28 Jan 2012

10 Kenderaan Terbabit Dalam Kemalangan Setelah Lori Brek Mengejut

Tragedi lampu merah

Georgetown: Kira-kira 10 pemandu nyaris maut apabila seorang drebar lori gagal memberhentikan kenderaannya sebelum merempuh kenderaan lain dalam kemalangan di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu membabitkan 10 kenderaan iaitu dua lori, tujuh kereta dan sebuah van berhampiran simpang lampu isyarat ke Sunny Point menghala ke Gelugor dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Sebuah kereta jenis Volkswagen Passat bernilai lebih RM250,000 rosak teruk akibat rempuhan kuat di bahagian belakang menyebabkan ia terperosok antara lori dan kenderaan lain.

Selain itu, sebuah kereta Proton Saga turut remuk, manakala enam kenderaan lain terhimpit antara satu sama lain dan sebuah lori membawa sisa pepejal melintang di tengah jalan raya.

Tiada kecederaan parah dilaporkan dan pemandu lori melarikan diri selepas kejadian.

Pemandu kereta Proton Saga yang dikenali sebagai Jason Loo, 29, berkata, dia terkejut apabila keretanya dirempuh dari belakang ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat itu.

“Saya terkejut kerana kereta saya terperosok dengan kereta lain, namun bernasib baik kerana tiada kecederaan berlaku,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori 12 tan berusia 30-an itu dari arah Jalan Sungai Nibong menghala ke Jalan Sultan Azlan Shah dan dikatakan membrek lorinya secara mengejut.

Katanya, ketika itu terdapat pelbagai jenis kenderaan berhenti berhampiran lampu isyarat kerana ketika itu lampu merah dan akibat brek mengejut, lori itu gagal berhenti sebelum melanggar kenderaan di depannya.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan kesesakan teruk sepanjang lima kilometer, namun trafik kembali lancar selepas sepasukan anggota bomba dari Jalan Perak mengalihkan kenderaan berkenaan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ahmad Bakhtiar Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan masih dijalankan. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL), Inspektor Syed Azman Syed Abdul Aziz di talian 04-2181887. -hm


REMUK...keadaan Volkswagen Passat selepas dirempuh dari arah belakang.

HANCUR...sebuah kereta tersepit dalam kemalangan babit 10 kenderaan.


Tiada ulasan: