1 Jun 2011

Ribut Melanda Muar, Lebih 30 Kediaman, Warung Rosak

Muar: Lebih 30 rumah rosak dengan sebahagian bumbung diterbangkan dalam kejadian ribut di beberapa taman perumahan di sekitar Jalan Bakri, dekat sini, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian ribut hampir sejam bermula kira-kira jam 5 pagi.

Kejadian itu juga menyebabkan dua pokok berusia puluhan tahun sebesar lebih sepemeluk tumbang dan hampir terkena d

Antara kawasan teruk dilanda ribut termasuk Taman Jaya, Taman Jeram Mulia, Taman Meranti dan Kampung Jeram Tepi yang menyebabkan kebanyakan bumbung rumah rosak akibat diterbangkan ribut.

Mangsa, Zainun Salamon, 59, menyifatkan kejadian ribut itu sebagai peristiwa menakutkan apabila beliau terperangkap dalam biliknya hampir setengah jam selepas gagal membuka pintu akibat angin yang kuat.

"Saya cuba berulang kali membuka pintu bilik saya tetapi angin yang kuat menolak sehingga menyebabkan saya hanya mampu tersandar di pintu bilik dan menunggu kira-kira setengah jam sebelum pintu boleh dibuka," katanya.

Katanya, kejadian ribut berlaku kira-kira jam 5 pagi itu menyebabkan sebahagian bumbung dapur rumahnya tercabut menyebabkan air hujan melimpah.

Beliau berkata, ribut yang kuat itu menyebabkan sebuah kontena diletakkan di kawasan lapang projek pembinaan bersebelahan rumahnya turut terangkat dan diseret kira-kira 50 meter sehingga hampir mengenai rumahnya.

Mariam Ali, 52, pula berkata kejadian ribut itu menyebabkan hampir keseluruhan warung buah dan orkid miliknya di tepi Jalan Bakri, rosak teruk dengan sebahagian besar bumbung tercabut.

Seorang penduduk Taman Meranti, Abdul Wahab Laiman, 46, berkata hujan lebat dan ribut itu menyebabkan bumbung rumahnya turut rosak diterbangkan angin. -BH

Tiada ulasan: