26 Apr 2013

UMCEDEL: 'Lebih Ramai Setuju Anwar Jadi PM Berbanding Najib'


Kajiselidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendahului Datuk Seri Najib Razak sebagai calon perdana menteri Malaysia yang baru.

Tinjauan pada awal April itu, melibatkan 1,407 responden yang menetap di Semenanjung Malaysia menunjukkan sebanyak 43 peratus responden percaya Anwar layak menjadi perdana menteri manakala 24 peratus lagi berpendapat sebaliknya, dan selebihnya tidak pasti.

Untuk Najib pula, 39 peratus responden berkenaan berpendapat beliau layak menjadi perdana menteri manakala 31 lagi tidak bersetuju. Seramai 30 peratus lagi tidak pasti.

Apa yang menarik, seramai 54 peratus responden Melayu berpendapat Anwar layak menjadi perdana menteri dan hanya 28 peratus yang mahu Najib menjadi perdana menteri.


Di kalangan pengundi kali pertama pula, 48 peratus responden percaya Anwar layak menjadi perdana menteri manaka 25 peratus lagi berpendapat demikian untuk Najib.

Berbanding dengan hasil kajiselidik Umcedel pada bulan Januari, rating Najib merosot empat mata manakala Anwar meningkat satu mata.

Dari segi responden Melayu, Kedudukan Najib merosot 18 mata manakala Kedudukan Anwar pula meningkat sembilan mata.

Najib dan Anwar dilihat bersaing rapat dalam bidang-bidang yang lain.

Najib mempunyai sedikit kelebihan dari segi pemimpin yang rapat dan mesra rakyat, berbanding dengan Anwar.

Lima puluh empat peratus responden percaya Najib lebih "mesra rakyat" berbanding dengan 46 peratus untuk Anwar.

Pengarah Umcedel, Prof Datuk Mohd Redzuan Othman memberitahu satu sidang media hari ini bahawa ini kerana Najib muncul di TV hampir setiap hari, berbanding dengan Anwar yang hanya muncul apabila ada sesuatu yang tidak baik mengenainya.

Najib juga dilihat sedikit lebih mampu dalam pentadbiran berbanding dengan Anwar, manakala Anwar mempunyai kelebihan sedikit dari segi ketelusan dan wawasan untuk memajukan negara.

Bagaimanapun, Anwar mempunyai kelebihan yang jelas dari segi pemimpin yang memiliki ciri-ciri kepimpinan Islam, dengan 43 peratus daripada responden menyatakan beliau memiliki ciri-ciri tersebut, berbanding dengan 37 peratus untuk Najib.

Sementara itu, kajiselidik itu juga mendapati 62 peratus responden berkata mereka tidak dipengaruhi oleh video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin Pakatan Rakyat yang beredar di Internet.

Tiga puluh sembilan peratus responden berkata mereka yakin video seks itu sebagai "propaganda Umno" untuk membuat serangan peribadi, manakala 39 peratus berkata mereka tidak pasti.

Dua puluh dua peratus responden tidak bersetuju bahawa klip itu "propaganda Umno".

Redzuan berkata, nampaknya kempen memburuk-burukkan Anwar (dalam media arus perdana) tidak benar-benar memberi kesan buruk terhadapnya.

Sementara itu, 63 peratus responden berkata mereka mahu melihat debat antara Najib dan Anwar manakala 19 peratus tidak bersetuju dengan idea tersebut. -mk


Manifesto PR lebih penuhi harapan rakyat - UMCEDEL


Kajian yang dijalankan oleh Pusat Kajian Pilihan Raya dan Demokrasi Universiti Malaysia (UMCEDEL) mendapati, rata-rata pengundi bersetuju bahawa manifesto Pakatan Rakyat lebih memenuhi harapan rakyat berbanding manifesto BN.

Dalam kajian terhadap 1,407 responden pengundi berdaftar yang dibuat pusat kajian itu, 42 peratus dari mereka bersetuju terhadap manifesto Pakatan Rakyat dan hanya 36 peratus bersetuju dengan manifesto BN, manakala 22 peratus memilih tidak pasti.

"Ini dalam keadaan manifesto BN dibentang secara langsung dua jam dalam televisyen, dan media memainkannya hampir setiap hari selepas daripada itu," kata pengarahnya Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Universiti Malaya semalam selepas membentangkan hasil kajian bertajuk Pilihan Pengundi Menjelang Hari Mengundi dalam PRU13.

Kajian tersebut dijalankan bermula pada 3 April iaitu hari pembubaran parlimen, sehingga ke hari penamaan calon pada 20 April lalu.

Antara tawaran paling memberi kesan kepada pengundi adalah tawaran penurunan harga minyak yang dijanjikan Pakatan Rakyat jika berjaya menguasai pentadbiran negara.

Tawaran lain yang turut disokong pengundi termasuklah, menghapuskan tol, menurunkan harga kereta, penurunan caj elektrik dan harga air lebih rendah, penghapusan PTPTN, pemberian permit teksi individu serta gaji minima.

Dari segi pecahan kaum, masyarakat Cina adalah paling tinggi bersetuju bahawa manifesto Pakatan Rakyat lebih memenuhi hasrat rakyat dengan 61 peratus, Melayu 37 peratus manakala India 21 peratus.

Bagi BN pula, majoriti yang mengatakan manifesto BN lebih memenuhi hasrat rakyat adalah kaum India dengan 53 peratus, Melayu 38 peratus manakala Cina 25 peratus.

"Kita bertanyakan kepada mereka, dan kebanyakan mereka ini menyatakan memperolehi maklumat manifesto Pakatan Rakyat ini daripada internet dan media alternatif," kata Dr Ridhuan.
-mk

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Alhamdullillah !!!!!

Orang Melayu sudah celik mata dan hati , sudah sedar bahwa Orang Bahalol tidak layak jadi Pemimpin....

Tahniah Rakyat !!!!

Tanpa Nama berkata...

Perasuah memang tidak layak menjadi pemimpin kepada umat Islam di Malaysia.

wacaya berkata...

Kita perlukan perubahan, bak kata Tun: DAH LAMA DAH ! ( Fahamilah kata-kata Tun dengan mendalam; renungkan maksud dengan penuh penghayatan ! )

Tanpa Nama berkata...

Anwar pernah jadi TPM, dah ada pengalaman, insyaallah boleh jadi PM