28 Jan 2012

Isu MB Kedah Dan KUIN "Tidak Dalam Keadaan Untuk Dibincangkan" Oleh Pakatan

Pas: 'Hukum' MB Kedah tak timbul, fokus mansuh Auku

Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub (gambar) berkata, gesaan Prof Dr Abdul Aziz Bari agar kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) mengambil tindakan ke atas Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berhubung isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) tidak timbul dan ia juga bukan formula penyelesaian.

Sebaliknya menurut beliau, PR perlu memberi tumpuan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dengan membentuk kerajaan peringkat persekutuan pada pilihan raya umum akan datang.

"Pakatan akan mengambil tindakan maksimum untuk memansuhkan Auku," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Salahuddin berkata, semua pihak perlu melihat bahawa masalah semasa ini berpunca daripada kewujudan Auku itu sendiri.

"Seharusnya jangan kita mengalihkan senapang, tembakan ke arah pihak (kumpulan sasaran) yang salah. Apa yang penting, kita memaksimumkan serangan ke arah BN (Barisan Nasional), tindakan untuk memastikan Auku ini dihapuskan
," kata Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sehubungan itu, Salahuddin berkata, pendekatan mengambil tindakan ke atas Azizan tidak akan menyelesaikan kontroversi semasa, sebaliknya isu yang timbul memerlukan penyelesaian menyeluruh dengan memansuhkan Auku.

"Saya tidak fikir ia akan menyelesaikan masalah (dengan mengambil tindakan ke atas Menteri Besar)," katanya.

Ditanya sama ada PR akan membincangkan perkara itu, Salahuddin berkata, "tidak dalam keadaan untuk dibincangkan."

Dalam temu bual dengan Sinar Harian semalam, Menteri Besar Kedah berkata, orang luar tidak perlu masuk campur urusan pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk isu Kuin kerana pihaknya lebih tahu situasi yang berlaku berbanding pihak-pihak lain.

Mengulas gesaan Prof Dr Abdul Aziz Bari, Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, pakar perlembagaan itu sepatutnya lebih mengetahui selok-belok undang-undang dan keputusan mahkamah dan oleh itu, tokoh akademik berkenaan tidak sepatutnya mempersoalkan tindakan pengurusan Kuin menggantung lima pelajarnya.

“Kita tidak akan layan segala desakan untuk menarik balik keputusan yang sudah dibuat. Lagipun isu ini sudah lama,” kata beliau.

Azizan mencadangkan PR agar mengambil tindakan terhadap Azizan kerana menggunakan Auku untuk menggantung enam pelajarnya sedangkan perikatan itu mendesak akta tersebut dimansuhkan.

Sebelum ini, dalam perbicaraan pada 25 Mei lalu, enam pelajar kolej universiti itu digantung pengajian dan seorang dikehendaki membayar denda.

Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Muhamad Aiman Che Abd Razak, Zukhilatif Marzuki, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Mohd Arof digantung satu semester dan diberi surat amaran.

Seorang lagi, Mohamad Farhan Mohamad Baharin juga diberi surat amaran dan didenda RM100.

Mereka didakwa mengikut kesalahan di bawah Auku kerana menyertai demonstrasi, memberi ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang media.

Mereka didapati terlibat dalam demonstrasi bertujuan menyatakan bantahan terhadap pembinaan Sekolah Insan Bestari.

Azizan yang juga Pengerusi Kuin turut menganggap kes enam pelajar terbabit selesai setelah mereka dikenakan tindakan tata tertib termasuk digantung pengajian manakala seorang lagi dikehendaki membayar denda.

Dalam pada itu, ketika bercakap kepada Sinar Harian di Padang Besar hari ini, Salahuddin berkata, mana-mana pihak termasuk tokoh akademik tidak wajar menuding jari terhadap Azizan yang menyokong tindakan Kuin menggunakan Auku untuk menggantung lima pelajarnya dalam perbicaraan 25 Mac lalu. -SH


Azizan sedia dipecat jika bersalah dalam isu KUIN

KUALA LUMPUR, 27 Jan — Datuk Seri Azizan Abdul Razak menempelak pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari sambil menegaskan bersedia berdepan dengan apa jua tindakan oleh Pakatan Rakyat termasuk dipecat sekiranya bersalah.

Menteri Besar Kedah ini mengulas desakan Aziz semalam agar Pakatan Rakyat mengambil tindakan tegas terhadap beliau kerana mengambil tindakan ke atas lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tahun lepas.

Menyentuh soal prinsip Buku Jingga yang mahu memansuhkan AUKU, Azizan (gambar) menegaskan “Buku Jingga bukan al-Quran” yang harus dipatuhi sepanjang masa.

“Ada perkara boleh laksana dan ada perkara yang tidak boleh...kena lihat pada keadaan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Kalau Pakatan Rakyat nak ambil tindakan terhadap saya, ambillah...ini urusan universiti, saya tidak campur tangan (dalam soal tindakan tatatertib),” tambahnya.

Mei lalu, lima mahasiswa kolej universiti tersebut dibicarakan dan digantung pengajian kerana didapati terlibat dalam demonstrasi yang bertujuan untuk menyatakan bantahan terhadap pembinaan Sekolah Insan Bestari yang diadakan di kediaman Ar-Razi, KUIN.

Mereka membantah pembinaan di kawasan tersebut kerana dilihat tidak strategik dan akan mengganggu proses pengajian dan pembelajaran mahasiswa tahfiz.

Mereka yang dikenakan tindakan gantung pengajian ialah Mohd Faiz Mohd Arshad, Mohd Azlan Mat Zain, Ahmad Remi Mohd Arof, Zukhilatif Marzuki dan Muhamad Aiman Che Abd Razak.

Ekoran penggantungan itu, kelima-lima mahasiswa itu mengambil tindakan perundangan mencabar keputusan KUIN itu.

Kes itu akan disebut pada 12 Mac depan.

Azizan turut menyifatkan Aziz “buta undang-undang” dan tidak bersikap seperti tokoh akademik.

“Macam mana beliau (Aziz) suruh saya campur tangan dalam hal pentadbiran universiti? Yang kedua perkara ini sudah dibawa ke mahkamah...jadi buat apa nak bising, tunggu sahaja kes bermula.

“Sekarang nak suruh saya buat macam Umno pula, semua perkara di bawah urusan KUIN...saya tidak campur tangan, biar pihak pengurusan dan pentadbiran yang buat,” katanya.

Beliau menambah: “Kalau beliau pakar perlembagaan patut tahu bila dah bawa ke mahkamah buat apa nak bising. Beliau dangkal, belajar perlembagaan tapi tidak tahu prosedur.”

Azizan turut menegaskan AUKU telah dilaksanakan di KUIN sejak sekian lama dan ia tidak mendatangkan sebarang masalah.

“Saya anak AUKU, tiada masalah...KUIN adalah hak Kedah, bukan pusat. Jadilah rasional, ‘gentleman’ sikit.

“Undang-undang di KUIN sebelum saya masuk sudah ada. Di Selangor ada tak AUKU? Universiti di Selangor ada AUKU tak? Kami universiti swasta, teori lain...amalan lain,” katanya.

Beliau menambah segala urusan KUIN dilaksanakan pentadbiran universiti bukannya beliau yang memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah KUIN.

“Tanggungjawab di bawah urusan pentadbiran, kita ada rektor, ada kakitangan KUIN bukan saya.

“Kalau Pakatan Rakyat nak pecat, pecatlah...ingat mudah,” katanya.

PAS akan meminta Azizan memberikan penjelasan berhubung penggantungan lima mahasiswa KUIN pada 12 Februari ini semasa mesyuarat bulanan PAS pusat di ibu pejabat parti Islam itu.
-TMI


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tapi Azizan kenalah fikir, apa guna buku jingga yang kita war-war tapi kita sendiri tak dapat praktikkan. Cuba kita fikir, kalaulah sekarang ada undang-undang dibenarkan mencuri, adakah kita benarkan mencuri semata-mata disebabkan benda yang salah. Pihak Pakatan kena praktik apa yang ada dalam buku jingga. Kalau tak yak payah buat.

1 Malaysia berkata...

AUKU masih berfungsi dan belum dimansuhkan, jadi akta itu kena dipatuhi sehingga ianya dimansuhkan kelak.
Awat yang manusia ni tak mahu faham? Depa nak suruh kita jadi macam UMNO juga, buat kerja tak ikut undang-undang sedia ada. Fikir dan analisis dengan tenang. Jangan ikut pakai logik akal aja, logik undang-undang kena pakai juga.
AKU sokong MB Kedah.

Tanpa Nama berkata...

salam Anonymous JANUARY 29, 2012 9:13 AM...

kau baca sampai habis ke thread ni...

kalau kau baca sampai habis tentu kau tak buat ulasan bonama begini...

salute ustaz azizan...

Tanpa Nama berkata...

betul ke rektor KUIN orang UMNO yang mana beliau juga kawan rapat MB masa dulu...cuba siasat..ada orang diluar sana bagitau...tapi saya tak percaya...betul kah...

Tanpa Nama berkata...

Alhamdullilah...MB Kedah ni panjang akalnya, Prof Aziz Bari pun dah terkena kehkehkeh!!..

Tanggung jawab MB bukan hal remeh temeh dalam 'novaciti"..tu mmg tanggung jawab pengurusan "novaciti'.

Macam hukum pencuri lah..bukan tanggungjawab polis,tu tanggungjawab hakim mahkamah..

So..harap sume TERANG DAN JELAS tugas masing2..