23 Okt 2011

Kaki Mertua Patah Dipijak Menantu

Melaka – Seorang warga emas yang cacat penglihatan patah kaki kanan akibat dipijak menantunya dalam pertengkaran di Kampung Morten di sini baru-baru ini.

Gambar: IBRAHIM ditenteramkan anak-anaknya (dari kanan) Rozita, Kamariah danJamaliah di Kampung Pengkalan Rama, Melaka semalam.

Pada kejadian pukul 3.30 petang 10 Oktober lalu itu, Ibrahim Omar, 65, yang menetap di rumah anak keduanya, Jamilah, 46, di Kampung Pengkalan Rama Pantai, pergi ke rumah pusakanya di Kampung Morten untuk mengambil baju.

“Tiba di rumah itu, isteri saya, Arah Mahmud, 64, menghalau saya dari rumah tersebut sehingga berlaku pertengkaran di antara kami berdua.

“Pertengkaran itu semakin teruk apabila menantu saya yang berusia 38 tahun dan tinggal di rumah itu masuk campur,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Rama Pantai di sini semalam.

Ibrahim berkata, menantunya itu tiba-tiba bertindak ganas lalu memukulnya dari belakang.

“Dia menghumban saya ke luar rumah sebelum memijak kaki kanan saya dengan kuat sehingga patah,” katanya.

Menurut Ibrahim, jirannya yang menyaksikan kejadian itu terus menghubungi Jamilah yang kemudian datang untuk membawa Ibrahim pulang.

Katanya, pada malam selepas kejadian, kakinya berasa sakit dan beliau terus ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan. -kosmo

Warga emas dibelasah menantu

MELAKA: Hasrat seorang warga emas yang cacat penglihatan untuk mengambil pakaian di rumah pusaka miliknya di Kampung Morten di sini, bertukar detik ngeri apabila dia mendakwa cedera dibelasah menantu lelakinya.

Ibrahim Omar, 65, berkata kejadian yang berpunca daripada pertengkaran kecil antara dia dan isterinya, Arah Mahmud, 64, menyebabkan kaki kanannya patah kerana dipijak menantu berusia 38 tahun berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian jam 3.30 petang 10 Oktober lalu, dia dan isteri bertengkar di rumah pusaka berkenaan.

“Pertengkaran kami menjadi semakin hangat apabila menantu kami yang juga tinggal di rumah itu mula campur tangan sebelum berlaku pertelingkahan baru.

"Malah, lebih buruk apabila menantu kemudian memukul saya dari belakang ketika saya berpusing untuk mengambil barang," katanya di sini semalam.

Menurut Ibrahim, tidak cukup dengan itu, menantu berkenaan didakwa bertindak mencekak baju yang dipakai sebelum mengheretnya keluar dari rumah itu. -hm

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ITULAH MENATANG BUKAN MENANTU....

Tanpa Nama berkata...

kampong mortem melaka ni sememangnya sebuah perkampungan gengster dari dulu lagi