatangani, melalui surat syarikat itu memberitahu plaintif ia tidak lagi berhasrat meneruskan jual beli berkenaan.

Sehubungan itu, Low dan Lim memohon perisytiharan bahawa wujud perjanjian jual beli yang sah dan injunksi bagi menyekat syarikat berkenaan daripada menjual hartanah terbabit kepada pihak lain.

Tiada ulasan: