19 Jul 2011

Dr Lo’ Lo’: ‘Kenang Daku Dalam Doamu’, 3 MP S'ngor Ambil Tugas Dr. Lo' Lo'

Kuala Lumpur: Anak kedua Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, Muhd Fawwaz Aminuddin mendedahkan arwah ibunya menderita kanser paru-paru sejak tiga tahun lalu.

Muhd Fawwaz, 28, berkata selepas mula dikesan pada Ogos 2009, ibunya menjalani pembedahan dan rawatan kimoterapi namun kesihatannya semakin merosot sejak tahun lepas.

“Pada malam-malam terakhir pemergiannya beliau dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana diberi ubat dan kami sekeluarga tetap setia disisi arwah sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 10.20 malam tadi.

“Antara wasiat terakhirnya kepada kami adalah beliau mahu dirinya sentiasa dikenang dan diingati atas jasa dan bakti khidmat yang telah diberikan,” katanya kepada FMT selepas selesai urusan pengebumian.

Selain Muhd Fawwaz, Dr Lo’ Lo’ turut meninggalkan dua anak perempuan iaitu Mawaddah, 30, Sakinah,26, dan anak bongsu Muhd Farhan, 25.

Sementara itu, kakak Dr Lo’ Lo’, Thuraiyen Nadzrah Mohd Ghazali, 60, ketika ditemui berkata adiknya yang juga anak keempat daripada lapan adik beradik itu dimasukkan ke Hospital Selayang sejak dua minggu lalu.

“Beliau telah lama menderita namun Allah memberinya kekuatan yang luar biasa untuk terus berjuang dan berkhidmat kepada rakyat…..mudah-mudahan Allah merahmati perjuangannya,” katanya.

Allahyarham mahu perjuangan diteruskan

Ditanya tentang amanat terakhir, Thuraiyen berkata adiknya mahu perjuangan diteruskan untuk semua dan tidak mahu terhenti begitu saja hanya kerana ketiadaannya.

FMT turut mendapatkan reaksi daripada beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional:

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang: “Alhamdulillah, beliau telah melaksanakan khidmatnya kepada rakyat dan parti dengan sebaik-baiknya.

Beliau aktif memainkan peranan dalam Parlimen. Beliau merupakan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS dan banyak buat kebajikan di seluruh negara.

Hakikatnya, beliau telah pun berjaya menyambung perjuangan ayahnya Datuk Mohd Ghazali Abdullah, Pengerusi Muzakarah Ulama yang menubuhkan PAS pada tahun 1951.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim: “Arwah seorang yang bersuara lantang terutamanya dalam memperjuangkan isu Kampung Baru. Saya sudah kenalnya lama sejak zaman Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), pemergiannya satu kehilangan besar. Takziah buat keluarga”.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil:

“Saya mewakili Wanita Barisan Nasional menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga.

“Walaupun berbeza fahaman politik, sebagai umat Islam ada masa berpolitik dan ada masa ketepikannya, saya tak bawa politik dalam segenap ruang hidup. Arwah pemimpin wanita yang berbakti kepada parti dan negara dalam caranya sendiri”.

Gugurnya sebutir permata

Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin: “Hari ini adalah hari yang sangat mendukacitakan kerana kita kehilangan satu permata.

“Beliau ahli parlimen yang cukup bijak berbahas terutamanya isu menentang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru untuk membela supaya tanah rakyat tidak tergadai.

“Kami daripada PAS akan teruskan perjuangan beliau dan meminta penduduk Kampung Baru dan Dato’ Keramat terus menyokong Pakatan Rakyat”.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad: “Dalam Dewan Rakyat, beliau duduk disebelah, saya mendapati apabila berhujah di Parlimen cukup bernas dan sentiasa bersedia walau diasak dengan pelbagai soalan.

“Sepanjang mengenalinya, beliau tetap gigih turun padang walaupun sakit. Hari ini merupakan hari yang cukup sedih kerana masih ada lagi agendayang belum dapat beliau sempurnakan. Kita akan teruskan perjuangannya.

“Semoga beliau diletakkan dalam golongan beriman. Insya’Allah patah tumbuh hilang berganti. Harap penduduk Titiwangsa terus menyokong Pakatan Rakyat”. -FMT


MP PAS S’gor ambil alih tugas Dr Lo’ Lo’

PETALING JAYA: Tiga Ahli Parlimen PAS Selangor akan mengambil alih tugas untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan Titiwangsa ekoran pemergian ahli parlimennya, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali ke rahmatullah malam tadi.

Mereka ialah Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Dr Mariah Mahmud (Kota Raja).

Perkara ini dinyatakan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika ditanya mengenai siapakah di kalangan ahli Parlimen yang akan mengambil alih tugas Allahyarham Dr Lo’Lo’ yang meninggal dunia kira-kira jam 10.25 malam tadi akibat penyakit barah.

“Mereka akan memikul tanggung jawab itu sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada PRU 2008, beliau mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Aziz Jamaluddin Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Salahuddin menambah, bagaimanapun, PAS Kawasan Titiwangsa akan menjalankan tugas memantau parlimen berkenaan seperti aduan daripada para penduduk setempat.

Dalam perkembangan lain, PAS belum menetapkan sama ada akan terus memilih calon wanita untuk parlimen Titiwangsa dalam PRU ke 13.

“Terpulang kepada parti (PAS) untuk memilih calon wanita atau pun calon lelaki. Tetapi biasanya PAS akan meminta PAS kawasan untuk menamakan calon yang paling sesuai untuk kawasan mereka,” tambahnya.

Sementara itu, seorang pemimpin PAS Titiwangsa memberitahu, kematian Dr Lo’Lo’ merupakan satu kehilangan besar bagi penduduk Titiwangsa.

Menurutnya, Dr Lo’ Lo’ bekerja kuat siang malam untuk memastikan kawasan jagaannya terbela dan menikmati pembangunan yang sewajarnya.

“Jasa paling besar tentulah mengenai pembangunan Kampung Baru iaitu memastikan pemilik tanah mendapat pembelaan dari percubaan manipulasi pihak tertentu,” katanya yang enggan namanya disiarkan. -FMT


Tiada ulasan: