Kia Spectra dalam gaung tiada unsur jenayahGambar: PASUKAN penyelamat menggunakan kren untuk mengeluarkan Kia Spectra yang ditemui dalam gaung sedalam 100 meter di Kilometer 35.4 Genting Sempah, hari ini.
KUALA LUMPUR - Polis menolak wujudnya unsur jenayah atau kemalangan yang boleh dikaitkan dengan penemuan sebuah kereta jenis Kia Spectra dalam gaung sedalam 100 meter di Kilometer 35.4 Genting Sempah dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, ini kerana polis tidak menemui sebarang bukti untuk dikaitkan unsur jenayah dengan penemuan kereta itu.
"Kalau ada berlaku kemalangan mesti pembahagi jalan sudah remuk seperti dilanggar atau jika ada jenayah mesti ada mangsa di sekitarnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, polis masih cuba mengenal pasti pemilik kenderaan itu dan masih meneruskan usaha mencari bukti di kawasan berkenaan.
"Kereta tersebut tiada nombor pendaftaran menyebabkan pemiliknya sukar untuk dicari dan kita sendiri tidak ada menerima sebarang laporan tentang kehilangan ahli keluarga," katanya.
Kereta itu ditemui pada 3 petang semalam oleh seorang pemandu trak tunda yang kebetulan lalu di kawasan itu. - Bernama
Kereta tanpa pemandu ditemui terbalik dalam gaung
KUALA LUMPUR - Sebuah kereta jenis Kia Spectra tanpa pemandu ditemui terbalik dalam gaung sedalam 100 meter di Kilometer 35.4 Genting Sempah dekat sini.
Kenderaan itu ditemui pada 3 petang tadi oleh seorang pemandu trak tunda yang kebetulan lalu di kawasan tersebut serta membawa sebuah kereta lain, yang terlibat dalam kemalangan.
Wong Kam Way, 31, bertindak turun untuk melihat kereta tersebut yang terbalik di dalam lumpur sebelum menghubungi pihak polis.
"Ketika itu saya sedang mahu menunda sebuah kereta Proton Satria Neo yang terlibat dalam kemalangan di sini, sebelum terpandang sebuah kereta terbalik dalam gaung," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Nik Syahrul Kamal Johari berkata pihaknya mendapat panggilan kira-kira 4 petang, dan sehingga kini masih mengesan pemandu kereta berkenaan. -Bernama


















