24 Ogo 2010

Mahathir, Engkau Hipokrit Darjat Tertinggi

Mahathir: Melayu perlu bersatu atau hilang kuasa politik

Sambil merujuk kepada nasib penduduk rantau Timur Tengah, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi memberi amaran kepada masyarakat Melayu negara ini bahawa mereka berhadapan dengan risiko hilang kuasa politik jika terus kekal tidak bersatu.

Bekas perdana menteri berkata orang Melayu memerintah selama ini kerana mereka adalah majoriti penduduk negara ini.

Malangnya tegas beliau, pergaduhan dan pertelingkahan dalaman menyebabkan mereka kehilangan kuasa politik kepada bukan Islam.

“Jika kita berpecah-belah, kita hilang kuasa majoriti kita,” kata beliau dengan merujuk kepada perpecahan kuasa Melayu kepada tiga parti — Umno, PAS dan PKR.

“Saya bukan rasis yang mahu menyemai sentimen kebencian Muslim terhadap bukan Islam tetapi perlu ada perasaan hormat,” kata beliau kepada pemberita sebelum majlis berbuka puasa di Felda D’saji bersama Perkim di sini.

“Dan, sebarang rasa hendak hormat hanya datang jika kita kuat dan berkuasa,” katanya.

“Sebelum ini kita hanya bercakap mengenai masalah umat Islam di Timur Tengah, tetapi kini umat Islam di Malaysia juga berhadapan dengan masalah besar,” katanya.

Seolah-olah merujuk kepada kerajaan negeri diterajui Pakatan Rakyat, Dr Mahathir berkata sudah ada contoh seorang Menteri Besar beragama Islam menerima arahan daripada Dewan Undangan Negeri dikuasai masyarakat minoriti.

“Dia dipaksa tunduk kepada kehendak mereka, seolah-olah dia bukan lagi mengambil berat tentang agama dan kaumnya,” katanya.

Beliau berkata umat Islam di negara ini sedang berhadapan dengan cabaran terbesar terutama dalam keadaan umat yang berpecah belah, yang mungkin mengakibatkan Islam kehilangan kuasanya di negara ini.

“Hari ini walaupun Islam menuntut kita bersaudara tapi kita berpecah, sehingga tahap mungkin hilang kuasa,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Yang Dipertua Perkim mengingatkan umat Islam agar memikirkan semula tanggungjawab kepada agama, sekalipun tanggungjawab kepada bangsa sudah tidak lagi menjadi keutamaan.

Katanya walaupun jumlah umat Islam di negara ini ramai, tidak mustahil Islam akan kehilangan tempatnya sebagai agama rasmi sekiranya sikap berpecah-belah masih diteruskan.

“Jumlah ramai ini tidak bermakna kalau sudah berpecah belah dan bermusuh antara mereka. Apabila bermusuh, pihak lain berpeluang gunakan permusuhan sesama Islam ini untuk mengutarakan kedudukan mereka, bahkan untuk berkuasa dalam negara.

“Jangan fikir tidak mungkin satu hari nanti khutbah sebut ketua negara bukan Islam kerana mereka telah berkuasa dan kita sudah jadi puak yang kecil, berpecah belah dan tidak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata sudah ramai umat Islam di negara ini yang tidak mengamalkan tingkah laku dan cara hidup seperti yang dituntut dalam al-Quran dan hadis.

Justeru katanya kuasa umat Islam hanya dapat dikekalkan sekiranya umat Islam itu sendiri yang berusaha menyelamatkan agama mereka.

“Berkuasa hari ni tidak bermakna kekal berkuasa di masa depan. Jangan fikir pegangan kita akan terus kekal.

“Ia akan terhakis juga bila kita sudah miskin dan daif. Islam tak suruh kita berpecah-belah, tapi suruh kita bersaudara.

“Tanya kepada diri adakah kita benar-benar berpegang kepada ajaran Islam tentang persaudaraan ini,” katanya. -TMI

Ulasan GB

Menarik kenyataan Tun Dr Mahathir di atas seolah-olah kini beliau ingin kembali semula ke pentas politik tanahair setelah disisih sekian lama oleh partinya sendiri.

Beliau melihat perpaduan dari kacamata "kebangsaan" - bahawa kuasa politik Melayu bakal pupus apabila masyarakat Melayu tidak bersatu. Namun beliau yang licik menggunakan sentimen 'agama" bukan bangsa untuk melindungi perjuangan kebangsaannya demi meraih simpati dari kalangan masyarakat Melayu yang tidak menyokong UMNO.

Seterusnya beliau menyerang seorang menteri Besar sebuah negeri Pakatan Rakyat.

Seolah-olah merujuk kepada kerajaan negeri diterajui Pakatan Rakyat, Dr Mahathir berkata sudah ada contoh seorang Menteri Besar beragama Islam menerima arahan daripada Dewan Undangan Negeri dikuasai masyarakat minoriti.

“Dia dipaksa tunduk kepada kehendak mereka, seolah-olah dia bukan lagi mengambil berat tentang agama dan kaumnya,” katanya.


Mahathir terlupa bahawa selama ini Menteri Besar daripada UMNO telah banyak mencabuli maasyarakat Islam dan bangsa Melayu sendiri. Rasuah yang menjadi amalan pemimpin-pemimpin UMNO menyebabkan begitu ramai umat Islam yang rata-rata terdiri dari bangsa Melayu menderita sehinggakan mereka terpaksa bangun menentang MB-MB berpuaka ini sekalipun terdiri dari bangsa sendiri.

Mahathir menggelapkan matanya terhadap MB-MB dari kalangan UMNO yang telah menjual negeri dan bangsanya kepada orang asing. Di Johor, apa yang telah dilakukan oleh MBnya sehingga sebahagian negeri itu kini telah tergadai kepada negara jiran? Di Pahang dan Selangor sebelum ini, apa yang telah dilakukan oleh MB-MB UMNO terhadap tanah-tanah dataran tinggi yang di atas terbina pusat kasino terbesar di rantau ini?

Dan kini Mahathir memainkan sentimen bangsa dan agama untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap parti yang pernah ditinggalkannya semata-mata kerana protesnya terhadap seorang PM yang dilantiknya tidak mendengar kata-katanya.

Beliau berkata sudah ramai umat Islam di negara ini yang tidak mengamalkan tingkah laku dan cara hidup seperti yang dituntut dalam al-Quran dan hadis.

Mahathir cuba bercakap mengenai "perpaduan Islam" sedangkan beliau sendiri adalah musuh terhadap Islam dengan menuduh hukum-hukum Allah dengan perkataan-perkataan keji dan hina. Cuba lihat:


# “Hukum rejam kepada penzina adalah primitif.” (kata Dr Mahathir Mohamad: 3 Mac 1994).
# “Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan. Ini sangat memalukan umat Islam kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja.” (Dr Mahathir Mohamad: 14 Julai 1992).
# “Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tiada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.” (Dr Mahathir Mohamad: 2 Mei 1992.
# “Saya akan memastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh BN tidak akan melaksanakan hukum hudud.” (Dr Mahathir Mohamad: 1994).
# “Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam.” (Dr Mahathir Mohamad: 4 Ogos 1994).
# “Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana sukar mendapat saksi yang tidak fasiq.” (Dr Mahathir Mohamad: 3 Mac 1994, Nilam Puri).
# “Tujuan menutup aurat ialah kerana pada zaman Nabi, Arab Jahiliah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain. Akibatnya ialah peperangan antara mereka yang tidak pernah tamat.” (Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad: 5 September 1997, PWTC, Perhimpunan Agung UMNO, pita rakaman).
# “Melaksanakan hukum hudud sehingga melemahkan orang Islam sehingga menjadi masyarakat kucar kacir dan ditindas oleh orang lain tidak secocok dengan ajaran Islam.” (Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, Kelantan. 14 Ogos 1994, pita rakaman).


Last but not least, I would like to ask you, TDM, could you recall those that had attacked and sprayed you with a mace at the Kota Bharu airport couple of years ago? Were they from PAS, PKR or DAP? No, not at all. They were from your own bloody party! Your party, UMNO, is surely at the brink of collapse. Nither the Malays, nor Islam.

Hei Mahathir, kami telah lama kenal kamu bahawa kamu hipokrit darjat tertinggi.

Hakim Durjana Mahkamah Rayuan Tak Hormat Agong

Video Lingam: Salah bagi mahkamah benar rayuan, kata Karpal

Karpal Singh berkata salah bagi Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan peguam kanan Datuk V.K. Lingam dan dua bekas ketua hakim negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Mohd Eusoff Chin untuk menyemak hasil Suruhanjaya Diraja Siasatan mengenai klip video kontroversi dua tahun lalu.

Peguam veteran itu berkata, suruhanjaya tersebut hanya membuat syor, yang tidak terikat kepada semakan penghakiman.

“Suruhanjaya Diraja Siasatan hanya membuat syor dan bukannya keputusan. Anda hanya boleh membuat semakan penghakiman terhadap sesuatu keputusan, jadi apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi adalah betul dalam mengatakan ia tiada bidang kuasa.

“Saya terkejut dengan keputusan Mahkamah Rayuan,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Beliau menambah, syor-syor yang dibuat oleh Suruhanjaya Diraja Siasatan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.

“Suruhanjaya Diraja Siasatan seharusnya bebas dalam membuat syor dan tidak boleh dipersoalkan oleh mahkamah. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini di negara ini,” katanya lagi.

Karpal juga berkata, syor-syor yang dibuat oleh suruhanjaya itu seharusnya diambil tindakan, bukannya disemak semula.

“Ini kali pertama saya dengar perkara seperti ini. Saya tidak melihat apa yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan adalah betul,” katanya.

Pagi tadi, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Lingam, Ahmad Fairuz dan Eusoff untuk menyemak hasil siasatan suruhanjaya itu.

Dalam keputusan majoriti 2-1 mahkamah itu memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi telah menggunakan prinsip yang salah semasa menolak permohonan bagi semakan kehakiman terhadap hasil siasatan suruhanjaya oleh ketiga-tiga mereka.

Hakim Datuk Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud, yang mengetuai panel tiga anggota bersama Datuk Zaharah Ibrahim membenarkan rayuan berkenaan manakala Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus menolak.

Kes itu kini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar merit kes berkenaan.

Lingam, Ahmad Fairuz dan Eusoff mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka bagi membuat semakan kehakiman terhadap hasil siasatan suruhanjaya diraja itu.

Pada 12 Disember 2008, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa hasil siasatan suruhanjaya itu tidak boleh disemak atau dicabar kerana ia bukan satu keputusan dan ia tidak memberi kesan terhadap hak individu atau obligasai mereka yang terbabit.

Dalam laporan siasatan mereka, panel lima anggota itu mendapati klip video yang menunjukkan Lingam sedang bercakap dengan Ahmad Fairuz mengenai pelantikan hakim, adalah tulen.

Suruhanjaya itu memperakukan agar tindakan sewajarnya dikenakan terhadap enam individu iaitu Lingam, Ahmad Fairuz, Mohd Eusoff, jutawan Tan Sri Vincent Tan, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana salah saku.

Suruhanjaya itu mendapati ada bukti yang cukup bagi menyiasat keenam-enam individu mengikut Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan dan Akta Profesion Undang-undang 1976. Kecuali Dr Mahathir, kelima-lima mereka mengemukakan permohanan agar mahkamah mengadakan semakan semula bagi membatalkan hasil siasatan suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, Vincent dan Tengku Adnan menarik balik rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada awal tahun ini. -TMI

Ulasan GB

Seperti yang GB ulaskan sebelum ini di sini, bahawa hakim-hakim di dalam instusi kehakiman negara terus-menerus berlaku khianat terhadap profesyen mereka dengan menjadikan diri mereka lembu-lembu yang diperbodohkan oleh politik.

Keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan semakan kehakiman kepada Lingam dan bekas Ketua Hakim jelas membuktikan Suruhanjaya Diraja yang dilantik oleh DYMM Yang Dipertuan Agong tidak dihormati.

Hakim-hakim Mahkamah Rayuan meletakkan diri mereka "superior" daridapa Agong dan ini amat menjelekkan.

Tidak cukup dengan pencabulan kehakiman yang telah berjalan selama ini, kini institusi kehakiman hendak dicabul lagi.

Jika GB ada di dalam kabinet apabila Pakatan Rakyat memerintah nanti, kesemua hakim-hakim durjana ini disumbatkan ke dalam penjara seumur hidup.


Apa Lagi Yang Lingam Mau?

Lingam, bekas ketua hakim dapat semakan kehakiman

Dua bekas ketua hakim negara Tun Eusoff Chin dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bersama peguam Datuk VK Lingam berjaya mendapatkan semakan kehakiman bagi mencabar hasil penemuan yang terkandung dalam laporan siasatan Inkuiri Suruhanjaya Diraja mengenai kemelut pita video Lingam.

Berikutan keputusan mahkamah rayuan itu, merit kes berkenaan akan diserahkan semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bahagian rayuan dan kuasa khas) untuk didengar.
Dalam penemuannya, panel lima anggota suruhanjaya itu mendapati klip video yang menunjukkan Lingam sedang bercakap dengan Ahmad Fairuz mengenai pelantikan hakim, adalah tulen.

Datuk Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud, yang mengetuai panel tiga hakim itu mengumumkan keputusan mahkamah rayuan itu bukan sebulat suara tetapi berdasarkan keputusan majoriti 2-1.

Dua hakim lain adalah Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Hishamudin adalah hakim tunggal yang menolak permohonan berkenaan.

Tengku Baharudin dalam penghakimannya berkata mereka bersetuju dengan hujah Lingam bahawa seksyen 53, undang-undang mahkamah tinggi perlu diberi interpretasi yang lebih luas.

Mahkamah juga memerintahkan supaya Lingam dibayar RM30,000 sebagai kos.

Pada 12 Dis 2008, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penemuan suruhanjaya itu tidak boleh disemak atau dicabar kerana ia bukan satu keputusan, dan ia tidak memberi kesan terhadap hak individu atau obligasi mereka yang terbabit.

Dalam penemuannya, panel lima anggota suruhanjaya itu mendapati klip video yang menunjukkan Lingam sedang bercakap dengan Ahmad Fairuz mengenai pelantikan hakim, adalah tulen.

Surahanjaya itu memperakukan agar tindakan sewajarnya dikenakan terhadap enam individu iaitu Lingam, Ahmad Fairuz, jutawan Tan Sri Vincent Tan, setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mohd Eusoff kerana salah laku.

Suruhanjaya itu juga mendapati ada bukti yang cukup bagi menyiasat keenam-enam individu mengikut Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan Kanun Keseksaan dan Akta Profesion Undang-undang 1976.

Kecuali Dr Mahathir, lima yang lain mengemukakan permohonan agar mahkamah mengadakan semakan semula supaya hasil penemuan suruhanjaya itu dibatalkan.


Bagaimanapun, Tan dan Tengku Adnan telah menarik balik rayuan mereka berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada awal tahun ini.

Pesuruhjaya berkenaan -- pengerusi Tan Sri Haidar Mohd Noor, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Amar Steve Shim Lip Kiong, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas Peguam Cara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim -- bersidang selama 17 hari untuk menyiasat klip video 14 minit itu.

Lingam dalam permohonannya semalam berkata mahkamah rayuan perlu menyemak hasil
penemuan yang terkandung dalam laporan siasatan Inkuiri Suruhanjaya Diraja bahawa beliau telah melakukan kesalahan jenayah, kerana ia merupakan serangan terhadap reputasinya.

Lingam berkata walaupun tidak pernah didakwa, reputasinya telah tercemar dengan teruk, oleh itu, mengikut perlembagaan persekutuan, beliau berhak dilindungi.

Beliau juga berkata hakim mahkamah tinggi terkhilaf apabila merumuskan bahawa penemuan suruhanjaya itu bukan satu keputusan kerana isu berhubung ketulenan video klip terbabit secara jelas menunjukkan yang ia memang satu keputusan.

Oleh itu, beliau berkata hasil penemuan suruhanjaya berkenaan boleh disemak.

Ulasan GB

Kononnya reputasinya telah tercemar teruk. Sedangkan beliau tidak mengindahkan lansung kemarahan rakyat bahawa reputasi institusi kehakiman negara telah hancur binasa angkara perbuatan beliau bersama-sama para hakim durjana dan khianat terhadap profesion mereka.

Kini apakah konspirasi hendak berlansung lagi, para hakim dan bekas ingin membersihkan namanya dan menggunakan Lingam, atau Lingam hendak merasuah lagi kepada para hakim supaya penemuan Suruhanjaya Diraja itu dicabar?

Mencabar penemuan Suruhanjaaya Diraja bererti mencabar ke bawah DYMM Yang Dipertuan Agung kerana baginda yang melantik ahli-ahli suruhanjaya berkenaan.

Begitu hanyir dan hina institusi kehakiman negara di bawah pemerintahan UMNO BN ini.

UMNO BN akan dipertanggungjawabkan nanti terhadap kebobrokan sistem kehakiman negara yang telah diperkosa selama ini. UMNO yang menggantikan sistem juri supaya mereka boleh meletakkan sistem kehakiman di dalam tangan mereka untuk membuat keputusan-keputusan yang berpihak kepada mereka.

Pastikan "Bersih sistem kehakiman dan perkenalkan semula sistem juri" dimasukkan di dalam manifesto pilihanraya Pakatan Rakyat akan datang. UMNO BN pasti bungkus!

Mercun - Bagaimana Begitu Banyak Boleh Terlepas?

Mercun berleluasa, akibat pemantauan lemah

Kementerian Dalam Negeri digesa mengeluarkan garis panduan yang jelas mengenai penggunaan mercun terutama ketika musim perayaan.

"Oleh sebab tidak ada dasar penggunaan mercun yang jelas maka kita menyaksikan berlakunya penjualan yang tidak terkawal, perdagangan dan penyeludupan mercun secara haram berleluasa," kata Yusmadi Yusof ketika dihubungi FMT hari ini.

Ahli Parlimen Balik Pulau itu berkata, jika kerajaan memilih untuk tidak mengharamkan mercun maka kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang dan peraturan mengenai penggunaan mercun.

"Tapi jika kerajaan gagal membendung penjualan mercun dan memantau penggunaan mercun dengan lebih ketat, maka haramkan sahaja penggunaan mercun.

"Telah banyak kejadian yang mengerikan dan menyayatkan hati berlaku di mana rakyat terutama kanak-kanak mengalami kecederaan seperti putus jari, berdarah di muka dan tangan hingga ada yang membawa kepada maut," ujar beliau.

Pemantauan yang lemah

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin juga berpendapat pemantauan yang lemah oleh pihak berkuasa terhadap penjualan mercun menjadi punca penjualan mercun begitu berleluasa di negara ini.

Katanya, sekarang ini peniaga mercun menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan-kawasan terbuka tanpa berasa takut terhadap tindakan pihak berkuasa seperti dirampas mahupun ditangkap.

"Pihak berkuasa bukannya tidak nampak peniaga menjual mercun ataupun bunga api di kawasan terbuka tetapi mereka hanya tutup sebelah mata," terangnya.

Beliau menyeru pihak berkuasa, terutama polis dan kastam melaksanakan tanggungjawab dengan lebih serius dalam menangani isu permasalahan mercun ini.

Beliau berkata, setiap keluarga yang bakal menyambut hari perayaan perlu memantau pergerakan anak-anak mereka dari terus bermain mercun bagi mengelak dari kecederaan dan kecacatan serta kematian akibat bermain mercun.

"Kalau ibu bapa pun membiarkan anak mereka bermain dan membeli mercun tanpa kawalan, bagaimana masalah ini dapat dihapuskan atau diselesaikan.

"Kaum keluarga sepatutnya tidak menggalakkan anak-anak bermain mercun tetapi sebaliknya memberi peringatan mengenai kes-kes yang dilaporkan dalam akhbar-akhbar mahupun yang ditunjukkan di kaca TV," jelasnya.

Hari ini dalam akhbar tempatan melaporkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut manakala dua lagi rakannya cedera parah setelah stor penyimpan mercun meletup di Kuala Terengganu.

Di Kedah pula, seorang murid tahun dua hampir putus jari kanan apabila mercun ditangannya meletup. -FMT


Kanak-kanak maut, 2 parah rumah stor mercun meletup

Seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala dua lagi cedera parah apabila sebuah rumah yang dipercayai dijadikan stor simpanan bunga api dan mercun meletup dalam satu kejadian di Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga di Kuala Terengganu tengahari tadi.

Mangsa yang maut Khairul Arif Ayob, 6, pelajar Taman didikan Kanak-kanak (Tadika) Kampung Losong Atap Zin di sini, dikatakan tercampak setinggi 15 meter ke atas pokok yang berhampiran dengan rumah itu akibat letupan kuat tersebut kira-kira pukul 12.30 tengahari.

Seorang saksi Nor Shafli Azhar, 36, berkata mayat Khairul Arif yang mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala, tersangkut di atas pokok berdekatan telah diturunkan oleh orang ramai sebelum membawanya ke hospital.

"Kaki seorang lelaki hampir hancur, selain mengalami kecederaan di bahagian badan manakala seorang lagi mangsa juga mengalami kecederaan parah di bahagian kaki," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Bagaimanapun idendititi kedua-dua lelaki berkenaan yang berumur 22 dan 23 tahun masih belum dikenalpasti.

Nor Shafli berkata, ketika kejadian beliau sedang berehat di rumahnya tidak jauh dari tempat kejadian apabila tiba-tiba terdengar bunyi letupan yang kuat sehingga menggegarkan rumahnya.

Beliau kemudian menjengah ke luar rumahnya dan melihat asap tebal dari arah rumah tinggal terbabit dan bergegas ke tempat kejadian untuk melihat secara dekat kejadian yang berlaku.

"Apabila sampai saya mendapati rumah berkenaan rosak teruk dengan sebahagian dinding rumah tercabut dan berandanya runtuh. Dua orang lelaki turut terbaring di luar rumah dalam keadaan cedera parah," katanya yang merupakan seorang peniaga.

Beliau berkata salah seorang lelaki terbabit berada dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala seorang lagi lelaki yang berada di bawah serpihan kayu daripada rumah yang meletup itu sempat memberitahunya ada seorang budak yang turut terlibat dalam kejadian itu dan mengarah beliau mencarinya.

"Setelah mencari saya tidak sangka pula akan menjumpai mayat kanak-kanak itu tersangkut di atas pokok dengan kepalanya cedera parah," katanya.

Beliau berkata, dua mangsa yang cedera parah itu kemudian telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan.

Seorang jiran yang tinggal berhampiran 50 meter daripada rumah berkenaan, Hasnah Abdul Jalil, 50, pula berkata kejadian itu mengakibatkan atap rumahnya tercabut dan cermin tingkap dapur rumahnya rosak teruk.

"Mujurlah saya tidak ada di rumah ketika kejadian kerana kebiasaannya saya sedang memasak waktu itu. Ketika itu saya keluar untuk mengambil anak saudara di tadika di kawasan berhampiran," katanya.

Beliau turut mendakwa sering ternampak kereta keluar masuk di kawasan rumah tinggal itu dengan mengangkut barangan, namun tidak mengetahui jenis barangan itu.

Sementara itu, ibu saudara kanak-kanak malang itu Rozita Abdul Rahman, 35, ketika ditemui di rumah ibunya berkata, ketika kejadian ibu bapa kanak-kanak berkenaan keluar ada urusan di mahkamah.

Manakala, anak saudaranya yang peramah dan cepat mesra itu, sudah beberapa hari tidak ke sekolah (tadika) kerana demam.

"Hari ini entah macam mana dia boleh ikut kawan ayahnya ke tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, ibu Khairul Arif telah menyediakan dua pasang baju raya untuk di pakai oleh kanak-kanak itu pada hari raya nanti.

"Saya juga rasa hairan kerana hari ini Khairul Arif membawa bersama selipar rayanya ke hulu ke hilir untuk ditunjukkan kepada orang yang dijumpainya. Dia juga tidak semena-mena pernah berkata nak pergi jauh," katanya yang terkejut dengan kejadian itu.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan yang turut melawat tempat kejadian, mengarahkan satu siasatan terperinci dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kejadian selain jenis bahan letupan dan individu yang terlibat.

"Kita akan meminta bantuan Unit Forensik dan Unit Bom dari Kuala Lumpur untuk membantu menyiasat dalam kes ini," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak bermain dengan mercun menjelang musim perayaan ini untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

- Bernama

23 Ogo 2010

Malaysia Dihina, Polis Malaysia Perlu Bertanggungjawab

Kedutaan M'sia dilempar najis, bendera dipijak

Kedutaan Besar Malaysia ke Indonesia di Jakarta telah dilempar najis manusia oleh penunjuk perasaan daripada kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) pada satu demonstrasi petang ini.

Seorang daripada 37 penunjuk perasaan itu telah melemparkan najis itu ke dalam perkarangan kedutaan itu melepasi pintu pagar hadapan dan di atas kepala barisan anggota polis Indonesia yang sedang mengawal ketat di hadapan bangunan itu.

Mereka turut melepaskan najis itu ke atas bendera Malaysia yang dipijak-pijak di atas jalan tempat mereka berkumpul di hadapan kedutaan itu.

Kumpulan itu sebelumnya telah membawa lima bungkusan najis itu, ada yang diletakkan dalam kertas bungkusan makanan, dalam plastik dan dalam kotak polisterin dan dinyatakan sebagai "hadiah" untuk Duta Besar Malaysia ke Indonesia kerana Malaysia selama ini telah beberapa kali memberi "najis" yang lebih kotor kepada Indonesia.

Dengan tiba-tiba seorang daripada mereka melempar bungkusan kertas berisi najis itu ke dalam pagar kedutaan itu dan pada masa yang sama, najis turut dilepaskan ke atas bendera Malaysia yang mereka sedang pijak itu.

Demonstrasi itu diadakan bagi menandakan kemarahan mereka terhadap Malaysia yang mereka dakwa telah merendahkan maruah Indonesia dalam insiden di perairan Bintan pada 13 Ogos lalu apabila polis Malaysia menahan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia.

Ia juga untuk menyatakan kekecewaan rakyat terhadap kepemimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, yang dikatakan sangat lemah menghadapi Malaysia.

Berikutan kejadian lempar najis itu polis Indonesia menangkap tiga orang pelaku berkenaan.

Demonstrasi itu berlangsung selama sejam.

Seorang wakil kumpulan itu kemudian memberitahu wartawan yang meliputi peristiwa itu bahawa mereka telah memberi kata dua kepada polis Indonesia iaitu lepaskan rakan-rakan mereka itu daripada tahanan atau mereka akan melakukan operasi usir rakyat Malaysia petang ini.

Operasi yang dinamakan "Sweeping Rakyat Malaysia" itu dirancang akan dilakukan di hadapan bangunan kumpulan itu di Jalan Diponegoro, Menteng, di Jakarta.

Polis Indonesia telah menugaskan ramai anggota untuk mengawal ketat di hadapan bangunan kedutaan Malaysia, setelah mendapat maklumat bahawa demonstrasi berkenaan akan disertai antara 300 dan 500 penunjuk perasaan.

Dalam insiden di perairan Malaysia-Indonesia itu, bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan menahan tujuh nelayan Malaysia manakala Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai pengkuatkuasa kementerian dari Indonesia itu, masing-masing kerana didakwa menceroboh wilayah masing-masing.

Kedua-dua negara kemudian membebaskan tahanan-tahanan itu pada 17 Ogos lalu. -Bernama


Indonesia Hantar Nota Diplomatik Bantah Insiden Di Bintan

Indonesia Rabu menghantar nota diplomatik kepada Malaysia bagi membantah penahanan tiga pegawai lautnya oleh Polis Marin Malaysia pada Jumaat lepas.

Menteri Luar Dr Marty Natalegawa berkata nota bantahan itu menyatakan pendirian tegas Indonesia bahawa Malaysia telah melakukan pelanggaran terhadap integritinya kerana kejadian itu berlaku dalam wilayah Indonesia.

"Kami sangat prihatin kerana tindakan itu bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Kami tidak dapat menerima perlakuan terhadap pegawai Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Nota diplomatik itu diserahkan kepada Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afzaruddin Syed Hassan di Kementerian Luar Indonesia di sini pagi ini.

Dalam kejadian Jumaat malam itu, para pegawai penguatkuasa Jabatan Kelautan dan Perikanan Indonesia pada mulanya telah menahan tujuh nelayan Malaysia yang didakwa menceroboh kawasan perairan Indonesia tetapi Polis Marin Malaysia pula dilaporkan menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian itu dengan dakwaan mereka menceroboh perairan Malaysia.

Kejadian dilaporkan berlaku di perbatasan perairan Malaysia dan Indonesia sekitar Pulau Bintan, Kepulauan Riau, Indonesia.

Natalegawa berkata Indonesia telah memastikan bahawa kejadian penahanan tujuh nelayan Malaysia oleh pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia berlaku dalam wilayah Indonesia berdasarkan peta nombor 349 tahun 2009.

Kementerian Luar Indonesia sebelum ini dikritik hebat di sini terutamanya ahli politik dan pemerhati politik kerana tidak memperlihatkan ketegasannya dalam menangani insiden itu, lebih-lebih lagi apabila tiga orang pegawai kerajaan negara itu telah ditahan oleh polis Malaysia.

Natalegawa berkata pihaknya mengambil sedikit masa sebelum menghantar nota diplomatik itu kerana mengambil sikap berhati-hati terutamanya dalam menentukan bahawa insiden itu berlaku dalam wilayah Indonesia.

Sebelum ini, katanya, Kementerian Luar Indonesia telah menyuarakan protes keprihatinan dan pendiriannya berhubung insiden itu kepada Malaysia.

Natalegawa berkata Indonesia berharap perundingan perbatasan perairan negara dapat segera diadakan dengan Malaysia bagi mengelak insiden seumpama di Pulau Bintan itu daripada terus berlaku. -BERNAMA

Isu Khutbah : Bagaimana Kalau Doakan KM/MB Bukan PR?

Sejak seminggu yang lalu isu doa khutbah Jumaat telah menjadi satu perkara hangat yang diperkatakan setelah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kekecewaan beliau selepas mempegerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang di Tasek Gelugor pada 19 Ogos.

Pendedahan beliau yang menyatakan terdapat khatib di dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong telah mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggantikan doa yang sepatutnya dibacakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Tuan Yang Terutama,Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Namun begitu isu ini dengan spontan mendapat reaksi positif dari UMNO dan Barisan Nasional setelah Kerajaan Negeri Pulau Pinang membuat penafian atas apa yang didakwa berlaku dalam bacaan doa khutbah tersebut.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim dalam kenyataan beliau pada 20 Ogos di pejabatnya telah menafikan dakwaan yang dibuat berdasarkan kepada teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) memang tidak meletakkan nama Ketua Menteri sebagai doa dalam khutbah tersebut.

Manakala dalam sidang media pada 21 Ogos pula, sekali lagi Abdul Malik bersama-sama dengan Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman dan Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Pulau Pinang, Mujahid Yusof Rawa telah memberi amaran kepada UMNO supaya tidak menjadikan isu agama sebagai meraih sokongan masyarakat Melayu di Pulau Pinang.

Mujahid: Masalahnya istilah "ganti"

Mujahid dalam kenyataannya juga meminta UMNO supaya mengenal pasti dengan bukti ada khutbah yang menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Dalam kenyataan media tersebut beliau juga berkata, jika doa untuk meminta kesejahteraan adalah "standard" dan tidak boleh diubah kepada nama-nama lain.

"Namun jika doa yang dibaca secara umum untuk diberikah hidayah, saya rasa itu tidak ada masalah kerana ia suatu perkara yang biasa apabila rakyat berdoa untuk diberi petunjuk kepada sesiapa sahaja termasuk Ketua Menteri."

"Apa yang menjadi isu iaitu satu fitnah UMNO terhadap Kerajaan Negeri ialah perkataan 'ganti' yang digunakan dan ia satu pembohongan besar yang sengaja diperbesarkan UMNO untuk menimbulkan kemarahan rakyat di Pulau Pinang," katanya lagi.

MAZA: Tidak salah untuk doakan sesiapa, tapi...

Sementara itu bekas Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin dalam kenyataan beliau turut menyatakan pada zaman Rasulullah s.a.w. Baginda turut mendoakan supaya Allah s.w.t.menurunkan hidayah kepada Sayyidina Umar Al Khattab supaya menerima agama Islam.

"Sebenarnya tidak salah untuk mendoakan kepada sesiapa, tetapi kita perlu melihat konteks doa itu sendiri, apakah tujuan dan matlamat doa ini. Pada asalnya di dalam mana-mana khutbah, tidak semestinya perlu menyebut nama sesiapa kerana ia bukan menjadi rukun bagi khutbah."

Beliau menyambung, "Bagaimana pun sekiranya ingin menyebut nama seseorang di dalam khutbah tidak menjadi satu kesalahan."

Masjid Jamek Padang Menora, Tasek Gelugor dan Masjid Jamek Kubang Buaya, Butterworth adalah antara masjid yang telah dikenal pasti berlakunya bacaan doa khutbah oleh ustaz Zakaria Ahmad selaku khatib jemputan.

Turut didakwa berlakunya bacaan doa khutbah yang melibatkan nama Ketua Menteri ialah masjid dalam kawasan Jelutong dan Permatang Pauh. Namun begitu sehingga ini belum ada nama masjid yang tepat dinyatakan.

Rentetan daripada itu dalam sidang media semalam yang dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman, Exco Kerajaan Negeri Abdul Malik Abul Kassim, Speaker Dewan Undangan Negeri, Abdul Halim Hussain, Exco Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain kesepakatan yang dicapai ialah menyarankan supaya tindakan diambil terhadap khatib yang terlibat sekiranya terbukti kebenarannya.

Mansor juga mendakwa tuduhan yang dibuat oleh UMNO terhadap Kerajaan Negeri dalam isu doa khutbah Jumaat ini adalah fitnah jahat seolah-olah arahan dari Kerajaan Negeri untuk menggunakan nama Lim Guan Eng.

Beliau juga berkata, Lim tidak pernah menerima atau mengarahkan mana-mana pihak untuk menggunakan nama beliau dalam teks khutbah Jumaat seperti yang didakwa oleh UMNO.

Bagaimana kalau KM/MB bukan dari PR?

Dalam pada itu sepatutnya semua pihak tidak menjadikan isu agama sebegini sebagai satu modal politik walaupun mempunyai ideologi yang berbeza.

Ulama dan para ilmuan agama harus bangun dan menyatakan hakikat kebenaran isu doa dalam khutbah kedua solat Jumaat ini. Apakah ianya menggugat khutbah Jumaat tersebut dari segi sah atau sebaliknya?

Sudah pasti masyarakat yang kurang mahir dalam ilmu agama dan syarat sah serta rukun khutbah yang tidak mewajibkan doa untuk dibaca kepada mana-mana pemimpin ini akan tertanya-tanya kedudukan sebenarnya.

Apa yang pasti lima rukun khutbah wajib ada. Pertamanya ialah dimulai dengan pujian bagi Allah seperti Alhamdulillah. Keduanya diikuti dengan salawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Yang ketiganya ialah mengandungi pesanan kepada jemaah agar bertaqwa kepada Allah. Yang keempatnya pula ialah membaca satu ayat Al-Quran samada pada khutbah pertama atau kedua. Yang akhirnya ialah mendoakan setiap muslim pada khutbah kedua.

Apabila polemik ini timbul maka kemungkinan besar masyarakat akan bertanya bagaimana pula sekiranya doa dibacakan untuk pemimpin seperti Menteri Besar atau Ketua Menteri yang datangnya dari parti lain selain dari Pakatan Rakyat? Persoalan juga kemungkinan timbul apakah akan wujud juga bantahan sedemikian terhadap khatib tersebut sepertimana yang berlaku kini? -Nazar hashim (MR)

Saifuddin Ditekan Untuk Tidak Bertemu Pemuda PAS?

Pertemuan Pemuda PAS dan Saifuddin dibatalkan

Pertemuan Dewan Pemuda PAS pusat (DPPP) dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang dijadualkan hari ini telah dibatalkan.

Menurut pegawai media DPPP pusat, Fadhil Osman, pembatalan itu adalah atas permintaan timbalan menteri pengajian itu sendiri "atas sebab-sebab tertentu".

"Satu tarikh baru akan diberitahu dalam waktu terdekat," kata Fadhil dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Sebelum ini, DPPP mahu menemui Saifuddin yang juga ahli majlis tertinggi Umno berhubung isu kewajaran mahasiswa terlibat dalam politik.

Melalui sepucuk surat yang dihantar kepada Saifuddin 16 Ogos lalu, DPPP mencadangkan pertemuan itu diadakan pada jam 2.30 petang ini, di pejabat timbalan menteri berkenaan

Sementara itu, Fadhil mengumumkan bahawa Khairul Faizi Ahmad Kamil telah dilantik sebagai setiausaha DPPP yang baru.

Beliau menggantikan Kamaruzzaman Mohamed yang juga ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. -MK

Ulasan GB

Banyak pihak merasakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah telah ditekan oleh pihak tertentu daripada meneruskan rancangannya untuk bertemu dengan Dewan Pemuda PAS berhubung isu kewajaran mahasiawa melibatkan diri di dalam politik.

Ini kerana sebelum ini jemaah menteri telah memutuskan melarang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlibat dalam parti politik.

Saifuddin sebelum ini telah melahirkan kesediaannya untuk menemui sesiapa sahaja termasuk Pemuda PAS bagi membincangkan idea membenarkan penglibatan mahasiswa dalam politik.

“Saya bersedia untuk berbincang dengan sesiapa sahaja, saya akan menerima jemputan sesiapa sahaja sama ada Pemuda PAS atau daripada mana-mana pihak,” kata Saifuddin.

Laporan awal Bernama menyebut Kabinet bersetuju melarang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlibat dalam parti politik.

Laporan itu yang memetik Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin ditarik balik beberapa jam kemudian.



Hudud - Semakin Dijauhi Semakin Ia Diperlukan

DAP: Hudud, negara Islam bukan dasar Pakatan

DAP menjauhkan diri daripada soal memperbaharui perbincangan mengenai pelaksanaan hukum hudud dan negara Islam dengan menegaskan, kedua-duanya aspek itu bukan dasar Pakatan Rakyat (PR).

Penasihat DAP Lim Kit Siang mempertahankan pendirian konsisten parti itu yang sentiasa menekankan bahawa Malaysia sebuah negara sekular.

“Undang-undang hudud dan negara Islam bukan dasar Pakatan Rakyat.

“Itu sebab isu-isu ini tidak disebutkan dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang diumumkan Disember 2009,” kata Lim dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dasar itu diputuskan pada konvensyen sulung PR, yang dibentuk April 2008, akhir tahun lalu.

Di bawah Dasar Bersama itu, PR membuat pendirian akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama rasmi persekutuan manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas.

“Undang-undang hudud dan negara Islam bukan dasar Pakatan Rakyat, apa-apa perubahan dasar perlu menerima persetujuan ketiga-tiga parti komponen dan tiada konsensus dalam Pakatan Rakyat mengenai undang-undang hudud dan negara Islam (setajat ini),” kata Lim lagi.

Ahli Parlimen Ipoh Timur ini menekankan idea negara Islam disokong dan digerakkan oleh tiga perdana menteri terkemudian — Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

Ia bercanggah dengan pendirian tiga perdana menteri terdahulu iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn yang menganggap Malaysia negara sekular dan bukannya negara Islam.

Kata Lim, kepimpinan MCA, Gerakan, MIC, SUPP dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) yang bersedia memberikan sokongan bulat kepada tiga perdana menteri terakhir, bermula daripada deklarasi 929 Dr Mahathir bahawa Malaysia adalah negara Islam pada 29 September 2001.

Perbincangan baru berhubung pelaksanaan undang-undang hudud dan negara Islam bermula apabila Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh mengumumkan bahawa beliau kekal menentang undang-undang sedemikian jika PR mengambil alih kerajaan persekutuan.

Kata Karpal, undang-undang sedemikian “tidak berperlembagaan” dan setiap orang perlu menghormati perlembagaan.

DAP mengeluarkan kenyataan ini sehari selepas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat kenyataan Karpal yang tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud adalah pandangan peribadinya.

Menteri Besar Kelantan berkata suara-suara sumbang yang timbul mengenai hukum hudud adalah pendapat peribadi dan bukan kenyataan rasmi parti itu.

“Pemimpin DAP lain senyap, hanya dia yang timbul isu itu. Ini kerana apa yang ditimbulkan oleh pemimpin DAP itu merupakan pendapat perseorangan dan bukannya keputusan parti,” katanya.

Karpal tidak bersetuju dengan cadangan Nik Aziz, yang dibuat Khamis lalu bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

“Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini.

“Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud,” kata Karpal. -TMI

Ulasan GB

Ya memang benar apa yang dikatakan oleh Sdra Lim Kita Siang bahawa Hudud dan negara Islam bukan dasar Pakatan Rakyat. Namun tiada siapa dapat mempertikaikan bahawa ia dasar perjuangan Parti Islam SeMalaysia. Dan PAS tidak memaksa parti-parti lain menerima gagasan yang PAS bawa. PAS mengutarakan satu alternatif dan di dalam sistem demokrasi yang diamalkan oleh negara, biar rakyat menentukan samada dasar ini diterima atau pun tidak.

PAS tidak memaksa - seperti arahan Allah yang tidak pernah memaksa agamaNya diterima. "Tiada paksaan dalam beragama" - firman Allah di dalam Al-Quran. Dan ini sekaligus meletakkan pemimpin-pemimpin PAS di dalam situasi mereka diuji - diuji setakat mana kemampuan, kebijaksanaan, ketrampilan dan upaya mereka agar gagasan mereka diterima oleh rakyat di negara ini, termasuk pemimpin-pemimpin DAP yang menjadi rakan sepakatan sendiri, yang vokal menentang hukum hudud dan negara Islam selama ini.

Bagi Tuhan, Tuhan tidak rugi sedikit pun jika hukumNya di tolak. Kerana sifat Tuhan itu Maha Kaya dari segala-galanya, jika Tuhan itu tidak kaya dari segalanya, bagaimana mungkin Dia dinamakan Tuhan? Tak begitu sdraku Lim dan Karpal?

Tetapi yang rugi ialah kita-kita yang bernama manusia kerana sebelum diberikan kesempatan untuk dicuba dan dilaksanakan kita telah awal-awal menolaknya.

Sekularisma - dengan segala kelemahannya yng terdedah selama ini dijadikan pilihan. Sekalipun kebejatannya terpampang jelas. UMNO BN telah menjadikan sekularisma sseagai dasar pemerintahan di negara ini sejak ia berkuasa. Sebutkan saja mana-mana pemimpin UMNO, MCA atau MIC yang boleh dijadikan role-model selama ia berkuasa?

Malah sistem sekularisma melahirkan masyarakat yang semakin bobrok, masyarakat yang semakin pincang segala masalah dari peringkat atas sampai ke bawah. Segala macam barah melanda seperti rasuah dan penyelewengaan hasil kerakusan manusia terhadap kuasa dna kekayaan ditambah pula dengan jenayah dan penyakit sosial yang melanda rakyat. Membuktikan bahawa sistem sekularima selama ini telah gagal.

Sistem Islam sudah ada role-model di dalam negara kita. Kelantan yang dipimpin oleh Nik Aziz menjadi bukti bahawa jika rakyat menerima sistem Islam, ia mampu menjadi alternatif terbaik dan teladan untuk rakyat berbilang kaum di negara ini.

Itu pun sistem yang dilaksanakan di Kelantan tidak sepenuhnya Islam lantaran sekatan Perlembagaan yang membataskan Kelantan daripada melaksanakan Islam sepenuhnya. Malah Kelantan pernah diugut oleh UMNO BN untuk diheret ke mahkamah jika melaksanakan undang-undang Islam.

Kendati pun begitu, dengan sedikit apa yang dilaksanakan di Kelantan oleh Nik Aziz selama 20 tahun memerintah menzahirkan sekilas cahaya di dalam kegelapan. Sistem Islam sudah ada role model - Nik Aziz orangnya - dengan segala keserhanaannya - yang saya kira hati-hati kecil Sdra Lim dan Karpal juga pasti turut mengakui "fakta" bahawa beliaulah teldaan terbaik sebagai pemimpin. Tidakkah begitu?

Memang sebagai seorang manusia biasa, Nik Aziz ada kelemahan - bukan 100% perfect - namun mana-mana pemimpin yang lain terutama UMNO BN yang lain sudah pasti mempunyai kelemahan yang lebih banyak dari beliau.

Islam memperakui keharmonian sejagat, malah "golden rules" yang terkandung di dalam masyarakat sekularisma kebanyakannya adalah terkandung kalau tak pun ia saduran dari ajaram Islam.

Justeru itu mengapa ianya dicemburui dan ditakuti?

Memang UMNO yang merupakan pengkhianat agamanya berhasil untuk memberikan gambaran negatif terhadap hukum hudud kepada bukan Islam.

Namun, semakin hudud dijauhi semakin ia dirindui dan diperlukan. Kerana tanpanya, penyakit masyarakat akan terus semarak dan lukanya terus bernanah. Tanpa ubat yang betul, penyakit masyarakat itu akan melumpuhkan dan mematikan tamadun manusia sendiri kerana tidak mungkin preskripsi sekularisma buatan manusia mampu mengubati penyakit yang terhasil oleh perbuatan tangan manusia sendiri. Kerana bagaimana mungkin tangan manusia yang berpenyakit ingin membedah pesakit yang malang?

"Doktor-doktor" yang berupa undang-undang sekularisme cuba membedah di pinggiran sedangkan mereka sebenarnya adalah sebahagian dari penyakit yang menyerang!


22 Ogo 2010

Chua Dicabar Keluarkan MCA Dari BN

MPM mahu tindakan ISA ke atas Soi Lek

Majlis Perundingan Melayu (MPM), hari ini sepakat mendesak kerajaan mengenakan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang didakwa mencetuskan ketegangan kaum selain melanggar semangat perlembagaan dengan mempersoalkan hak istimewa orang Melayu.

Ahli Jawatankuasa Pemandu MPM, Dr Zubir Harun berkata kenyataan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim semalam yang mendakwa Dr Chua melanggar Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dengan meminta ekuiti 30 peratus pegangan bumiputera dalam perniagaan dikurangkan.

“Mengikut kenyataan Datuk Rais semalam, kami rasa pelanggaran ini sebagai satu perkara serius.

“Beliau cuba merompak hak Bumiputera mendapatkan rezeki,” tegas Zubir kepada wartawan ketika sidang media sempena mesyuarat tergempar MPM di sini.

MPM, sebuah badan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu ditubuhkan Mac lalu dengan tujuan mempertahankan hak kaum Melayu dan Bumiputera.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MPM Dr Hasan Mad berkata resolusi Kongres Ekonomi Cina anjuran MCA Sabtu lalu seolah-olah sengaja mencabar hak Melayu.

Malah, Hasan menempelak penafian Dr Chua hari ini bahawa beliau tidak mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru atau hak Bumiputera.

“Itu yang saya panggil lidah biawak. Resolusi itu dalam bentuk bertulis jelas menunjukkan beliau memang meminta pengurangan (ekuiti Bumiputera). MPM tidak mahu pemimpin yang tidak menyumbang kepada pembangunan negara seperti ini,” tegas beliau.

Menurut Hasan, MPM akan mengeluarkan resolusi sendiri selepas mesyuarat tergempar har ini menuntut kerajaan tidak tunduk dengan permintaan MCA atau mana-mana NGO kaum Cina.

“Kita akan tulis surat. Pertama kepada menteri Kabinet Melayu, kedua kepada ahli Majlis Tertinggi Umno minta supaya tidak tunduk dengan permintaan kaum Cina dari MCA atau mana-mana pihak,” kata Hasan.

Dr Chua sebelum ini juga telah meminta kerajaan menambah peruntukan kepada sekolah aliran Cina kerana mendakwa pertambahan murid di samping kepentingan berbahasa Mandarin bagi menarik pelabur dari China.

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pemandu MPM, Datuk Kamaruddin Kachar berkata hanya sekolah kebangsaan layak menerima peruntukan kerajaan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Perlembagaan kata sekolah bukan kebangsaan tak boleh terima peruntukan. Jadi mengapa nak bagi peruntukan (kepada Dr Chua). Kita menuntut sekolah Cina dan Tamil dimansuhkan dan hanya nak sekolah satu aliran,”katanya.

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pemandu MPM, Datuk Seri Mohd Hilmi Ismail menambah hanya Malaysia masih memiliki sekolah pelbagai aliran.

“Di negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia tak ada sekolah vernakular. Hanya Malaysia ada,” ujar beliau.

MPM turut memberi amaran kepada MCA bahawa orang Melayu tidak akan memberi sokongan kepada parti itu jika ia terus mengungkit hak istimewa orang Melayu.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, salah satu ahli gabungan MPM sebelum ini telah membuat laporan polis terhadap Dr Chua berhubung kenyataannya yang dikatakan berbaur perkauman apabila mempersoalkan sistem kuota ekonomi Bumiputera.

Dr Chua semasa ucapannya di Kongres Ekonomi Cina Malaysia 14 Ogos lalu menuntut ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat tetapi mendapat tentangan hebat pelbagai NGO Melayu. -TMI


Ibrahim pula gesa pihak tak hormati kontrak sosial keluar Malaysia

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menyertai senarai pihak yang menggesa agar mereka yang menyentuh soal kepentingan Bumiputera dan kontrak sosial supaya balik ke negara asal mereka.

Dalam kenyataan dikeluarkan pagi ini, Ibrahim berkata “siapa yang tidak menghormati kontrak sosial iaitu Perkara 153 boleh keluar Malaysia, balik negara asal nenek moyang.”

“Jangan hipokrit,” kata Ibrahim yang lazimnnya lantang dalam kenyataan dikirim menerusi khidmat pesanan ringkas.

Pendirian yang sama ditulis oleh kolumnis Mingguan Malaysia Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah Ahad lalu.

Ia disusuli dengan pendedahan kenyataan seorang pengetua sekolah menengah di Kulai Jaya, Johor dan baru-baru ini didakwa dikeluarkan oleh pengetua sekolah rendah di Kedah.

Pendirian Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dikeluarkan ekoran kenyataan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon semalam.

Koh berkata, rakyat perlu berhenti daripada terlalu memikirkan isu perkauman termasuk mengenai kuota serta ekuiti Bumiputera dan berhenti daripada bergaduh berhubung perkara itu.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata pertengkaran secara terbuka tidak membawa apa-apa kebaikan dan beliau sebaliknya meminta setiap individu untuk memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negara.

“Saya merayu kepada semua agar jangan memperbesarkan isu perkauman dan kritikan.

“Jangan terlalu memikirkan tentang sudut perkauman. Jika perkara ini berterusan, kita akan semakin kurang berkongsi dan lebih banyak bertengkar,” katanya.

Koh berkata beliau menasihatkan Ibrahim agar lebih member tumpuan tentang bagaimana memperkasakan pengetahuan, pengalaman dan daya saing di kalangan Bumiputera daripada melukakan perasaan kaum lain dengan “berkata itu dan ini.”

“Komen saya terhadap Koh Tsu Koon yang tegur saya, suruh ambil tindakan positif memperbaiki nasib Bumiputera bukan dengan hanya bercakap dan melukai hati kaum lain.

“Tapi kaum lain tak luka hati kaum Bumiputera ke? Isunya, sebagai Menteri Perpaduan, kenapa dia tak tegur Cina, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan dia dan ICU kena bertanggungjawab membuat Melayu Pulau Pinang merempat,” katanya.

Ibrahim berkata Koh perlu menyatakan pendiriannya dalam soal ekuiti 30 peratus sedangkan Bumiputera 67 peratus.

“Nyatakan pendirian. Koh juga adalah dalam satu kumpulan anti-Melayu secara halus,” katanya lagi. -TMI


Ulasan GB

Dah sampai orang kata awak beridah biawak. Pun sanggup nak duduk sekandang lagi?

Isu Khutbah: UMNO Mendedahkan Kejahilannya

Asri: Jangan politikkan isu khutbah, tak salah doa pemimpin sejahtera

Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) tidak mempolitikkan isu membaca doa membabitkan kesejahteraan Ketua Menteri Pulau Pinang semasa khutbah sehingga boleh mencetuskan suasana tidak senang di kalangan rakyat.

Sambil menegaskan beliau tidak pasti bentuk doa yang telah dibacakan sebagaimana didakwa oleh Umno Pulau Pinang, bekas mufti Perlis kelahiran Pulau Pinang itu menganggap membacakan kesejahteraan Lim selaku Ketua Menteri atau seabgai ketua kerajaan negeri adalah perkara kecil.

“Jangan mempolitikkan isu ini, saya katakan perkara ini kepada Pakatan dan juga BN, jangan mempolitikkan,” kata beliau.

Asri menambah, parti-parti politik perlu ada semangat “negarawan” tanpa melihat sesuatu isu itu dalam skop yang terbatas atau kerangka politik semata-mata atau kepentingan kelompok tertentu.

“Saya tidak memihak kepada mana-mana pihak... kita (sebenarnya) ada banyak perkara besar untuk dilakukan bagi rakyat negara ini... isu ini (membaca doa kesejahteraan) bukanlah besar sangat pun,” kata beliau yang pulang ke tanah air dari Mekah kelmarin.

“Saya tidak tahu apakah doa yang dibacakan, kita kena melihat pada kandungan doa,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam sambil menjelaskan, doa jatuh dalam empat kategori.

Doa pertama menurut beliau, meminta seseorang pemimpin diberikan petunjuk atau hidayah manakala yang kedua berharap agar seseorang pemimpin itu bersikap adil atau bersimpati dengan nasib rakyat.

“Doa ini boleh dibacakan ke atas pemimpin sama ada mereka itu Islam atau bukan Islam,”
katanya.

PR melihat Umno menggunakan isu itu menyerang kepimpinan negeri diterajui Lim sejak Mac 2008. Isu khutbah dilihat siri terbaru serangan ke atas kerajaan negeri pimpinan PR.

“Dua doa yang lain ialah kita mendoakan kesejahteraan seseorang pemimpin itu walaupun dia berlaku tidak adil, seolah-olah kita bersetuju dengan kezaliman dia, dan satu lagi ialah berdoa memuji kepimpinan, seolah-olah doa penghias kepimpinan)... kedua-dua ini tidak boleh dilakukan,” katanya.

Asri juga membangkitkan persoalan mengapa isu doa dijadikan sebagai satu isu besar sekarang sedangkan ada parti-parti politik yang pernah berdoa agar membawa kemenangan seseorang calon bukan Islam yang diletakkan dalam pilihan raya.



Katanya, jika doa kemenangan dibolehkkan ke atas calon bukan Islam, mengapa doa kesejahteraan pemimpin bukan Islam tidak boleh demi menunjukkan hidayah atau petunjuk dan agar berlaku adil kepada rakyat.

“Saya tidak mahu menyebut parti mana yang berbuat demikian, tetapi jangan mempolitikkan isu doa sekarang... pernah ada parti yang membacakan doa agar membawa kemenangan kepada calon mereka yang bukan Islam, mengapa dulu boleh tetapi sekarang tidak boleh, jadi ada doa yang boleh dan ada doa yang tidak boleh... doa untuk kebaikan kita boleh lakukan,” katanya.

Asri juga menasihatkan agar isu khutbah dan doa dilihat dari sudut agama yang akan memberikan penyelesaian adil dan berfakta, bukannya menerusi platform politik yang lebih bersifat emosional.

Ketika ditanya mengenai penggunaan nama Ketua Menteri untuk digantikan dengan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Asri berkata, beliau tidak pasti soal tersebut baru pulang dari luar negara.

“Aspek ini saya belum ada maklumat sebab saya baru pulang dari luar negara,” kata beliau.

Setakat semalam polis sudah pun menerima tiga laporan berhubung dakwaan penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Laporan Utusan Malaysia semalam memetik Imam Masjid Jamek Padang Menora, Ibrahim Ishak yang mengakui khatib ada menyebut nama Ketua Menteri dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, ia bermaksud semoga Allah membukakan hati Guan Eng untuk menerima Islam.

Khamis lepas, Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang memprotes penggunaan nama Ketua Menteri dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan nama Ketua Menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.

Beliau berkata tindakan menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat adalah di luar daripada keputusan Majlis Raja-Raja.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan perkara tersebut berdasarkan siasatan awal.

“Biar siasatan dijalankan untuk menentukan khatib atau imam masjid mana yang terlibat dan kalau benar tindakan tegas akan diambil,” kata Timbalan Ketua Menteri I Dr Mansor Othman dan Exco Kerajaan Negeri Abdul Malik Kassim dalam satu kenyataan bersama semalam.

“Hanya khatib atau imam yang tak siuman berani menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim Guan Eng. Sekiranya dakwaan ini benar, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas,” kata pemimpin itu.

Dalam kenyataan itu juga, Abdul Malik dan Mansor menambah, dakwaan yang lebih merupakan fitnah terhadap kerajaan negeri adalah sangat serius kerana boleh mencetuskan kemarahan, kebencian dan ketegangan kaum dan agama dan membawa insiden yang tidak diingini.

“Lim Guan Eng, yang tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Islam, pun dianiayai,” kata mereka.

Umno Pulau Pinang mempertahankan pendirian mereka dengan menafikan dakwaan bahawa parti itu sengaja mencipta isu kononnya nama Ketua Menteri digunakan dalam khutbah untuk menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Ketika menjelaskan kepada The Malaysian Insider, Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman mendakwa perkara itu benar-benar berlaku di beberapa masjid, sejak awal tahun ini.

Beliau menamakan enam masjid yang menurut parti itu telah menggunakan nama sama ada “Ketua Menteri ataupun Lim Guan Eng” dalam khutbah, yang dikesan sejak Februari lalu.

Ulasan GB

Rasulullah S.A.W sendiri pernah berdoa agar Islam dikuatkan oleh salah satu dari dua Umar. Dan akhirnya Umar bin Al-Khattab memeluk Islam.

Oh, begitu jahil puak UMNO ni dari Presiden sampai ke akar umbinya terhadap agamanya.

Rakyat Pilih Pakatan Rakyat Di Facebbok

Pakatan Rakyat Mendahului BN 47.02 Peratus Dalam E-PRU13

Pilihan Raya Umum ke-13 masih diawang-awangan dan menjadi teka-teki penganalis politik negara tetapi di dalam dunia maya pertembungan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional untuk mendapatkan sokongan rakyat Malaysia sudah pun bermula dengan rancaknya.

Hasilnya Pakatan Rakyat mendahului BN dengan peratusan undi sebanyak 47.02 peratus.

Inisiatif peminat laman web sosial Facebook telah mewujudkan akaun E-Pilihan Raya Umum 13 Facebook Malaysia di mana rakyat Malaysia boleh mengundi secara maya bagi memilih parti politik yang bakal menubuhkan kerajaan pusat.

Undian terkini yang diperolehi menunjukkan Pakatan Rakyat mendahului BN dengan memperolehi 47.02 peratus atau 5,274 undi manakala BN hanya memperolehi 22.98 peratus atau 2,578 undi.

Parti Bebas yang turut bertanding berjaya mengaut 4.37 peratus atau 490 undi sahaja.

Jumlah pengundi yang didaftarkan dia dalam akaun tersebut adalah seramai 11,217 orang.

Walaupun ini hanya bersifat undian maya yang dibuat di laman sosial itu, kesimpulan keputusan setakat ini mendapati sokongan rakyat Malaysia terhadap BN sudah merosot.

Timbalan Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Fariz Musa berkata walaupun undian itu secara maya, ia menggambarkan satu senario baru politik di negara ini yang mana rakyat mahukan perubahan tampuk pemerintahan daripada BN kepada Pakatan Rakyat.

"Keputusan ini walaupun tidak rasmi tetapi menggambarkan keadaan sebenar politik negara yang mana rakyat mahukan perubahan pemerintah. Dasar yang di bawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tentang 1 Malaysia jauh terpesong daripada apa yang beliau katakan 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan'. Kita lihat rakyat sekarang berada dalam keadaan tertekan dengan faktor ekonomi apatah lagi dengan kenaikan harga baru-baru ini.

"Najib dan BN sebenarnya tidak mempunyai tanggungjawab dalam memastikan hak rakyat terus terbela, malah beliau hanya tahu menekan rakyat bila berhadapan dengan masalah kewangan negara. Yang terbaru tentang saman ekor sehinggakan disenarai hitam dan rakyat dipaksa untuk membuat bayaran penuh baru boleh diperbaharui lesen mahupun cukai jalan kenderaan mereka.

"Rakyat sudah mula menunjukkan hukum mereka terhadap BN, isyarat jelas rakyat berikan kepada BN bahawa Najib gagal dalam pentadbirannya. Dalam masa ekonomi semakin teruk rakyat terbeban dengan kenaikan harga Najib masih lagi boleh bersenang lenang bercuti di luar negara," jelas Fariz kepada Suara Keadilan.

Tambah Fariz, keputusan maya itu menunjukkan rakyat sudah mula menunjukkan sokongan mereka terhadap Pakatan Rakyat.

"Kita melihat rakyat sudah boleh menerima kehadiran Pakatan Rakyat di dalam politik negara ini, sokongan itu menunjukkan usaha Pakatan Rakyat dalam membangunkan kebajikan rakyat sudah meresapi jiwa dan semangat mereka.

"Dari sudut negatif pula kita jangan terlalu leka dengan keputusan tersebut kerana kita tidak tahu siapa sebenarnya yang mengundi, mungkin Umno-BN sengaja melakukan perkara tersebut agar Pakatan Rakyat tidak perlu bekerja keras untuk menguatkan parti. Apa yang saya harapkan usaha yang lebih keras perlu dilakukan oleh anggota KEADILAN dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat atas," kata beliau lagi.

Keputusan maya itu juga menunjukkan rakyat sudah mula telah menghantar isyarat awal yang jelas kepada BN sebelum PRU-13 bahawa mereka sudah serik dengan pentadbiran yang penuh dengan skandal rasuah dan salahguna kuasa.

Pengundi menganggap pentadbiran BN di bawah Najib tidak mampu memberi keselesaan hidup kepada rakyat berbanding sebelum ini.

Selain itu juga kegagalan BN meningkatkan taraf ekonomi negara ini juga menjadi faktor utama rakyat merasa tertekan yang dikaitkan dengan isu kenaikan harga barang dan ppenarikan subsidi.

Kekangan kebebasan bersuara dan tekanan ke atas media juga menjadi antara faktor utama kemerosotan sokongan rakyat kepada BN.

Sokongan padu kepada Pakatan Rakyat pula memberi petunjuk jelas bahawa rakyat yakin gagasan itu bersedia untuk menggalas tugas menubuhkan kerajaan pusat yang baru selepas PRU-13 nanti.

Keyakinan rakyat berasaskan penerimaan rakyat terhadap dasar ketelusan, keadilan dan keterbukaan yang menjadi tunjang perjuangan Pakatan Rakyat.

Perubahan ke arah ini dapat di lihat daripada dasar serta program yang dilaksanakan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan di mana pimpinan Pakatan Rakyat tidak meletakkan agenda memperkayakan peribadi, keluarga atau kroni semasa memegang tampuk kuasa.

Selain itu pengundi dalam Facebook juga melihat faktor membela rakyat yang menjadi teras Pakatan Rakyat mendapat perhatian berbanding BN. -SK

21 Ogo 2010

UMNO Bikin Karpal Jadi Keliru Terhadap Islam

Kenyataan Karpal tolak hukum hudud pandangan peribadi, kata Nik Aziz

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat kenyataan pengerusi DAP Karpal Singh yang tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud adalah pandangan peribadi pemimpin parti pembangkang itu.

Menteri Besar Kelantan berkata suara-suara sumbang yang timbul mengenai hukum hudud adalah pendapat peribadi dan bukan kenyataan rasmi parti itu.

“Pemimpin DAP lain senyap, hanya dia yang timbul isu itu. Ini kerana apa yang ditimbulkan oleh pemimpin DAP itu merupakan pendapat perseorangan dan bukannya keputusan parti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal semalam yang tidak bersetuju dengan cadangan beliau pada Khamis lepas bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

“Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini. Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud,” kata Karpal.

Mursyidul Am PAS itu berkata beliau yakin Karpal menentang hukum hudud kerana tidak mendapat penerangan yang jelas mengenainya.

“Kebanyakan pemimpin DAP adalah terdiri daripada golongan berpelajaran, mereka sepatutnya mendapat penerangan mengenai perkara itu (hudud) daripada mereka yang arif di peringkat pusat,” katanya dan menurutnya beliau sedia memberikan penerangan mengenai hukum hudud kepada Karpal.

Ketika ditanya apakah tindakan PAS untuk mengelak wujudnya suara-suara sumbang daripada rakan politiknya berhubung isu hukum hudud itu, Nik Abdul Aziz berkata ia adalah sesuatu yang sukar.

“Nak mengelak tu memang tak boleh... tugas kita ialah memberi, menerangkan kepada manusia jalan ke arah kebaikan,” katanya. — Bernama


Karpal Cadang Perogol Kanak-kanak Dihukum Mati

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh hari ini meminta kerajaan meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan agar perogol kanak-kanak boleh dikenakan hukuman mati.

Karpal berkata walaupun sebelum ini beliau memperjuangkan agar hukumn mati dimansuhkan, tetapi memandangkan saban hari, semakin banyak kanak-kanak menjadi mangsa penjenayah, termasuk perogol, maka sudah tiba masanya kerajaan bertindak menjaga kepentingan awam dengan melaksanakan tindakan lebih tegas dan berkesan.

"Ini boleh memberi mesej jelas kepada mereka yang bercita-cita untuk melakukan kesalahan bahawa undang-undang tidak akan lagi bertolak ansur dengan perbuatan merogol kanak-kanak yang tidak bersalah," katanya dalam kenyataan di sini Sabtu.

Karpal berkata kes terbaru bahawa seorang kanak-kanak berusia 10 tahun didakwa telah dirogol oleh pemandu bas sekolah yang dinaikinya, menuntut perhatian khusus tentang perlunya hukuman sedia ada bagi perbuatan itu, dikaji semula.

Kata beliau mengikut Seksyen 376 (2) (e), Kanun Keseksaan, hukuman bagi kesalahan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah ialah penjara tidak melebihi 30 tahun dan sebatan.

Beliau berkata memang tidak dapat dinafikan bahawa kesalahan tertuduh perlu dibuktikan melebihi keraguan munasabah, tetapi dalam kes di mana tertuduh didapati melakukan perbuatan demikian secara terang-terangn serta disokong oleh saksi berwibawa yang melihat perbuatan itu dilakukan, maka tiada masalah untuk membuktikan kes berkenaan di luar keraguan munasabah.

"Saya sedar tentang bahaya kemungkinan seseorang yang tidak bersalah, dikenakan hukuman. Pelaksanaan hukuman mati tidak boleh diubah kembali. Kesengsaraan yang dialami seseorang insan yang tidak bersalah, tetapi dikenakan hukuman mati, memang tidak dapat digambarkan," katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, perbuatan merogol kanak-kanak yang tidak berdosa di hadapan orang lain, menuntut agar undang-undang sedia ada, dibuat pindaan. - BERNAMA


Ulasan GB

Karpal menolak hukum hudud, tetapi pada masa yang sama tanpa menyedarinya, beliau juga yang mencadangkan hudud dilaksanakan.

Cuma Karpal tidak mengetahui intipati hukum hudud, lantas beliau menolaknya. Beliau dikelirukan selama ini tentang hukum Islam itu. Oleh siapa? Oleh UMNO. UMNO sentiasa memberikan gambaran negatif terhadap hudud dengan matlamat untuk menjauhkan bukan Islam terhadap PAS.

Fitrah manusia, tanpa mengira agama, tidak suka kepada jenayah, waimma apa jenayah sekalipun. Dan Tuhan Yang Maha Tahu menyediakan undang-undang dan peraturan untuk manusia sejagat - hudud namanya - untuk manusia hidup secara sejahtera dan harmoni agar pesalah jenayah dihukum.

Tetapi oleh kerana hudud itu berada di dalam perundangan agama Islam, maka mereka yang bukan Islam mungkin skeptikal, apakah perlaksanaan hukum itu nanti akan memaksa mereka menganut Islam, atau setidak-tidaknya satu pengesahan (endorsement) dari dirinya terhadap kebaikan Islam?

Mungkin Guan Eng yang banyak membaca tentang tamadun Islam berupaya membantu PAS menjelaskan kepada Pengerusi DAP tersebut. Tapi malang sekali, UMNO kini pula yang menyusahkan Guan Eng dengan fitnah terbarunya konon masjid di Pulau Pinang menggantikan nama Agong dengan namanya di dalam khutbah Jumaat.

UMNO selamanya musuh yang nyata terhadap Islam.

PAS Dan Operasi Lalang

Operasi Lalang - sesuatu yang begitu digeruni oleh rakyat Malaysia. Satu peristiwa hitam yang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 di era Mahathir sebagai Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri oleh polis Malaysia bagi menangkap mereka yang konon dikatakan mengeruhkan suasana politik 1987.

Selepas pemilihan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1987, UMNO telah berpecah kepada dua kumpulan, iaitu Pasukan A yang diketuai oleh Dr Mahathir di bawah UMNO Baru dan Pasukan B yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah di bawah parti Semangat 46. Semangat 46 kemudian menubuhkan sebuah parti campuran dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bernama Angkatan Perpaduan Ummah untuk bertanding dengan UMNO BN.

Untuk menentang Angkatan Perpaduan Ummah, Operasi Lalang dilancarkan. Dalam Operasi Lalang ini, 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah ISA dan pembatalan dua akhabar harian berlesen, The Star dan Sin Chew Jit Poh serta dua akhbar mingguan, The Sunday Star dan Watan.

Operasi Lalang ini menimbulkan kontroversi kerana mereka yang 'bersalah' terlepas. Sebaliknya pemimpin pembangkang yang berada di tepi 'arus' telah ditangkap dan dipenjarakan di Kem Tahan Kamunting, Taiping, selama 2 tahun atau lebih.

Namun, "hikmah" terbesar daripada Operasi Lalang ialah pada pilihanraya 1990, UMNO BN hanya mampu memenangi 127 kerusi daripada 180 kerusi dalam Dewan Rakyat, ini merupakan 70.6% daripada jumlah kerusi, dan merupakan satu penurunan sebanyak 2.4% berbanding pilihan raya yang terakhir; bilangan undi sebanyak 53.4% merupakan satu pengurangan sebanyak 7.8%. UMNO-BN hilang kuasa di Kelantan di tangan PAS-Angkatan Perpaduan Ummah dan Sabah ditangan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Lim Kit Siang yang ditahan di dalam Operasi Lalang dilantik sebagai Ketua Pembangkang. Mohd Sabu yang di kurung di Kamunting sehingga Januari 1990 telah menang di dalam pilihanraya 1990 mengalahkan Datuk Annuar Musa dengan majoriti hampir 8,000 undi, dan menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri pada masa itu.

Walaupun parti-parti pembangkang memperolehi lebih kurang 30% jumlah kerusi akibat pembahagian sempadan yang senget sebelah oleh Suruhanjaya Pilihanraya, namun pada keseluruhannya parti pembangkang ketika itu memperoleh 46.6% daripada jumlah undi.

Hal yang hampir sama berlaku pada pilihanraya 1999 dan 2008.

Sebelum pilihanraya 1999, satu konpirasi berlaku dimana mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, telah ditahan oleh pihak polis atas tuduhan-tuduhan yang dianggap secara meluas seperti liwat sebagai ditimbulkan oleh alasan politik dan pertentangan pendapat antara Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad dengan timbalannya.

Rakyat seluruh negara memberikan protesnya dengan menyokong Barisan Alternatif yang dibentuk pembangkan menghadapi UMNO BN, dan di dalam pilihanraya 1999 itu UMNO BN hanya mampu meraih kerusi parlimennya sebanyak 148, jatuh 8.6% berbanding 162 kerusi yang diperoleh pada tahun 1995.

Barisan Alternatif mensasarkan untuk menghapuskan majorti 2/3 UMNO BN di Parlimen, namun tidak kesampaian. Namun apa yang menarik, PAS mencapai prestasi yang melonjak. Selain daripada mengekalkan negeri Kelantan, parti ini juga mengambil alih kerajaan Trengganu daripada BN. Kekuatan PAS di Parlimen bertambah dari hanya 7 kerusi pada tahun 1995 sehingga 27 kerusi, iaitu satu lompatan hampir empat kali ganda.

Serupa juga pada peringkat negeri, kekuatannya bertambah hampir tiga kali ganda dari 33 kerusi sehingga 98 kerusi dalam pilihan raya ini. Berdasarkan keputusan ini, Ustaz Abdul Hadi Awang dari PAS mengambil alih kepimpinan pembangkang dalam Parlimen yang dipegang oleh Lim Kit Siang daripada parti DAP.

Di dalam pilihanraya 2008 pula, rakyat Malaysia telah menyaksikan keganasan dan kezaliman polis terhadap beberapa siri perhimpunan rakyat seperti perhimpunan Bersih 2007 untuk menuntut pilihan raya yang adil dan disertai oleh 100, 000 orang. Tian Chua yang merupakan Ketua Penerangan KeADILan telah ditahan di bawah Akta Polis, Seksyen 27(5)(a), di Johor Bahru, jam 5.15 petang pada 9 Disember 2007 kerana menjadi penggerak perhimpunan Bersih itu.

Polis juga telah bertindak ganas pada perhimpunan rakyat di Kuala Terengganu 2007. Polis telah melepaskan peluru hidup kepada Suwandi dan Azman. Malangnya anggota polis yang menembak dilepaskan, Suwandi dan Azman pula yang didakwa di bawah Seksyen 149 Kanun Keseksaan.

Akibatnya pada pilihanraya 2008, UMNO Barisan Nasional telah dinafikan majoriti 2/3 dan hanya boleh membentuk kerajaan pusat dengan majoriti mudah (iaitu lebih daripada 1/2 jumlah kerusi, tetapi kurang daripada 2/3 jumlah kerusi). Pembangkang yang membentuk Pakatan Rakyat akhirnya berjaya mencapai sasaran: menafikan 2/3 majoriti. Menariknya Tian Chua yang dibelsah cukup-cukup oleh polis telah dihantar rakyat ke Parlimen!

Bagi Dewan Undangan Negeri pula, Barisan Nasional gagal mempertahankan kerajaannya di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor serta gagal mencapai hasratnya untuk membentuk kerajaan di negeri Kelantan.

Pilihan raya kali ini juga melihatkan kegagalan banyak ahli politik veteran mempertahankan kerusi mereka, antaranya termasuk Koh Tsu Koon, Samy Vellu, Shahrizat Abdul Jalil, M. Kayveas, Zainuddin Maidin.

Harus diperhatikan bahawa Barisan Nasional hanya berjaya meraih kemenangan besar di Sabah, Sarawak dan Johor atas sebab pembahagian kawasan parlimen yang memihak kepadanya - banyak kerusi diwujudkan di kawasan-kawasan ini, tetapi kepadatan penduduknya adalah jauh lebih rendah daripada kepadatan penduduk di negeri-negeri lain seperti Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Rekod kekalahan Barisan Nasional kali ini adalah yang paling buruk diikuti Pilihan Raya 1969 dan 1999.

GB memutarkan kembali kisah-kisah itu untuk memberikan satu gambaran jelas kepada semua ahli-ahli PAS dan Pakatan Rakyat yang begitu takut dengan Operasi Lalang.

PAS seperti sudah menjadi pondan semenjak era UG. Diperburukkan lagi oleh penyokong-penyokong taksub UG sehinggakan PAS menjadi semakin hari semakin lesu lantarannya. Ditambah pula dengan YB-YB khianat yang sudah tidak lagi bersama rakyat dan perjuangan, tetapi telah leka dan alpa dengan kemewahan, pangkat dan kekayaan.

Ceramah-ceramah PAS sudah lesu, ceramah pemimpin-pemimpin tertinggi parti terutama dari mereka yang dikaitkan dengan UG sudah kurang, dan kalau ada pun tidak mendapat sambutan rakyat kerana sudah tiada "roh perjuangan" di dalam ceramah-ceramah tersebut. Pemimpin tertinggi parti adanya sudah tidak bersama rakyat lagi di dalam perhimpunan-perhimpunan seperti Perhimpunan Anti-ISA, Anti-Kenaikan Harga dan sebagainya kerana sayangkan kedudukan dan takut ditangkap polis!

Malah sudah ada pemimpin PAS yang beralasan "selsema", itu sebab tak dapat hadir di perhimpunan. Belum lagi hilang tangan hilang kaki seperti para pejuang peperangan Badar, Uhud dan Khandak.

Pemimpin PAS sudah dijangkiti penyakit futur (lembab). Futur ialah suatu penyakit yang dapat menimpa sebahagian aktivis dan akan menimpa mereka secara praktikal (dalam bentuk perbuatan). Tingkatannya yang paling rendah berupa kemalasan, menunda-nunda atau melambat-lambatkan. Sering memberi alasan bahawa tugas dakwah itu sukar dan tidak mampu untuk melaksanakannya, meminimakan penglibatan diri dalam misi dakwah organisasi atau sekadar menawar diri untuk membuat tugasan yang paling mudah sahaja. Sedangkan kemuncak penyakit futur ini adalah berhenti sama sekali setelah sebelumnya rajin dan bersemangat.

Ada yang memberikan alasan "wala' kepada pemimpin" untuk terus mempertahankan pemimpin yang futur ini.

GB sudah mengulasnya sebelum ini sempena sambutan Maal Hijrah. Petikan:


PAS kini sedang melalui proses perkembangan dan kematangan sebagai sebuah organisasi dakwah dan politik sehingga timbul fenomena yang dilihat seperti ianya digoncang sekuat-kuatnya bagi melihat keutuhannya untuk mengharungi cabaran di era baru.

Zaman transisi dari sebuah organisasi dakwah yang sifatnya begitu tradisional kepada sebuah organisasi yang progresif untuk berdepan dengan cabaran-cabaran baru seperti globalisasi, ledakan teknologi maklumat, diikuti dengan kehadiran golongan masyarakat yang berdasarkan pengetahuan (k-community) dan seumpamanya memerlukan perubahan kepimpinan dan struktural.

Ia sekaligus menyaksikan sudah berlalunya zaman "zon selesa" untuk pemimpin dan organisasi parti untuk sekadar mempertahankan status quo.

Tulisan ini GB bawa untuk sama-sama kita renungkan mengenai kepincangan yang sedang dialami oleh PAS kini, sebagai satu bahan penelitian untuk menerima seadanya apa yang berlaku kini sebagai satu "sunatullah" untuk mentransformasikan PAS kepada sebuah organisasi dakwah dan politik yang lebih berjaya.

Suka atau tidak suka, perubahan pasti berlaku. Tidak ada dua hari yang bernar-benar serupa pada manusia dan sekalian alam, begitulah kepada PAS. Kesemua faktor perubahan berlaku dengan mengakui adanya nilai konstans - iaitu dasar perjuangan yang tetap.

Hari ini tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi lagi. Kejayaan dan kegagalan, kekuatan dan kelemahan sesbuah organisasi dan kepimpinannya diteliti, dibedah, disiasat, dianalisa dan didokumentasikan di bilik-bilik kuliah universiti di dalam pelbagai matapelajaran di dalam bentuk "case study" dan PAS tidak terlepas darinya.

Malah dalam beberapa keadaan ia kini menjadi desertasi untuk seseorang bergelar sarjana dan pemegang PhD.

Zaman untuk merajuk, zaman untuk bersembunyi, zaman untuk mempertahankan sikap "futur" telah tersangat semalam.

Persoalan "adab jemaah" yang ditimbulkan oleh beberapa rakan di lingkaran usrah-usrah kini perlu ditafsirkan dengan parameter baru. "Adab jemaah" bukan lagi dengan mengakui keperluan untuk mengkritik secara berbisik atau apa yang dikatakan "mengikut saluran parti". Cara itu sudah terlalu semalam, sudah ketinggalan zaman.

Kini sudah ada istilah-istilah baru yang mengambil tempat yang diterima sebagai "adab jemaah", seperti "wistle-blowing" - satu kaedah di mana ahli organisasi mendedahkan kepincangan yang dikesannya secara terbuka, "pengurusan strategik" di mana penetapan visi, misi dan objektif organisasi dibuat secara telus dan dipacu bersama oleh pemimpin dan ahli serta "etika professional" dimana nilai-nilai sejagat diakui diterima pakai oleh segenap lapisan petugas dan pekerja organisasi. Mereka yang berdiam diri terhadap kepincangan dan berrahsia untuk menutup kelemahan dilihat sebagai "tidak beradab" malah dikira bersubahabat dengan kegagalan organisasi di zaman kontemporari ini.


Tanpa melupai fakta bahawa sebagai sebuah organisasi dakwah, PAS akan menghadapi tribulasi-tribulasi, tetapi di dalam bentuk baru. PAS akan menempuh gelombang tribulasi Badar, Uhud dan Khandaqnya sendiri, malah PAS akan mengharungi "Perjanjian Hudaibiyah" dan "fathul Makkah"nya sendiri.

Sebagai entiti politik pula PAS perlu bersedia untuk berdepan dengan mehnah baru. Perlu memperlengkapkan diri untuk diheret ke mahkamah bila-bila masa. Perlu bersedia menghadapi tantangan daripada ahlinya sendiri yang akan mencabar kepimpinan yang futur (lembab). Perlu menerima hakikat bahawa struktur yang ada boleh dirombak bila-bila masa pabila ia dilihat sudah tidak mampu menatangi zamannya. Kitar hayatnya (Life cycle) akan menetapkan bahawa proses kematangan parti tidak lagi menunggu pasang-surut sokongan terhadapnya.



Justeru itu, kita ingin menyatakan kepada polis, kepada UMNO BN. Teruskan rancanganmu untuk Operasi Lalang II jika ada. Masukkan Anwar ke dalam penjara sekali lagi jika anda berani. Masyarakat dunia akan saksikan UMNO BN dikuburkan pada pilihanraya akan datang!

Kepada seluruh ahli PAS dan Pakatan Rakyat, JANGAN TAKUT!

82% Melayu Luar Bandar Masih Miskin, UMNO BN Selewengkan DEB Untuk Bolot Kekayaan

Akibat Umno-BN Seleweng DEB 82 Peratus Melayu Luar Bandar Masih Miskin

Penyelewengan Dasar Ekonomi Baru oleh Umno-Barisan Nasional selama 40 tahun yang melibatkan ratusan bilion ringgit telah gagal meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat Melayu sehingga 82 peratus rakyat di luar bandar dan 62 peratus di bandar yang miskin masih terdiri daripada kaum Melayu.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata kenyataan Pengerusi SP Setia Berhad, Tan Sri Liew Kee Sin berhubung DEB tidak memberi gambaran realiti yang sebenar kerana dasar itu hanya dibolot segelintir golongan kaya yang tamak.

Sebelum ini Kee Sin menyediakan statistik bagi menunjukkan ahli perniagaan Cina maju dan berkembang di bawah DEB dengan menguasai 73 peratus kekayaan.

Beliau sendiri tersenarai antara 40 rakyat Malaysia yang terkaya dan menduduki tangga ke lapan daripada sepuluh orang terkaya di Malaysia.

"Semua orang tahu siapa mereka. Mereka bukan sahaja antara yang terkaya di Malaysia, tetapi juga di dunia. Semua orang tahu bagaimana mereka mencipta kekayaan sepanjang tempoh 40 tahun yang lalu.

"Keluhan selama ini bukan berkisar sekitar soal bahawa Cina, India, Sikh, Kadazan, Dusun, Iban dan bukan Bumiputera lain turut bersama mencipta peluang kekayaan di bawah Dasar Ekonomi Baru. Biarpun di negara yang diperintah oleh rejim yang paling menekan rakyat, memang akan wujud golongan yang berjaya," jelas beliau.

Menurut Willaim, penyalahgunaan DEB telah mengakibatkan rakyat dinafikan hak sebagai warga yang bermaruah sedangkan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama berhak sebagai warganegara dan mempunyai kesaksamaan dalam meningkatkan taraf hidup untuk diri dan keluarga.

"Rakyat Malaysia tertakluk untuk menikmati kehidupan dengan penuh bermaruah. Tidak perlu untuk bergelut seperti Raja Tikus dalam novel John Clavell yang memaksa kita untuk melakukan rasuah dan terlibat dalam pasaran gelap semata-mata untuk hidup dalam kem tahanan perang Jepun," ujar William.

Menurutnya, watak Raja Tikus dalam novel itu telah menjadi satu kuasa kuat di dalam penjara dengan menjadi orang yang paling berjaya menerusi amalan rasuah dan pasaran gelap.

"Tentera Jepun hanya memberi tahanan sebuah tempat tinggal yang kecil dan makanan yang terhad. Semua pegawai hanya memakai cebisan pakaian buruk dan diberi layanan yang tidak berperikemanusiaaan. Bahkan pegawai kanan terpaksa mendekati Raja Tikus untuk menjualbarang-barang bernilai demi mendapatkan makanan.

"Raja Tikus bergelut dengan keadaan penjara yang cukup zalim. Penyalahgunaan dan kegagalan DEB sepertimana yang didakwa oleh Datuk Seri Nazir Razak telah mencipta satu keadaan yang serupa dalam kisah Raja Tikus," ujar beliau.

Menurut Wiliam lagi, pelaksanaan DEB telah memberi kuasa yang besar kepada pegawai kerajaan untuk meluluskan lesen, permit dan segala bentuk intervensi dalam akitiviti ekonomi.

"Dengan memiliki kuasa sebesar itu, peluang itu digunakan oleh pegawai untuk mendapatkan bayaran daripada pemilik perniagaan besar sehinggalah ke peniaga jalanan untuk mendapatkan kelulusan permit dan lesen. Penjaja dan peniaga jalanan membuat bayaran bawah kaunter untuk mendapatkan lesen.

"Peniaga besar terpaksa membayar sejumlah wang besar untuk berniaga. Inilah yang menimbulkan persepsi rasuah dan sebagainya. Bagaimana anda dapat mencari nafkah di negara yang berada pada tangga 56 dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International?," soal beliau.

Menurut William, rakyat umumnya mengetahui seruan Kee Sin yang meminta peniaga Cina bekerjasama dengan rakan kongsi Melayu di bawah semangat DEB kerana kebanyakan kontrak yang diberikan kepada Melayu telah disubkontrakkan kepada kontraktor Cina.

"Kontrak kelas F yang diberikan khasnya kepada Bumiputera dianugerahkan mengikut citarasa pegawai kerajaan ataupun Yang DiPertua Majlis Perbandaran dan bukan melalui cara bidaan terbuka. Sistem Ali Baba ini diwujudkan atas nama suci memberikan kontrak, lesen dan permit kepada peniaga Melayu untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

"Selagi majoriti Melayu masih berada dalam keadaan miskin, Perkasa dan ekstremis akan menuntut bahawa DEB masih perlu diteruskan. DEB kemudian akan digelar Never Ending Policy, ataupun dasar yang tidak ada penamatannya," ujar beliau. -SK

20 Ogo 2010

Zahid Menipu Di Bulan Ramadhan?

Khutbah: K'jaan negeri nafi nama Lim ganti Agong

Kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan sekeras-kerasnya bahawa nama Ketua Menteri Lim Guan Eng menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat yang dibaca di beberapa masjid di negeri itu.

Exco Hal-Ehwal Agama negeri, Abdul Malik Abul Kassim berkata siasatan awal mendapati ianya tidak berlaku kerana teks khutbah Jumaat, yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam negeri, tidak menggunakan nama Lim.

Katanya, hanya orang yang tidak waras sahaja yang akan menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat.

Abdul Malik berkata, beliau telah membuat siasatan awal dan mendapati kejadian itu tidak berlaku seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi perhubungan Umno negeri.

Abdul Malik menjelaskan, teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim, seperti yang didakwa.

"Dan kalau mereka tidak baca teks sekalipun, saya percaya hanya orang yang tidak waras sahaja yang akan ganti nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah," katanya lagi.

Tambahnya, dakwaan itu juga tidak menyebut dengan jelas masjid yang terbabit, sebaliknya hanya menamakan kawasan Permatang Pauh, Jelutong dan Tasek Gelugor.

Ditanya lanjut, beliau berkata kerajaan negeri tidak akan mengambil tindakan lanjut atas dakwaan itu kerana "tidak timbul isu."

"Isu ini sengaja diada-adakan, sebab sememangnya tiada isu. BN yang sengaja wujudkan isu ini," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Abdul Malik juga berkata, sekiranya Ahmad Zahid mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut, beliau hendaklah membuat laporan supaya dakwaan tersebut dapat disiasat.

"Kalau dia ada maklumat, sepatutnya dia buat laporan kepada kerajaan negeri, atau kepada polis atau kepada pejabat mufti, bukannya pergi beri kenyataan kepada media," katanya lagi.

Sementara itu, bercakap dalam satu sidang media pagi ini, Abdul Malik juga berkata kerajaan negeri serta JAIPP tidak menerima sebarang arahan lisan mahupun bertulis untuk menukar nama tersebut dalam teks khutbah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa sesetengah jawatankuasa masjid menggunakan isu tersebut untuk mensabotaj kerajaan negeri.