5 Okt 2011

MP Selar Cincin RM24 Juta Sebagai Pembaziran, SAMM Edar Risalah

Kenyataan kerajaan bahawa wujudnya cincin bernilai AS$24 juta yang dikaitkan dengan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor secara tidak langsung membuktikan satu pembaziran dan ketirisan luar biasa telah dilakukan, ujar Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid.

"Ini membuktikan bahawa Barisan Nasional tidak boleh dipercayai dalam menyatakan kebenaran, maka dengan kenyataan ini juga membuktikan Barisan Nasional satu kepimpinan yang korup, membazir dan tidak memikirkan keperluan tabungan untuk rakyat, ianya suatu yang menjijikan." katanya

Beliau berata demikian ketia ditemui TVSelangor diluar Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, hari ini bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berhubung pembelian cincin AS$24 juta yang membabitkan isteri Perdana Menteri.

Nazri mengesahkan tiada pembelian cincin bernilai AS$24 juta oleh Rosmah sebagaimana didakwa oleh beberapa blog sebelum ini.

Sebaliknya, Dewan Rakyat diberitahu bahawa ia telah dipulangkan ke premis asal dalam beberapa hari selepas ia tiba di Malaysia.

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, Nazri berkata Kastam Diraja Malaysia mengesahkan bahawa cincin itu telah dikembalikan beberapa hari kemudian kepada syarikat pengeluar.

Ogos lalu, Perdana Menteri dalam temu bual dengan akhbar Kompas telah menafikan isterinya ada membeli cincin berlian yang nilainya berjuta-juta ringgit.

Akhbar Kompas telah memohon maaf kepada Najib atas laporannya, disiarkan pada 4 Ogos lalu, tetapi misteri kekal mengapa cincin dari Jacob & Co New York dialamatkan kepada Rosmah.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata bahawa Pembangkang tidak berdiri kukuh dengan membawa isu untuk meraih tempat dan sokongan, tetapi apa yang berlaku hari ini jelas, perjuangan Pembangkang ialah membongkar salah urus tadbir yang dilakukan oleh kerajaan pemerintah.

"Setelah diakui ianya terbukti bukan lagi retorik politik mahupun fitnah, tetapi ini adalah kenyataan yang membariskan bahawa isteri Perdana Menteri itu seorang yang boros, persoalannya dari mana datang wang sejumlah itu, sepatutnya ia digunakan untuk pembangunan rakyat tetapi disalah guna untuk pembarizan yang cukup luar biasa."jelas beliau

Rosmah dalam satu kenyataan pada akhir Julai lalu turut menyifatkan tuduhan itu sebagai satu fitnah dan beliau menegaskan tiada keperluan untuk melayan perkara tersebut.

“Tak ada apa yang saya nak cakap sebab saya tidak ada masa hendak layan perkara seumpama ini. Ikut sedap dia (blogger) saja hendak cakap (tuduh),” jelas Rosmah. -tvsnews

SAMM edar risalah cincin Rosmah

PETALING JAYA: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan mengedarkan risalah buku kecil minggu depan mengenai pembaziran dan kemewahan melampau khususnya mengenai dakwaan cincin berlian bernilai RM24.45 juta yang dipakai oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Pengerusinya Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai CheguBard berkata, risalah kecil ini menerangkan isu-isu pembaziran yang melibatkan Rosmah yang menggayakan hidup mewah.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini berikutan jawapan bertulis daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Dalam jawapan bertulisnya kepada Ahli Parlimen DAP-Segambut di Parlimen semalam, Nazri berkata pihak Jabatan Kastam mengesahkan tiada urusan jual beli berlaku dan cincin tersebut telah dikembalikan kepada tuan punya.

CheguBard yang juga Ketua PKR Cabang Rembau menyifatkan jawapan tersebut hanya seperti melepaskan batuk di tangga sahaja.

Beliau menegaskan bahawa beliau tidak menuduh tetapi dengan kewujudan bukti dan pembelaan puak pengampu yang menambah kecelaruan fakta maka lebih menuntut Rosmah untuk tampil memberi penjelasan, bukan hanya menyatakan “itu semua fitnah dan mereka dengki dengan saya”.

“Ketika rakyat sedang bergelut dengan pelbagai tekanan hidup, khususnya kelompok pekerja muda yang sedang membina kerjaya dan keluarga, kesombongan dan imej mewah Rosmah yang cuba menyamar sebagai wanita pertama negara seperti mencurah garam ke luka rakyat.

“Itu belum lagi mengambil kira gelang tangan bernilai RM1.65 juta yang ada gambar dipakai oleh Rosmah dari syarikat yang sama mengeluarkan cincin. Kini terpulang pada rakyat untuk menilainya,” ujar beliau. -FMT


Tiada ulasan: