27 Ogo 2011

Darurat Diisytihar Di New York & 3 Negeri Amerika Syarikat

New York: Gabenor New York, Andrew Cuomo, mengisytiharkan darurat di seluruh negeri itu ketika ratusan ribu penduduk diarah meninggalkan kediaman masing-masing sebagai persediaan berdepan impak Taufan Irene.

“Saya menyarankan penduduk New York supaya bersedia menghadapi taufan dan bekerjasama dengan pegawai kecemasan. Dengan bekerjasama, kita akan dapat berdepan taufan ini dalam keadaan tenang dan terancang,” katanya.

Darurat juga diisytiharkan di Carolina Utara, Virginia dan New Jersey. Di Cape May, New Jersey, seramai 750,000 penduduk diarah berpindah tengah malam kelmarin.

Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, juga mengarahkan pemindahan hospital dan institusi penting lain di kawasan paling rendah di bandar raya itu.

Ramalan menunjukkan Irene bakal menjadi taufan pertama menyerang Amerika Syarikat sejak 2008, ketika taufan Ike membunuh lebih 50 orang dan menyebabkan kerugian AS$30 bilion (RM89.7 bilion).

“Bahagian timur menjadi laluan taufan ini. Kita dapat lihat impaknya,” kata Pengarah Pusat Taufan Kebangsaan Amerika, Bill Read.

Taufan kategori tiga itu, diletakkan sekuat Katrina pada 2005, melanda sebahagian Bahamas dan menyebabkan tiga kematian di Haiti dan Puerto Rico.

Lovely Bay terletak di kepulauan terpencil Bahamian Acklins, dimusnahkan angin sekencang 177 kilometer sejam manakala berpuluh-puluh rumah ranap di pulau lain, kata pihak berkuasa.

Sementara itu hujan setinggi 0.30 meter dijangka turun diiringi dengan ombak besar dan bahaya.

Arahan pemindahan mandatori itu dikeluarkan kepada 200,000 penduduk di kawasan pesisiran pantai Dare dan Hyde di Carolina Utara. Penduduk di Dare dijangka tiba di tempat perlindungan khas menjelang 8.00 pagi manakala pelancong diminta meninggalkan kawasan itu secepat mungkin kerana impak Taufan Irene dijangka dirasakan hari ini.

“Taufan Irene mungkin menjadi sekali dan setiap 50 tahun yang melanda timur laut. Tingkap kaca mungkin retak di bangunan pencakar langit di bandar raya ini,” kata pakar kaji cuaca bagi Accuweather, Kristina Pydynowski, yang meramalkan banyak pokok tumbang, bekalan elektrik terjejas dan kerosakan bangunan.

Taufan itu dijangka meningkat ke kategori empat sebaik melepasi Florida tengah hari semalam, sebelum ia lemah apabila melanda pantai timur.

Bloomberg meramalkan keadaan bakal menjadi seperti ribut tropika dengan hujan lebat serta angin selaju 96 kilometer sejam di New York. Amaran banjir juga dikeluarkan di beberapa kawasan termasuk daerah kewangan.

“Kita berharap yang terbaik tetapi bersedia berdepan terburuk,” katanya.
Akhbar tabloid di New York menggabungkan gambar satelit besar Taufan Irene di muka depan akhbar masing-masing.

Sementara itu, penduduk di Washington turut diberi amaran akan dilanda taufan itu jika ada sebarang lencongan pada laluan Irene.

Pentadbir Agensi Pengurusan Bencana Persekutuan, Craig Fugate, memberi taklimat kepada Presiden Barack Obama mengenai keadaan itu. – Agensi


Taufan Irene dijangka landa pantai timur Amerika, puluhan ribu diarah pindah

HATTERAS (Amerika Syarikat): Berjuta-juta penduduk di wilayah pantai timur Amerika Syarikat bersiap sedia menantikan ketibaan taufan yang jarang berlaku di kawasan itu.

Pihak berkuasa dari North Carolina sehingga ke New York telah mengisytiharkan keadaan darurat, sedang berpuluh ribu penduduk diarahkan berpindah ke kawasan tinggi.

Taufan Irene yang telah menyebabkan lima kematian apabila ia melanda kepulauan Bahamas Rabu lalu dijadualkan tiba di pantai timur Amerika hari ini.

Sekitar 65 juta penduduk di kawasan yang bakal terjejas oleh taufan, yang diklasifikan sebagai kategori dua itu, telah diberi amaran.

'Tiada sebarang alasan bagi penduduk berkata yang mereka tidak tahu taufan akan tiba. Mereka perlu faham, kita sudah kesuntukan masa,' kata ketua Agensi Pengurusan Bencana Federal, Encik Craig Fugate.

Taufan itu dijangka menyebabkan ombak bahaya setinggi 3.4 meter.

Wilayah pantai timur Amerika jarang dilanda taufan.

Taufan Gloria pada 1985 adalah taufan terakhir yang melanda kawasan New York.

Selasa lalu, kawasan pantai timur Amerika baru saja dilanda gempa bumi yang jarang berlaku dengan gegaran sekuat 5.8 pada skala Richter.

Tentera Amerika berkata sehingga 98,000 askarnya diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Pihak berkuasa di daerah Dare County di North Carolina memberi amaran pasukan penyelamat tidak akan dapat membantu dengan segera golongan yang tidak mengendahkan arahan berpindah semalam.

Daerah itu didiami sekitar 180,000 penduduk.

'Jika anda pilih tidak berpindah kami tidak boleh mendakwa atas tuduhan jenayah tetapi anda terdedah kepada cuaca yang sangat buruk,' kata pegawai daerah, Encik Kelly Davis.

Di New York, Datuk Bandar Michael Bloomberg memberitahu para penduduk bahawa bangunan pencakar langit di bandar itu selamat didiami semasa taufan.

'(Namun), jika anda mempunyai sebuah kereta dan kini ia diletakkan di kawasan rendah, alihkan kereta itu ke kawasan bukit,' kata Encik Bloomberg.

Di New Jersey, sekitar 750,000 penduduk telah diarah berpindah dari kawasan pedalaman, Cape May. -- AFP.


2 ulasan:

Beruk Ketawa berkata...

Aku teringat filem 'The Day after Tomorrow'

Bagaimana angin kencang dan air laut naik melanda bandar ini dengan begitu dahsyat.

Nanti Putra Jaya pun nak istihar darurat juga. Bila nampak dah nak kalah PRU13...kah kah kah..kah kah

Tanpa Nama berkata...

ingatkan iran serang amerika.
rupa-rupanya irene.
allah-hu-akbar.