19 Jul 2011

Status Negara Bertukar Dari Negara Demokrasi Kepada Negara Polis

Dakwaan bahawa Malaysia sebuah negara bebas berlandaskan prinsip demokrasi hanya kenyataan palsu Perdana Menteri, menurut Naib Presiden PKR, N. Surendran.

Justeru jelas beliau, tindakan Datuk Seri Najib Razak mencanang nama Malaysia kepada pelabur asing bagi menaruh keyakinan kepada amalan demokrasi harus dihentikan kerana perkara itu ternyata meleset.

Dalam kenyataan medianya, Surendran mengecam kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) yang menyalahgunakan kuasa polis sebagai alat politik bagi menutup suara pembangkang dan masyarakat umum.

Beliau menyatakan kebimbangan terhadap status negara demokrasi yang bertukar menjadi "negara polis" sejak perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara 9 Julai lalu apabila agensi itu dilihat menutup kesemua pintu rundingan dengan pihak bukan pro-kerajaan.

Ini termasuk menyekat kebebasan berhimpun dan ceramah anjuran Pakatan Rakyat dan badan-badan bukan kerajaan seperti yang berlaku di Taman Impian, Kuantan Sabtu lalu.

Katanya, program ceramah yang dijadualkan berlangsung itu dicemari dengan kehadiran hampir 50 anggota serta kenderaan polis bertujuan menghalang rakyat setempat untuk menghadiri sesi penerangan itu.

Malah menurut Surendran, polis mengugut beliau agar tidak mempertikaikan tindakan polis menghalang orang ramai untuk hadir ke kawasan berhimpun sambil mengenepikan hak demokrasi yang cuba diketengahkan beliau.

"Demokrasi? Jadi? You jangan cari pasal," ungkapan tersebut dikeluarkan oleh pemangku OCPD Kuantan apabila Surendran cuba untuk berbincang tanpa memberi sebarang sebab munasabah mengapa rakyat dihalang menghadiri ceramah tersebut.

"Oleh itu kita menggesa agar kerajaan Barisan Nasional menghentikan salahguna kuasa polis untuk tujuan politik, menghentikan dakwaan berterusan, membebaskan enam tahanan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan memulihkan kebebasan demokrasi rakyat," kata beliau.

Surendran kemudian menyifatkan tindakan melampau polis menyekat kebebasan awam merupakan kegagalan pentadbiran baik oleh kerajan serta penafian kedaulatan undang-undang. - tvsnews



Tiada ulasan: