19 Jul 2011

Sharpshooter Diarah Bayar RM400,000 Kerana Copy Paste Artikel Harakahdaily

Penulis blog Amizudin diarah bayar Rais RM400,000

KUALA LUMPUR, 19 Julai — Mahkamah Tinggi memerintahkan penulis blog Amizudin Ahmat (gambar) membayar RM300,000 sebagai ganti rugi kepada Datuk Seri Dr Rais Yatim atas tuduhan fitnah berhubung satu artikel berkaitan dakwaan merogol terhadap menteri berkenaan.

Selain itu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datin Zabariah Mohd Yusof turut mengarahkan pemblog tersebut membuat bayaran kos sebanyak RM100,000 kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu.

Pada 31 Januari lalu, Rais memfailkan saman fitnah terhadap Amizudin, yang juga anggota jawatankuasa sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat, berhubung makalah berkenaan yang tersiar dalam blog penulis itu berserta foto Rais pada atau kira-kira pada 28 Disember lalu.

Tulisan itu disiarkan dalam laman sharpshooterblogger.blogspot.com.

Dalam saman yang difailkan melalui Tetuan Shafee & Co, Rais menuntut ganti rugi umum, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi punitif, faedah dan injunksi terhadap defendan supaya membuang dan menghalang defendan daripada terus menyiarkan makalah berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Rais, 69, berkata kesemua perkataan dalam makalah itu berniat jahat dan berbaur fitnah terhadap beliau.

Menteri itu berkata perkataan dalam makalah itu bermaksud dan/atau boleh difahamkan bermaksud bahawa beliau melakukan satu kesalahan serius iaitu merogol dan berkemampuan membunuh pembantu rumahnya yang berasal dari Indonesia.

Dalam pernyataan tuntutan berkenaan, Rais berkata perkataan yang berbaur fitnah itu juga bermaksud beliau seorang manusia dan/atau pemimpin yang tidak bermoral.

Kata Rais, berikutan penyiaran makalah itu, nama baik beliau secara peribadi dan/atau secara profesional telah tercemar teruk di peringkat nasional dan/atau antarabangsa, daripada segi ketokohan dan kredit, dan telah diseretkan ke dalam skandal, kebencian dan kehinaan di mata umum serta mengalami keaiban, tekanan dan kerugian.

Akhir tahun lalu, Rais yang juga Ahli Parlimen Jelebu, menafikan tuduhan itu bulan lalu selepas nama beliau disebut oleh seorang Amizudin.

Selepas itu, seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah beliau selama lapan tahun dilaporkan sebuah portal berita Indonesia menafikan yang dia pernah dilayan secara kejam atau dirogol oleh majikannya.

Berita sebelumnya


Pemimpin PKR bersalah memfitnah Rais Yatim melalui blog

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pada Isnin memenangi saman fitnah beliau terhadap seorang penulis blog berhubung artikel yang memfitnahnya yang dipaparkan dalam satu blog.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof memutuskan penulis blog Amizudin Ahmat, 42, didapati bersalah bagi memfitnah.

"Selepas mendengar keterangan dan hujahan daripada peguam yang mewakili plaintif dan defendan, saya tidak mempunyai pilihan selain mendapati defendan bersalah melakukan fitnah," katanya.

Hakim Zabariah menetapkan Selasa untuk mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak berhubung nilai ganti rugi.

Pada 31 Jan, Rais memfailkan saman terhadap Amizudin, yang juga anggota jawatankuasa sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), berhubung artikel yang diterbitkan dalam blog Amizudin, sharpshooterblogger.blogspot.com. beserta dengan gambar Rais, pada atau sekitar 28 Dis tahun lepas.

Bernama melaporkan, Rais, 69, dalam pernyataan tuntutannya berkata seluruh artikel dalam bahasa Malaysia itu adalah berniat jahat dan memfitnahnya dan perkataan dalam artikel itu bermaksud dan/atau difahamkan membawa maksud yang beliau bersalah melakukan kesalahan serius iaitu merogol dan mampu membunuh pembantu rumahnya dari Indonesia.

