23 Okt 2011

Pasangan Pelajar IPTA Berseluar Pendek Dicekup Berpelukan

Sura Hujung (Dungun) – Gara-gara berpakaian menjolok mata, seorang pelajar wanita institut pengajian tinggi awam (IPTA) menerima padah apabila didakwa di mahkamah berikutan kesalahan itu ketika berada di satu taman permainan di sini.

Siti Nur Nadia Saparudin, 22, didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Dungun mengikut selepas ditahan Pegawai Penguat Kuasa Syariah kerana mendedahkan tubuh di tempat awam ketika berada di Taman Permainan Sura Hujung kira-kira jam 10.55 malam, 14 Februari lalu.

Antara fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwa raya apabila mensabitkan kesalahan ke atasnya, ketika pegawai penguat kuasa syariah tiba di taman permainan dekat Sura Hujung, seorang lelaki dan perempuan didapati sedang berpelukan.

Pasangannya yang dikenali sebagai Isa Ahmad, 24, ketika itu didapati memakai seluar pendek paras lutut manakala tertuduh memakai seluar pendek paras paha dengan baju T sendat.

Siasatan awal ke atas pasangan mendapati kedua-duanya tidak mempunyai hubungan muhrim sebagai suami isteri.


Kedua-dua tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas tuduhan berkelakuan tidak sopan dan mohon dibicarakan.

Kes mereka bakal disebut semula pada 6 Februari 2012.

Bagaimanapun tertuduh perempuan, Nur Nadia membuat pengakuan bersalah atas tuduhan mendedahkan tubuh di tempat awam.

Hakim Syarie, Shamsudin Ngah selepas mendengar rayuan tertuduh akhirnya menjatuhkan denda RM600 atau satu bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Raya Syarie, Nor Hakimah Awang.

Tiada ulasan: