8 Apr 2012

[Video] Jet Pejuang F-18 AS Rempuh Pangsapuri

Virginia Beach - Pasukan bomba menyelongkar serpihan sebahagian bangunan pangsapuri di Amerika Syarikat (AS) yang runtuh semalam selepas dirempuh sebuah jet pejuang F-18 milik Tentera Laut AS.

Insiden tersebut mencetuskan satu kebakaran besar yang mencederakan sembilan orang termasuk dua juruterbang kelmarin tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Jet berkenaan merempuh bangunan pangsapuri di sini, dalam negeri Virginia, sejurus selepas ia berlepas dari sebuah pangkalan tidak jauh dari lokasi kejadian.

Seorang pegawai tentera laut AS, Kapten Mark Weisgerber menyalahkan kerosakan mekanikal sebagai punca nahas.

Menurutnya, kedua-dua juruterbang sempat mengaktifkan kerusi anjal mereka untuk menyelamatkan diri sebelum pesawat terhempas.

Beberapa pegawai penyelamat pula memberitahu, sekitar 40 pangsapuri didapati musnah atau rosak dalam nahas tersebut.

Bahagian-bahagian pesawat yang berkecai dapat dilihat di belakang beberapa buah bangunan di sekitar lokasi kejadian selepas pasukan bomba menyembur cecair buih bagi mengelakkan api daripada merebak.

Beberapa saksi berkata, jet itu menjunam secara tiba-tiba manakala kebakaran merebak dengan cepat akibat tumpahan bahan api pesawat.

"Bangunan pangsapuri itu seperti mula hendak runtuh," kata seorang lelaki, Zack Zapatero kepada saluran berita CNN.

Seorang saksi lain, Jon Swain menceritakan detik cemas jet pejuang itu merempuh blok pangsapuri berkenaan.

"Saya melihat api keluar dari bahagian belakang pesawat dengan ia terbang semakin rendah. Saya kemudian melihat seorang juruterbang melantun ke udara sebelum jet itu terhempas," katanya.

Jet F-18 berkenaan ditempatkan di Stesen Udara Tentera Laut Oceana, di sini yang merupakan pangkalan kepada 19 skuadron AS.

Punca kejadian masih disiasat. - Agensi




1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hehehe...ni mesi nak berlagak buat manuver impossible...pastu tak jadi reject kerusi lenting dan rempuh rumah org...hahaha...blah le u.s...reka bentuk pesawat dalam keadaan statik ada hati nak buat gaya manuver cam pesawat russian...chaittt!!!...^^