Rais, yang juga anggota Parlimen kawasan Jelebu di Negeri Sembilan, menafikan tuduhan itu selepas penulis blog itu menamakannya.

Susulan itu, seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah selama lapan tahun dengan Rais dilaporkan oleh portal berita Indonesia telah menafikan yang dirinya diberi layanan buruk atau dirogol oleh majikannya.

Selepas keputusan itu, Rais yang hadir bersama isterinya Datin Seri Masnah Rais, memberitahu pemberita bahawa beliau sentiasa mempunyai sepenuh keyakinan terhadap sistem kehakiman negara.

Rais berkata beliau telah membawa kes itu ke mahkamah bagi membersihkan namanya, keluarganya dan juga reputasi kerajaan.

Rais berkata pembelaan defendan (Amizudin) bahawa beliau menerbitkan artikel itu berdasarkan justifikasi adalah tidak berhasil dan ia mengandungi natijah-natijah politik semata-mata.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada isterinya dan keluarganya yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.

Selepas Amizudin selesai memberikan keterangannya di mahkamah tengah hari tadi, Masnah dilihat memberikan ciuman di pipi Rais.

Pada prosiding Isnin, hanya Amizudin yang dipanggil sebagai saksi defendan manakala Rais tidak dipanggil memberi keterangan kerana pada prosiding yang lepas semasa pengurusan kes kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mempertikaikan bahawa artikel itu telah diterbitkan, bahawa perkataan itu adalah menfitnah Rais dan perkataan itu merujuk kepada Rais.

Oleh itu mahkamah meneruskan perbicaraan dengan mendengar pembelaan justifikasi oleh Amizudin.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Rais, Amizudin berkata sebelum menerbitkan artikel itu dalam blognya, beliau tidak membuat pengesahan tentang kebenaran artikel itu dengan Rais atau isterinya Masnah dan juga dengan bekas pembantu rumah Rais.

Muhammad Shafee : Sebagai penulis blog dan ahli politik yang bertanggungjawab, sebelum menerbitkan sebarang artikel yang menuduh orang lain melakukan sesuatu perkara, anda mesti siasat bukan. Tapi dalam kes ini sebelum anda terbit artikel itu, anda langsung tidak siasat perkara itu sehingga ke akar umbi untuk pastikan perkara itu benar?

Amizudin: Betul.

Bagaimanapun, beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau telah pergi ke Jakarta, Indonesia pada 18, 19 dan 20 Mei untuk mencari saksi selepas lima bulan beliau disaman oleh Rais.

Muhammad Shafee: Anda terbitkan artikel itu dahulu, baru nak buat siasatan?

Amizudin : Ya, betul, saya pergi ke Jakarta selepas saya kena saman.

Muhammad Shafee : Selepas anda kena saman baru pergi ke Jakarta, cari saksi.

Amizudin :Ya.

Kepada soalan Muhammad Shafee, bagaimana beliau boleh mengesahkan berita yang diterbitkan itu benar, Amizudin berkata beliau telah bertemu dengan Indah Utami, penulis laporan siasatan yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan Indonesia, Migrant Care, yang menjaga kebajikan pekerja Indonesia di luar negara, yang telah menemu bual pembantu rumah itu.

Bagaimanapun, beliau gagal bertemu dengan pembantu rumah itu kerana tidak berjumpa rumahnya.

Katanya beliau pergi ke Jakarta bersama rakannya yang dikenali sebagai Cikgu Bad iaitu anggota PKR daerah Rembau atau nama penuhnya Badrulhisham Shaari dan seorang lagi yang beliau tidak ingat namanya.

Ditanya Muhammad Shafee adakah Cikgu Bad, boleh dikatakan sebagai musuh politik Rais, Amizudin berkata beliau tidak tahu, tetapi boleh dikatakan bukan kawan.

Beliau memberitahu bahawa artikel itu yang diterbitkan dalam laman blognya adalah "copy and paste" daripada artikel yang disiarkan dalam Harakah Daily berdasarkan siaran akhbar yang dibuat oleh Migrant Care pada 1 Ogos 2007.

Semasa pemeriksaan utama oleh peguam yang mewakilinya, Puspawati Rosman, Amizudin berkata beliau percaya artikel yang diterbitkan itu benar kerana dalam laporan siasatan oleh Migrant Care, nama Rais disebut sebagai bekas majikan pembantu rumah itu.

Apabila ditanya adakah wakil Migrant Care dan mangsa akan hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangan, beliau berkata bahawa mereka khuatir untuk datang ke negara ini untuk memberikan keterangan.-4/7/2011


Ulasan GB

Kita hairan kenapa Rais ambil tindakan terhadap blogger Amizudin yang hanya mengulangsiar artikel dari sumber lain.

Itu yang pertama. Yang kedua bagaimana pula dengan pihak luar seperti "Migrant Care" yang masih berpendirian tegas dengan tuduhan rogol Rais ke atas amah Indonesia tersebut?

Tidak mengapa. Mungkin hari ini hari Rais. Esok belum tentu harinya. Tak begitu?

Dan jangan lupa ada mahkamah Allah Yang Maha Adil...

8 ulasan:

Ah Tie berkata...

itulah risiko menjadi seorang blogger....mmg mata pena itu beracun yg bukan sahaja boleh membunuh musuh tetapi juga boleh membinasakan diri.

Ingatlah tulisan dan cerita kita sebagai blogger juga akan dihisab di akhirat kelak kerana penfitnah melalui tulisan ini lagi bahaya juga azabnya.

Tulislah kerana Allah swt dengan niat memberi ilmu dan menyampaikan amalan baik terutama yg diwasiatkan rasulullah kp semua umatnya diatas mukan bumi ini.

gathort berkata...

sapa betul sapa salah kita tunggu akhirat

SENSASI LAGI BERAPI!!:
MAKCIK HINA ISLAM!!
MAYA KARIN SUDAH TIADA DARA??

awang sayang berkata...

kalau tk der 4 saksi knapa nk tuduh org??? sendiri mau ingat maa

Tanpa Nama berkata...

kalau kena kat batang hidung dia bukan main lagi melenting...
kalau blogger umno yang fitnah pemimpin PR lawan kat mahkamah jgn harap la bole menang...

Tanpa Nama berkata...

Yang merogol amah tak ada apa-apa, yang membawa berita itu disabit kesalahan. Ini betul-betul "Jungle Law".

Tanpa Nama berkata...

Bantulah dia atas dasar ukuwah,
selebihnya jadikan pengajaran...
derma seorang seringgit.........
apa nak buat.
angin x de tapi ,pokok dah bergoyang.

Tanpa Nama berkata...

kesian sharpshooter ni, kenapa la tak pakai loyar ganas sket? loyar si rais tu, si sapii tu memang terlalu licik...memang la masak kau kalau loyar kau tak cukup ilmu...Puspawati Rosman? kesian kau Amizudin, mintak lah Harakah tolong cover sikit sebab original artikel pun dari diorang...

Tanpa Nama berkata...

Sapa2 tubuhkan la tabung bantu blogger ni. Mamat ni bukannya blogger BN yg dibayar beribu2 sebln.
Kalau nak bantu, kita sumbang la sikit2. Dia pun tentu menulis berdasarkan apa yg dirasakannya betul berpandukan fakta ASAL. Ngkorang kena ingat FAKTA ASAL kes ini. Maid tu sendiri mengaku, tak tau la pulak aku kalau maid tu mengaku coz nak dptkan duit jer atau ada perancangan sendiri.
Patut2nya, blogger tu bawa sekali maid tu...suruh dier cerita sebnar2nya.
Tapi...ni Malaysiakan. Yang benar pun belum tentu benar, yang salah pun belum tentu salah.
GATHORT, aku setuju dgn ngko.