20 Dis 2011

Dakwat Kekal: Belum Ada Hitam Putih, SPR Didakwa Cuba Alih Perhatian

SPR cuba alih perhatian

KOTA BHARU – Penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) seperti yang dinyatakan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof belum ada hitam putih.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Kelantan, Wan Nik Wan Yusof berkata, walaupun SPR menyatakan persetujuan untuk menggunakan kaedah tersebut, ia belum ada kata putus daripada pihak kerajaan.

Menurutnya, pengumuman itu mungkin hanya untuk mengalih perhatian orang ramai kepada isu lain yang lebih serius seperti pertindihan daftar pemilih yang masih belum diselesaikan sepenuhnya.

“Setakat ini, kita lihat SPR akan bersandarkan kepada kabinet, menteri atau Parlimen, kita hanya boleh mempercayainya selepas ia diumumkan secara rasmi oleh kerajaan. Mungkin juga ia hanya untuk memberitahu kepada rakyat bahawa SPR melakukan sesuatu untuk menjadikan pilihan raya lebih adil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Aziz yang bersetuju memenuhi salah satu tuntutan Bersih 2.0 itu semalam.

Contoh dakwat kekal yang akan digunakan sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan kandungan sebelum dikemukakan kepada kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan untuk tindakan susulan.

Dakwat kekal ‘silver nitrate’ yang akan digunakan digunakan di beberapa negara bagi memastikan pilihan raya berjalan secara adil dan ianya berbeza dengan dakwat kekal yang disyorkan pada PRU 12.

Sementara itu, Timbalan Exco Negeri Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, rakyat mahukan PRU 13 berjalan adil dan bebas daripada sebarang bentuk keraguan.

“Buatlah apa saja asalkan rakyat berpuas hati dan penggunaan dakwat kekal hanya salah satu daripadanya sedangkan SPR sewajarnya terlebih dahulu menyelesaikan isu lain yang lebih besar,” katanya.

Katanya, aduan mengenai wujudnya pengundi hantu dalam daftar pemilih sehingga ke hari ini belum ada jawapan meyakinkan sehingga rakyat menilai sendiri kredibiliti SPR itu sendiri. -SH

Dakwat kekal: Jangan ada halangan seperti 2008

KUALA LUMPUR, 19 Dis: PAS mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan bahawa tidak akan ada lagi sebarang halangan untuk menggunakan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 seperti yang berlaku pada 2008.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) berkata, biarpun menyambut baik pengesahan SPR untuk menggunakan dakwat kekal itu, namun apa yang dibimbangi sejarah PRU ke-12 pada Mac 2008 lalu akan berulang.

"Kita alu-alukan ianya dilaksanakan. Cuma kita harap tidak ada lagi halangan seperti dakwat lewat sampai dan sebagainya.

"Kita juga nak kepastian berhubung dengan kualiti dakwat tersebut," katanya yang juga ahli parlimen Kuala Krai ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengesahan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa dakwat kekal akan digunakan pada PRU akan datang.

Aziz berkata, SPR juga bersetuju untuk melaksanakan undi awal kepada semua anggota polis dan tentera, termasuk isteri mereka kecuali jika berada dalam tugas dan memohon membuat undian pos.

Kedua-dua pembaharuan yang akan diperkenalkan itu adalah sebahagian kecil dari cadangan jawatankuasa pilihan khas (PSC) parlimen berhubung penambahbaikan proses pilihan raya yang syornya dibentang di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Cadangan penggunaan dakwat kekal hampir-hampir digunakan pada PRU ke-12 pada tahun 2008, namun ianya ditarik balik beberapa hari sebelum pengundian.

"Kita juga minta agar SPR memberi penerangan awal kaedah penggunaan (dakwat kekal) supaya mudah untuk kita memberitahu kepada petugas parti yang akan terlibat," kata Hatta yang juga salah seorang anggota PSC itu.

Hatta juga menyifatkan keputusan terbaru SPR itu sebagai kejayaan rakyat yang menuntut penggunaan dakwat kekal sejak sekian lama termasuk melalui himpunan Bersih 10 November 2007 dan terbaru Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

"Saya berani katakan, desakan rakyat inilah yang memaksa kerajaan untuk akur menggunakan dakwat kekal.

"Harapan kita supaya penggunaan ini akan mengelakkan mana-mana pihak mengundi lebih sekali," katanya. -HD



3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kelakar lah pak menteri ni....dia ingat story cmni mcm buat kelakarrr.. lak....ada lah dia nak cover story sensasi kot...??? mcm kitorg xtau....

Tanpa Nama berkata...

Last minit nanti cancel dgn pelbagai alasan yg tak masuk akal...

Tanpa Nama berkata...

muka barua nie mcm joker daaaaaaa