19 Jul 2011

Pemimpin PR Pulau Pinang Perlu Sentiasa Berwaspada

Pemimpin Pakatan Rakyat berkeyakinan dapat mengekal kerajaan negeri dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata beberapa ahli Parlimen negeri itu hari ini.

Bagaimanapun, menurut mereka kerajaan negeri perlu berwaspada dengan ancaman Barisan Nasional (BN) khususnya Umno untuk merampas negeri itu.

Ahli Parlimen PAS Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sokongan semasa pengundi Melayu masih memihak kepada PAS.

“Tetapi saya mengingatkan supaya kita jangan leka dan berfikir bahawa Umno dan BN tidak boleh merampas Pulau Pinang,” kata beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

“Namun saya percaya rakyat Pulau Pinang secara keseluruhan gembira kerana sebahagian besar janji pilihan raya telah dapat ditunaikan,” katanya.

BN sudah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan merampas semula kerajaan negeri Pulau Pinang dalam PRU ke 13 kelak.

Bagi PKR, kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik kepada rakyat walaupun berdepan dengan pelbagai halangan yang dibuat oleh Umno negeri.

Oleh itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof menyifatkan hasrat BN merampas negeri Pulau Pinang dalam PRU akan datang sebagai mimpi di siang hari.

Propaganda dan fitnah

“BN hanya ada satu agenda di Pulau Pinang iaitu propaganda dan fitnah. Tetapi Pakatan Rakyat yang memerintah sejak tiga tahun lalu mempunyai agenda yang lebih baik dalam bidang ekonomi dan sosial.

“Dakyah bahawa hanya Umno yang menjadi juara Melayu hanya omong kosong dan tidak boleh dipakai,” katanya.

Mengenai gangguan yang dilakukan oleh kumpulan tertentu terhadap kerajaan negeri, Yusmadi berkata, ia hanya kumpulan nakal yang membuat propaganda tetapi tidak akan bertahan lama.

“Umpama bunyi petir yang kuat tetapi tidak ada hujan,” tambahnya.

Beberapa kumpulan terutama Umno dan Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang sering kali mendakwa kerajaan DAP meminggirkan orang Melayu.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Lim Guan Eng menafikan semua dakwaan tersebut.

Tiada ulasan: