27 Ogo 2011

Pendirian Harussani Bukti UMNO BN Lemah

Pendedahan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berhubung perpecahan Melayu disifatkan sebagai mempunyai asas dan keadaan itu akan terus berlaku sekiranya pentadbiran Najib tidak berusaha memperbaiki keadaan itu.

Ketua Penerangan Pas Perak, Ahmad Nuri Al-Amin berkata, tiga perkara asas yang dibangkitkan Harussani mengenai perpecahan orang Melayu perlu menjadi intipati rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

Dalam Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti kelmarin, Harussani berkata, perpecahan Melayu yang berlaku disebabkan pentadbiran negara yang cukup lemah, rasuah dan tidak amanah.

Harussani juga berkata, orang Melayu berpecah selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.

“Kenyataan tersebut sewajarnya perlu dijadikan intipati dan teras pertimbangan rakyat dalam memilih pemimpin yang benar-benar layak untuk memelihara amanah rakyat dalam ruang dan peluang yang ada semasa pilihan raya umum ke-13.

“Peringatan itu jelas membawa mesej agar jika pemimpin yang lemah, tidak amanah dan rasuah masih dipilih untuk memerintah maka ia akan hanya menjadikan bangsa Melayu makin berpecah dan sentiasa mundur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Nuri berkata, merujuk pula kepada kes penyelewengan yang berlaku di Perak gejala rasuah dalam kepimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) tidak dapat dibendung lagi.

“Kenyataan Harussani bertepatan dengan apa yang telah didedahkan oleh PAS Perak sejak dari dulu lagi. Antaranya apa yang dinyatakan oleh Dewan Pemuda PAS Perak Februari lalu berkaitan seorang exco kerajaan negeri Perak yang telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Hal yang sama juga dapat diperhatikan dari pendedahan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak April lepas berkenaan satu dokumen membabitkan penyalahgunaan kuasa yang berunsur rasuah oleh seorang exco kerajaan negeri Perak,” katanya.

Tambah beliau, pendedahan penyelewengan yang berlaku di Perak membuktikan kesahihan kenyataan Harussani.

“Gambaran-gambaran ini jelas menunjukkan kesahihan kenyataan Tan Sri Harussani tentang kelemahan, pengkhianatan dan amalan rasuah kerajaan BN yang tidak mampu dibendung oleh ulama kerajaan dari terus berleluasa.

“Gejala rasuah ini masih menular di dalam BN yang memerintah termasuk di Perak. Kami yakin rakyat boleh menilai dan melihat sendiri sepertimana yang telah dinyatakan oleh Tan Sri Harussani,” katanya.


Harussani: Saya hanya nasihat Najib, tak dipengaruhi sesiapa

KUALA LUMPUR, 25 Ogos — Tan Sri Harussani Zakaria menjelaskan beliau hanya memberi nasihat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menyatukan kembali orang Melayu dan langkahnya itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk dari dalam Umno sendiri.

Mufti Perak ini berkata, teguran terhadap pentadbiran Najib berhubung perpecahan orang Melayu dibuat berdasarkan realiti dan persekitaran politik semasa.

“Saya hanya beri nasihat kepada Najib supaya perbetulkan semula perkara ini, sebab perpecahan Melayu memang berlaku sekarang.

“Kita mesti pertahankan bangsa kita dan Najib perlu cari jalan untuk satukan semula orang Melayu,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beberapa blog pro-Najib dan mesej-mesej menerusi Twitter mempersoalkan kenyataan terbuka beliau semalam. Ada yang mendakwa kenyataan beliau itu seolah-olah cenderung dan memihak kepada timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam komennya kepada The Malaysian Insider hari ini, Harussani (gambar) juga mengakui ada menerima teguran dan kritikan mengenai kenyataannya itu.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan pihak yang membuat teguran.

Apabila ditanya sama ada kenyataan beliau ada kaitan dengan Umno atau memihak Muhyiddin, Harussani berkata: “Itulah bila saya bercakap, orang hentam saya.”

“Perpecahan Melayu memang berlaku, anda sendiri boleh tengok sendiri. Saya tidak akan berhenti daripada memberikan nasihat kepada sesiapa termasuk perdana menteri, apa yang perlu saya akan sampaikan,” katanya.

Justeru jelas Harussani, beliau kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang bertindak menghentam apabila mengeluarkan kenyataan yang tidak menyokong kerajaan.

Semalam dalam Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti, Harussani berkata, perpecahan Melayu yang berlaku disebabkan pentadbiran negara yang cukup lemah, rasuah dan tidak amanah.

Harussani juga berkata, orang Melayu berpecah selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.

Ditanya kembali mengenai pendedahan itu, Harussani berkata perpecahan Melayu berlaku disebabkan tiga faktor itu.

“Najib tanya kepada saya mengapa jadi macam ini (perpecahan Melayu), saya kata ia berlaku sebab kerajaan sekarang cukup lemah, tidak amanah dan rasuah.

“Sebab itu saya minta Najib perbetulkan, cari jalan... bukan hanya Najib, kerajaan dan rakyat juga perlu cari jalan untuk bersatu,” katanya.

Justeru beliau meminta Najib supaya mencari jalan untuk menyatukan semula perpaduan orang Melayu yang semakin parah.

Tegas Harussani, perpecahan Melayu yang berlaku sejak sekian lama berpunca dari pentadbiran negara yang lemah selain terlalu banyak penyelewengan yang berlaku.

Justeru beliau menasihatkan Presiden Umno itu agar melaksanakan pentadbiran negara mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan jadi lemah kerana tak jaga Perlembagaan Persekutuan dengan betul, kalau jaga insya-Allah rakyat akan jadi kuat.

“Kerajaan yang lemah, tidak jujur berlaku sebab tidak ikut Perlembagaan dan rasuah itu kita tak perlu sebutlah, dari dulu heboh orang kata... perlembagaan ada tapi kerajaan tak laksanakan dengan betul,”
katanya kepada The Malaysian Insider.

Kata beliau, sekiranya pentadbiran Najib melaksanakan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan orang Melayu akan kembali bersatu.

“Kalau ikut Perlembagaan, orang Melayu tidak akan berpecah, keistimewaan Perlembagaan perlu dijaga.

“Jadi Najib kena fikirkan jalan untuk satukan semula orang Melayu, kalau orang India, orang Cina boleh bersatu, mengapa tidak orang Melayu,” katanya.

Sebelum ini isu perpecahan Melayu acap kali dibangkitkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu termasuk Perkasa yang diketuai Datuk Ibrahim Ali. -TMI




4 ulasan:

Awanama berkata...

harusani kata dia tak berpolitik betoika....? maknanya dia tak pernah buang undilah?
kalau dia pun pi buang undi maknanya dia muhongla....kalau dia undi umno/bn maknanya diapenyokong umno/bn kalau undi pas/pr maknanya dia penyokong pas/pr kalau dia tak pi buang undi bermakna memang dia orang tak berpolitik ketika itu apa yang dia cakap memang benar2ikhlas kalau sebaliknya apa yg dia cakap semuanya auta maka jadilah ia mokhti pak belalang.

Awanama berkata...

berpolitik tu maksudnya memperjuangkan agenda sesuatu parti atau agenda dari mana2 pihak. yg buang undi tu mmg tanggungjawab semua rakyat kan...kalau x buang undi,sapa yg nk pilih pemimpin. make sure ada ilmu baru ckp bro.ubah sikit mentaliti

Awanama berkata...

orang yg membuang undi misti ada agenda politiknya sendiri kalau nak pilih pemimpin tak payah pidok buang undi waktu pilhanraya, suasana demokerasi malaysia bila nak pilih pemimpin kalau umno orang panggil mesuarat agong kalau pas orang panggil muktamar dalam mesuarat agong/muktamar itulah orang pilih pemimpin waktu piliharaya orang pilih parti bukan pemimpin.

1 Malaysia berkata...

Apa nak diharapkan daripada Najib? Umpama Harapkan Pagar, Pagar yang makan padi. Nak suruh Najib perbaiki situasi sekarang yang korup ibarat TIKUS MEMBAIKI LABU.
Sepatutnya MUFTI ni cadangkan orang Melayu lain yang mengambil alih pemerintahan dan bukan oleh UMNO-APCO. Depa tu tak akan berubah sebab depa tu tak mahu dan tak boleh berubah. Bayangkan dalam darah daging depa tu penuh dengan makanan yang haram. Kalau berhajat besar atau kecil sampai kiamat pun, belum tentu dapat bersihkannya. KECUALIlah depa tu bertaubat dan kembalikan semua hak yang depa 'curi' dari rakyat Malaysia.
Hairanlah kenapa Mufti ni tak mahu sokong PAS khasnya, PR amnya dalam pengambilalihan kerajaan pusat???? Hairan ya???? Tak kan darah MELAYU dalam dirinya lebih pekat dari darah ISLAMnya???? Ini mufti tau, bukannya juru jual kereta atau air di tepi jalan atau tukang sapu atau ....... yang tak boleh keluar fatwa......
Nasihatnya kepada Najib ibarat tuang air ke daun keladi ...