Usah ‘hentam’ agensi zakat
KUALA LUMPUR: Memang ada kekurangan dalam sistem pengurusan zakat di negara ini, tetapi ia bukan alasan kepada pihak tertentu untuk menghentam agensi itu, malah mengaitkannya dengan isu murtad.
Timbalan Dekan di Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, bukan senang untuk mengagihkan wang zakat dengan berjaya sehingga sampai ke tangan fakir miskin terakhir di negara ini.
“Apabila ada pihak mula mengkritik pengurusan zakat, ia menyebabkan ramai orang secara spontan berfikiran negatif terhadap agensi itu sedangkan sebelum ini isu tidak pernah timbul.
“Memang ada kekurangan, tetapi ia secara umum dan pengagihan kutipan zakat bukan mudah dilaksanakan dengan berjaya sepenuhnya terutama sekali wujudnya golongan yang mengambil kesempatan memohon bantuan sedangkan dia tidak layak,” katanya yang dihubungi semalam.
Beliau berkata, disebabkan kritikan negatif itu, orang mula melihat pengurusan agensi kutipan zakat tidak cekap.
“Umpamanya isu bantuan beras dan makanan sudah habis. Memang sudah habis sebab esok atau lusa umat Islam sudah menyambut Aidilfitri.
“Bayangkan jika bantuan itu terlalu banyak disediakan sehingga menyebabkan lambakan, nanti timbul pula isu Baitulmal tidak pandai mengagih,” katanya.
Menurutnya, memberi bantuan kepada penerima zakat boleh diumpamakan mengajar mereka memancing daripada berterusan memberi ikan.
“Saya melihat jika memberi bantuan kewangan secara berterusan kepada fakir miskin, ia tidak memberi kesan kuat supaya mereka berusaha mengubah taraf kehidupan.
“Lebih malang lagi apabila ada mengaitkan soal pengurusan wang zakat dengan isu murtad. Ia bukan disebabkan zakat kerana ada umat Islam yang murtad itu mendapat bantuan zakat,” katanya.
Dr Mahmood Zuhdi berkata, apa yang berlaku sekarang disebabkan orang Melayu sudah berpecah belah sehingga membuka peluang pihak lain mengambil kesempatan.
“Keadaan sekarang kelam-kabut, mufti tidak sefahaman dengan mufti lain, ulama tidak setuju dengan ulama lain, begitu juga orang politik sehinggalah kepada rakyat biasa. Keadaan ini menyebabkan ada pihak lain ambil kesempatan,” katanya.
Pulang hampa
KUALA LUMPUR: “Saya bergegas ke sini sebaik dimaklumkan ada sumbangan beras untuk golongan miskin tapi hampa dimaklumkan bantuan itu sudah habis dan hanya diagihkan semula bulan depan,” rintih seorang wanita dikenali sebagai Ramlah, 52, yang kecewa selepas bantuan makanan yang diagihkan di kaunter bantuan dan kecemasan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) habis.
Menurutnya, bukan dia seorang, malah ramai lagi yang senasib dengannya yang terpaksa pulang tangan kosong. “Tidak tahu lagi apa yang boleh dilakukan untuk mendapatkan bantuan menjelang hari raya ini,” katanya.
Dia berkata, dia menunggu di kaunter bantuan dan kecemasan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sejak 10 pagi untuk mendapatkan makanan dan beras yang diagihkan percuma kepada kepada golongan miskin.
Sebaik gilirannya tiba, katanya, petugas di kaunter itu memberitahunya bahawa makanan dan beras yang diagihkan sudah habis dan perlu datang semula September untuk mendapatkannya.
“Rasa sedih juga kerana tidak dapat makanan itu. Saya tinggal sendirian di Cheras dan apabila jiran memberitahu MAIWP memberikan beras percuma, saya terus datang, malangnya, ia sudah habis sejak beberapa hari lalu,” katanya.
Harian Metro yang melakukan tinjauan selama dua hari di kaunter bantuan dan kecemasan MAIWP pada minggu terakhir Ramadan mendapati orang ramai khususnya gelandangan memenuhi kaunter yang terletak di tingkat bawah kompleks itu untuk mendapatkan pelbagai bentuk bantuan yang disediakan.
Pelbagai ragam orang ramai untuk mendapatkan bantuan makanan, kecemasan dan waran tiket dapat dilihat dengan sesekali berlaku pertikaman lidah dengan petugas di kaunter terutama yang gagal mendapatkan bantuan disebabkan pelbagai alasan.
Ulasan GB
Sebagai ahli akademik GB kecewa dengan sikap dan kenaytaan seorang yang bergelar professor mempertahankan kelemahan institusi zakat di dalam negara ini dengan membelakangkan kepentingan umat Islam secara menyeluruh.
Lihat kenyataan beliau ini:
Beliau berkata, disebabkan kritikan negatif itu, orang mula melihat pengurusan agensi kutipan zakat tidak cekap.
“Umpamanya isu bantuan beras dan makanan sudah habis. Memang sudah habis sebab esok atau lusa umat Islam sudah menyambut Aidilfitri.
“Bayangkan jika bantuan itu terlalu banyak disediakan sehingga menyebabkan lambakan, nanti timbul pula isu Baitulmal tidak pandai mengagih,” katanya.
Saya ingin bertanya kepada Prof Mahmood Zuhdi ini tentang nasib umat Islam terutama golongan asnaf yang belum menerima agihan tersebut sedangkan wang zakat masih ada tersimpan oleh Pusat Zakat. Aatau ada golongan asnaf yang "terpaksa" memohon pertolongan dari tempat lain. Siapa yang akan memikul dosanya? Apakah tuan sanggup?
Ini bukan soal pandai tak pandai mengagih tetapi soal terlaksana atau tidak kewajipan.
Kemudian dengan cuba mengajar seperti mengajar budak tadika, beliau berkata
"memberi bantuan kepada penerima zakat boleh diumpamakan mengajar mereka memancing daripada berterusan memberi ikan"
Baik, jika demikian, kita ingin bertanya apa yang telah dilakukan oleh pusat Zakat bagi mempastikan umat Islam tidak diberi ikan tetapi diberi pancing untuk memancing ikan agar mereka dapat berdikari?
Cakapnya pandai, isinya hampas!
Satu ketika dulu, GB pernah terlibat di dalam dialog yang disertai oleh Majlis Agama Islam sebuah negeri dan para peniaga kecil. Pihak majlis forum pada masa itu menekankan tentang keperluan untuk mengutip zakat daripada golongan peniaga-peniaga kecil dan penjaja-penjaja.
GB menyoal, Tuan-tuan ingin mengutip zakat daripada peniaga-peniaga kecil dan penjaja, tetapi apakah tuan-tuan ada mempunyai program untuk membantu peniaga-peniaga kecil dan penjaja-penjaja yang terbeban perniagaan dan hidupnya sehingga mereka terpaksa meminjam kepada bank dan along?
Tuan mengambil zakat daripada peniaga kecil Islam, tetapi apa pula "program" tuan di dalam pengagihan zakat kepada umat Islam dan aktiviti yang dilakukan untuk membantu para usahawan Islam yang tenat?
Terdiam pegawai-pegawai berkenaan. Dan ketika waktu rehat, meluru para peniaga kecil bersalam dengan GB dan menyuarakan bahawa pegawai berkenaan hanya pandai untuk membaca ayat-ayat mengenai kewajipan membayar zakat tetapi gagal untuk membaca ayat kewajipan menunaikan hak dan tanggungjawab mereka terhadap umat Islam. Mereka tidak tahu ada peniaga kecil yang kais pagi makan pagi, ada yang hidup tak keruan kerana dihambat along dan pemiutang, apa Majlis Agama Islam ada bantu? Bila kia pergi ke pejabatnya, karenah birokrasi seolah-olah kita ini sampah di mata mereka, katanya.
Itu sebab mengapa GB katakan bahawa kebencian umat Islam kepada institusi zakat bukan disebabkan oleh orang lain tetapi adalah kerana kelemahan pusat zakat sendiri yang lebih mengutamakan bangunan besar, bilik hawa dingin dan gaji ribuan untuk para pegawainya dan ditambahi pula dengan kewujudan mereka bergelar "prof datuk" dan "datuk prof" di IPT-IPT yang membela ketidak-cekapan mereka seperti kenyataan Prof Datuk Mahmood Zuhdi di atas.
Saya mengesyorkan agar professor ini yang siap ada gelaran Datuk jangan sekadar bertali leher mengajar di bilik-bilik kuliah, tetapi turun melihat sendiri umat Islam yang menderita kemiskinan.
Jadilah seperti khalifah Umar yang tersentak melihat ada umat Islam di zamannya yang terpaksa merebus batu untuk menidurkan anaknya yang kelaparan supaya anak itu menyangkakan ibunya memasak nasi. Apabila diketahui Umar, beliau bergegas untuk mengambil gandum dan tatkala hendak dipikul oleh pembantunya, Umar terus melarang dan menyuruh diletakkan di atas bahunya seraya berkata: Apakah engkau sanggup memikul dosa Umar di akhirat nanti?
Saya mahu tanya apakah ada Prof Mahmood Zuhdi tokoh ilmuan yang memperolehi kelulusan yang tinggi di dalam bidang syariah pernah melakukan seperti yang pernah dilakukan oleh Prof Ungku Aziz menyusuri rakyat miskin, tinggal bersama mereka, buka tudung saji mereka untuk melihat sendiri apa lauk yang dimakan oleh mereka?
Hah, Prof Mahmood Zuhdi sudah amat jauh berbeza dengan yang GB kenal sebelum ini!


































