19 Ogo 2012

[VIDEO] Anwar Jamin PKR Bukan ‘Satu Lagi Umno’ Jika Menang PRU-13

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata institusi demokrasi yang kuat seperti badan kehakiman dan agensi penguatkuasa yang bebas akan memastikan Pakatan Rakyat tidak bertukar menjadi ‘satu lagi Umno’.

Ini kerana Pakatan telah berjanji di dalam Buku Jingga bahawa institusi-institusi tersebut akan dibebaskan daripada campurtangan politik apabila perikatan itu berjaya memerintah negara.

Anwar memberi jaminan tersebut ketika menjawab satu soalan yang dikemukan di dalam program ‘Borak Bersama Anwar’ yang disiarkan secara langsung melalui portal video web ‘You Tube’ sebentar tadi.

Soalan yang dikemukakan oleh seorang yang dikenali sebagai “Gunanaiker” melahirkan kebimbangan sekiranya PKR menjadi ‘satu lagi Umno’ selepas menakluki Putrajaya.

“Gunanaiker” berkata kerisauan itu berdasarkan kehadiran ramai bekas pemimpin Umno-BN di dalam PKR.

“Tanpa mengira samada mereka pernah menyertai mana-mana NGO, Umno, MCA atau atau MIC, mereka yang sertai PKR perlu terima budaya politi baru bagi menjayakan agenda reformasi dan menyokong polisi Pakatan Rakyat,” kata Anwar.

PKR merupakan sebuah parti berbilang kaum dan mempunyai ahli dari pelbagai latar belakang termasuk bekas anggota Umno, MCA, MIC dan lain-lain pertubuhan bukan kerajaan.

Anwar berkata peranan institusi tersebut dipesongkan pada masa kini di bawah Umno-BN sehingga tindakan undang-undang tidak dapat diambil terhadap sesetengah pihak.

“Sekiranya badan-badan ini dibebaskan dari cengkaman politik kita tak perlu bimbang, kerana sesiapa sahaja boleh dikenakan tindakan.

“Kita tidak boleh mengambil sikap selektif dalam mengambil tindakan seperti yang berlaku terhadap Rafizi Ramli yang mendedahkan penyelewengan, tetapi membiarkan ‘perompak’ begitu sahaja,” kata Anwar lagi.

Sebelum ini Rafizi, yang merupakan pengarah strategik PKR, di dakwa di bawah satu akta kewangan setelah beliau mendedahkan dokumen-dokumen bank berhubung dengan projek kontroversi Pusat Fidlot Kebangsaan.


Pada masa yang sama, Anwar melahirkan keyakinan yang intergriti institusi polis di negara ini dapat diperbaiki.

Seperti institusi yang lain, kepercayaan rakyat terhadap polis hanya dapat dikembalikan sekiranya ia bebas dari pengaruh politik.

Anwar merujuk kepada kes bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang melakukan keganasan terhadap beliau di dalam tahanan polis pada tahun 1998, sebagai contoh bagaimana polis digunakan oleh pentadbiran sekarang.

“Menteri patut fokus untuk baiki imej polis dan bagaimana hendak mengurangkan jenayah, bukanya campuri tugas polis,” kata Anwar.

Program Interaktif yang dikendalikan oleh Sharifah Shahidah Syed Kamarulzaman dan disiarkan selama sejam itu merupakan satu-satunya program ‘Google Hangout’ yang melibatkan ahli politik Asia Tenggara.

Antara pemimpin dunia lain yang pernah ditampilkan dalam program sama adalah Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Dalam program tersebut, selain menjawab soalan dari laman sosial, beliau turut menjawab soalan-soalan dari enam panelis terpilih dari pelbagai latar belakang. -selangorku



Tiada ulasan: