19 Ogo 2012

Tragedi Balik Kampung: Keretapi Tergelincir, Penumpang Terpelanting Banyak Kali

TERBALIK... dua gerabak tergelincir di Kampung Sungai Yu, dekat Gua Musang.

Gua Musang: “Kami tidak ingat perkara lain kecuali mati selepas terpelanting beberapa kali dalam gerabak yang terbalik,” kata Nor Hazliza Mohd Noor, 22, seorang daripada hampir 100 penumpang yang terperangkap dalam dua gerabak kereta api Ekspres Wau yang terbalik, awal pagi semalam.

Kejadian jam 6.45 pagi itu berlaku di Kampung Sungai Yu antara Stesen Kuala Lipis dengan Gua Musang ketika Ekspres Wau dari Kuala Lumpur ke Tumpat dalam perjalanan membawa hampir 1,000 penumpang menaiki 14 gerabak untuk pulang menyambut Aidilfitri di kampung.

Dipercayai dua gerabak penumpang kelas satu dan gerabak tempat tidur yang dinaiki hampir 100 penumpang terletak di bahagian belakang terputus dari sambungan gerabak depan, menyebabkannya tergelincir sebelum terbalik di tepi bukit.

Seramai 11 penumpang cedera, lapan lagi parah, termasuk seorang luka di muka manakala dua lagi patah tangan dan patah pinggang, dan dikejarkan ke Pusat Kesihatan Merapoh untuk rawatan.

Pemandu yang menyedari dua gerabak penumpang belakang terputus terpaksa memberhentikan kereta api terbabit sejauh hampir satu kilometer sebelum mengundur semula ke tempat kejadian bagi menyelamatkan penumpang dalam gerabak terbalik itu. -HM


Kereta api tergelincir: 100 penumpang lalui detik cemas

GUA MUSANG - Kira-kira 100 penumpang yang berada di dalam dua gerabak kereta api Ekspres Wau yang tergelincir di Kampung Sungai Yu, Merpoh dekat Kuala Lipis, Pahang, jam 6.45 pagi ini, melalui detik mencemaskan dan mengerikan.

Mereka terpelanting beberapa kali di dalam gerabak terbabit dalam keadaan bertindih antara satu sama lain, sebelum merangkak keluar menerusi cermin pintu gerabak yang dipecahkan.

Penumpang itu menaiki 14 gerabak kereta api terbabit yang dalam perjalanan pulang untuk menyambut Aidilfitri di kampung masing-masing.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Abdul Razak Hasan berkata dua daripada 14 gerabak kereta api Ekspres Wau yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat, tergelincir kira-kira 11 kilometer selepas Stesen Keretapi Merapoh pada pukul 6.30 pagi.

Katanya, tiga mangsa parah dan lapan cedera ringan dihantar ke Hospital Gua Musang di sini, untuk rawatan lanjut.

Seorang penumpang yang terselamat, Nor Atikah Zakari, 21, berkata semasa kejadian kebanyakan penumpang sedang nyenyak tidur, hanya beliau bersama
beberapa penumpang lagi belum melelapkan mata.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, gerabak yang dinaikinya tiba-tiba bergegar dengan kuat dipercayai selepas terputus dari sambungan dengan
lokomotif.

Beliau berkata ketika itu, beliau bersama penumpang lain terpelanting beberapa kali dalam keadaan kelam kabut sambil masing-masing menjerit ketakutan.

"Saya juga bertindih antara satu sama lain di dalam gerabak berkenaan sebelum saya merangkak mencari pintu keluar untuk menyelamatkan diri," katanya
yang dalam perjalanan pulang ke Tumpat.

Nor Hazliza Mohd Noor, 22, pula berkata,beliau sebelum itu tidak dapat melelapkan mata walaupun perjalanan masih jauh, tetapi tidak membayangkan
perkara buruk berlaku.

Beliau berkata, ketika bunyi dentuman kuat semasa gerabak sedang terbalik, beliau turut menjerit meminta tolong, kemudiannya merangkak untuk keluar
menerusi pintu namun gagal kerana ia masih tertutup dengan kuat.

"Ada penumpang lelaki yang terpaksa memecahkan cermin pintu koc terbabit sebelum saya dapat keluar menerusi cermin yang pecah itu dalam keadaan selamat," katanya.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memberitahu perkhidmatan kereta api penumpang dari Kuala Lumpur ke Kelantan
tidak terjejas walaupun berlaku kemalangan tersebut.

Jurucakap Unit Komunikasi Korporat KTMB, berkata kerja membaik pulih landasan dijangka selesai pukul 7 petang ini.

"Ketika ini petugas KTMB sedang menjalankan kerja membaiki landasan dan mengangkat tren yang tergelincir dari landasan," katanya ketika dihubungi dari
sini, hari ini.

Jurucakap itu menasihati penumpang dan keluarga mereka supaya tidak risau mengenai perkhidmatan itu terutama di musim perayaan Aidilfitri ini.

Beliau juga meminta orang ramai menghubungi stesen KTMB berhampiran untuk mendapat maklumat terkini mengenai perjalanan mereka ke destinasi masing-masing
. - Bernama


2 ulasan:

PUPPETS berkata...

errr ketalipang nih tak termasuk ops selamat yekkk...

Tanpa Nama berkata...

Jangan orang ramai hilang kepercayaan terhadap KTMB sudah le.