25 Jul 2013

Bonus Raya: Najib Umum Bantuan RM500, Selangor Umum Sebulan Gaji


PM umum bantuan RM500 kepada penjawat awam

KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka.

Katanya pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 31 Julai ini.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itu masing-masing membabitkan peruntukan kewangan RM670 juta dan RM165 juta, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di samping bayaran bantuan khas itu, penjawat awam menikmati dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini, katanya.

"Pertama, kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang akan diterima esok, sebagaimana yang diumumkan oleh saya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13," katanya.

Najib berkata langkah itu berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember ini dalam Sistem Saraan Transformatif.

Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun.

"Faedah ini akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan. Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini," katanya.

Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM4.7 bilion bagi pembayaran KGT dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara bagi membantu meringankan beban kewangan bagi persiapan hari raya. - Bernama


Kakitangan Awam Selangor Terima Bonus Raya Sebulan Gaji


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pembayaran bonus Hari Raya sebanyak sebulan gaji kepada kakitangan awam di negeri itu.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM30 juta dan seramai 21,776 kakitangan tetap, kontrak dan sambilan akan menerima pembayaran bonus berkenaan selewat-lewatnya pada hujung bulan ini.

Abdul Khalid berkata, pemberian bonus ini diharap dapat meringankan tanggungan warga kerja Kerajaan Negeri bagi menghadapi persiapan Hari Raya.

“Kita berharap kakitangan awam berbelanja dengan berhemah dan memperuntukkan sebahagian bonus ini untuk simpanan untuk kegunaan pada masa depan,” kata beliau.

Abdul Khalid mengumumkan perkara itu dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, jika Kerajaan Pusat mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada kakitangan awamnya, Kerajaan Negeri juga turut sama mengikutinya.

“Sekiranya kerajaan Pusat mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada kakitangan awam, maka kerajaan Selangor akan menambah lagi setengah bulan gaji kepada kakitangan awam di negeri ini,” katanya lagi.
-selangorku



4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

peruntukan beratus juta tapi rm 500 shj diberikan. kerajaan selangor 30 juta shj peruntukan tapi blh 1 bulan gaji. tak apalah kami ucapkan terima kasih kpd pm still kami nak pertikaikan amacam beraus - ratus juta peruntukan tapi rm 500 shj diberikan? adakah penjawat awam di malaysia berjumlah berpuluh juta orang sampaikan perlu hadkan ke rm500 shj? setahu aku penjawat awam di malaysia satu juta pun tak sampai. so kpd mereka yg mempunyai otak, fikirkanlah.

Tanpa Nama berkata...

Bantuan kewangan kepada pesara RM250.00 kalau ikut pendapat saya yang besara ini wajar dinaikkan kepada RM500.00. Sebabnya :-
1. Kami pesara hanya dapat duit pencen lebih kurang separuh daripada gaji semasa berkhidmat.
2. Dahlah pendapatan lebih kurang separuh gaji , harga barang naik mendadak dimusim perayaan ini.
3. Bayangkan kepada pesara yang mendapat pencennya dlm RM700.00 + RM250.00 baru cecah RM950 sedang anak ada 7 - 9 org yang ditanggung.
4. Situasi ini akan melebarkan jurang ekonomi yang berduit dgn yang kurang berduit.

Tanpa Nama berkata...

pesara kerajaan dapat duit pencen walaupun tidak bekerja, pesara swasta dapat apa ? ada dapat income setiap bulan ? kepada pesara kerajaan belajar bersyukur jangan banyak komplen.

Tanpa Nama berkata...

bagaimana dengan nasib orang kampung yang bekerja sendiri seperti petani, tukang rumah,dll. sudahlah miskin harga barang naik. kasihan. bayangkan diketika kita naik kereta ada orang yang masih berbasikal bawa anak2 kat belakang.....sedih. macam di sarawak ni, hasil cukup bayak. tapi rakyatnya miskin teramat. pernah saya tengok perempuan baru lepas bersalin tunggu van tumpang untuk pulang ke rumah yang belum pasti ada. kalau tak ada dia akan tidur di bawah2 pondok atau yang berduit tu masukla menyewa bilik2 yang ada. sedih......inilah negara pemerintahan BN