21 Jun 2013

BN Lintang-Pukang, MCA Pula Bedal Bekas Hakim Ini

MCA selar bekas hakim kerana mainkan isu perkauman

MCA hari ini mengecam tindakan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah (gambar) yang dikatakan bermain dengan api apabila berulang kali menggesa supaya memansuhkan sekolah vernakular, terbaru gesaan sama dilakukannya pada forum dua hari lalu.

Menurut Pengerusi Biro Publisiti MCA Datuk Heng Seai Kie kenyataan oleh Mohd Noor sebagai tidak bertanggungjawab kerana tidak mencerminkan imejnya sebagai seorang yang profesional dan merupakan seorang bekas hakim.

"Saya berharap beliau mempunyai akal untuk berhenti daripada bermain dengan api," kata Heng dalam satu kenyataan hari ini.

"Mohd Noor tidak dinafikan adalah seorang pakar, oleh sedemikian beliau sepatutnya tahu dengan kenyataan ekstrem begitu ia hanya akan mengugat keharmonian kaum di Malaysia," tambah beliau lagi.

Menurut Heng, semua pelajar yang belajar di sekolah vernakular Cina tidak pernah mengabaikan pembelajaran bahasa kebangsaan, malahan sekolah tersebut semakin mendapat tempat di kalangan ibu bapa pelbagai kaum kerana peningkatan pelajar di sekolah vernakular.

"Hakikatnya kami dapat bertutur dengan fasih dalam bahasa Malaysia adalah bukti kukuh kami tidak pernah mengabaikan bahasa kebangsaan.

"Malahan sekolah vernakular juga semakin popular dan diterima oleh semua dimana pelbagai kaum menghantar anak mereka ke sekolah vernakular... maka tidak wajar jika mahu menuduh sekolah vernakular mendorong kepada kaum dan perpecahan kaum," tegas beliau lagi.

Mohd Noor telah menimbulkan kontroversi bulan lalu apabila mangatakan kaum Cina bakal menerima tindakan daripada Melayu akibat daripada “pengkhianatan” dilakukan terhadap "setiakawan" dalam Pilihan Raya 2013.

Mohd Noor turut dilaporkan berkata sistem persekolahan tersebut tidak diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan negara dalam satu forum bertajuk "Wacana Post-Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah" anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Kuala Lumpur pada 12 Mei lalu.

"Menurut Perlembagaan, kita sepatutnya hanya ada satu aliran sekolah sahaja. Sepatutnya kita hapuskan sekolah jenis kebangsaan (SJK).

"Hapuskan oleh kerana Perlembagaan tak iktiraf sekolah jenis kebangsaan kerana adanya sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan, adanya sekolah Cina, India, ia memecah-belahkan rakyat," kata beliau.

Sejurus kenyataan kontroversi itu, parti pembangkang Pakatan Rakyat (PR) mengecam kenyataan tidak bertanggungjawab itu dan menegaskan Perlembagaan Persekutuan melindungi sekolah vernakular dan pendidikan dalam bahasa ibunda, memetik Perkara 152 (1) (a) dan (b) dalam undang-undang tertinggi negara.

PR juga mengkritik dan mengecam kedua-dua individu tersebut kerana dilihat cuba mencetuskan ketegangan antara masyarakat Cina dan Melayu di dalam negara.

Semalam,Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak cadangan supaya sekolah vernakular dimansuhkan sebaliknya menggesa Putrajaya menfokuskan kepada perpaduan kebangsaan.

Malah, Pengerusi DAP Karpal Singh pada 15 Mei lalu membuat satu laporan polis ke atas Mohd Noor yang juga merupakan salah seorang panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kenyataan berbentuk hasutan tersebut dan menggesa Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan.

Barisan Nasional (BN) menang tipis pada 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen berbanding 89 kerusi oleh PR lebih rendah daripada 140 kerusi yang mereka menangi dalam Pilihan Raya 2008.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mencadangkan “tsunami Cina” menyebabkan BN mendapat keputusan pilihan raya terburuk dalam sejarah.

Utusan Malaysia, akhbar dimiliki Umno, juga mencadangkan pengundi Cina cuba melakukan provokasi kaum dengan mengundi menentang BN, dengan satu tajuk muka hadapan akhbar itu berbunyi, “Apa lagi Cina Mahu?”.

Akhbar itu - dilihat bersekutu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin parti lain - secara konsisten berhujah undi menentang Umno yang mengetuai BN sama dengan undi menentang Melayu.

Ini berlaku apabila secara faktanya parti PR, PAS dan PKR sebahagian besarnya ahlinya merupakan Melayu-Muslim.

DAP turut meletakkan calon Melayu dalam pilihan raya. - 21 Jun, 2013. -TMI

1 ulasan:

Andre Irwan berkata...

Betulkah atau benarkah dia ni adalah 9 daripada antara 10 HAKIM yang akan masuk neraka? Seperti yang aku selalu katakan, "Kenapakah sejak akhir-akhir, ramai cendikiawan Melayu sanggup memperbodohkan diri mereka dengan kenyataan yang bercanggah dengan kehendak Islam?"
Jadi kalau kita analisis dengan sehalus-halusnya, kenapa orang bukan Islam berani pertikaikan Hukum dan Keadilan Islam kalau bukan orang Islam sendiri yang mula mempertikaikannya? Allah swt selalu memperingatkan kita agar muhasabah diri setiap hari mengenai apa yang kita lakukan dan apa yang berlaku setiap hari serta akibat/keputusannya agar kita menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa kepadaNya. Pernahkah kita berbuat sedemikian?