1 Jun 2011

Video Seks: Fitnah Punca Keruntuhan Kerajaan (UMNO BN)

Fitnah punca keruntuhan

SHAH ALAM - Penyebaran fitnah dalam dunia politik yang berselindung di sebalik nama agama boleh menjadi punca utama keruntuhan sesebuah kerajaan.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sejarah lampau perlu dijadikan pedoman apabila banyak tamadun Islam musnah akibat salah guna agama dalam berpolitik seperti yang berlaku pada zaman Khalifah Usman bin Affan.

“Khalifah Usman sendiri jatuh dari tampuk pemerintahan kerana fitnah apabila beliau dituduh tidak telus dalam pelantikan pegawai kerajaan,” katanya.

Menurutnya, penggunaan fitnah sebagai senjata politik dapat dilihat di Malaysia di mana golongan politik sejak dahulu lagi kerap menyalahgunakan agama untuk menarik sokongan orang ramai.

“Orang politik sedar agama yang menjadi tunjang kehidupan rakyat boleh digunakan untuk mempengaruhi orang ramai bagi mencapai kepentingan politik sesebuah parti itu.

“Jika kita lihat, banyak ulama kini mengeluarkan dalil berbeza mengikut isu berkaitan pemilihan politik mereka sendiri. Ini tidak betul,” katanya semasa wacana anjuran Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Asri, agama boleh menjadi madu dan penawar bagi menghentikan semua kepincangan dalam politik tetapi ia juga boleh menjadi racun dan menyebabkan kacau-bilau jika disalahgunakan.

“Manusia melakukan fitnah kerana ingin bersaing dan mahu mewujudkan pengaruh. Golongan yang mempunyai kuasa pula ingin terus kekal di atas dan menggunakan fitnah untuk menumpaskan pesaing mereka.

“Sebab itu, agama perlu berada di atas politik dan bukan parti politik yang mengarah golongan ulama supaya mengeluarkan fatwa yang sesuai dengan kehendak mereka,” katanya lagi diikuti dengan tepukan gemuruh hadirin. -SH


Video: Pemuda PAS-Umno sepakat tolak fitnah


Pemuda PAS dan Umno serta ahli agama hari ini menegaskan menolak budaya fitnah, termasuk dalam isu video seks yang didakwa mirip Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berkongsi pentas dalam forum antifitnah di Shah Alam hari ini, mereka mengulangi desakan supaya pihak yang menayangkan video tersebut dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Mengulas perkara itu, Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin yang juga ahli parlimen Rembau berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan mengaibkan mana-mana ahli politik.

"Saya rasa kita setuju tidak mahu aibkan mana-mana orang. Itu penting dalam mana-mana politik, khususnya dalam negara Islam. Kita perlu ada peradaban," katanya.

Forum berjudul "Fitnah: Ancaman Umat Akhir Zaman" anjuran akhbar Sinar Harian itu dihadiri kira-kira 500 orang.

Mengulas perkara yang sama, Nasrudin mengulangi pendirian PAS bahawa berdasarkan peraturan Islam pihak yang menuduh sesorang itu berzina mestilah mengemukakan empat orang saksi.

"Mengikut kaedah Islam, salah membebaskan orang yang silap lebih baik daripada menjatuhkan hukuman orang yang tidak bersalah... Hikmahnya, kerana untuk memelihara maruah orang," katanya.

'Betul, salah isu kedua'

Sementara bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin membidas golongan agamawan daripada Umno dan PAS yang didakwanya gemar menggunakan masalah peribadi seseorang sebagai modal politik mereka.

Tokoh agama muda itu berkata, beliau tidak dapat menerima keadaan tersebut sehingga menyebabkan rakyat lupa kepada isu-isu yang lain.

"Kita suka menggunakan kelemahan peribadi orang lain untuk diangkat menjadi isu politik. Bukan sahaja isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu (pembunuhan) Altantuya (Shaariibu), dan berbagai isu sebelum ini.

"Dan adalah tidak betul bagi orang agama, (keadaan) yang tidak berpihak kepadanya, dia keluarkan dalil, kata tak boleh digunakan kerana Al-Quran cakap. (Apabila) kena kepada orang lain diamkan dalil. Maka itu tidak boleh.

"Kita kena konsisten, PAS atau Umno mesti sentiasa adil dalam hal ini tidak boleh keluarkan keaiban dijadikan sebagai bahan politik disebar secara meluas. Tidak PAS, tidak Umno, secara adil," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Berhubung isu video seks tersebut, beliau menegaskan bahawa beliau antara tokoh yang awal tidak bersetuju dengan pendedahan keaiban individu termasuk menjadikan ia sebagai modal politik.

"(Ia) budaya fitnah, saya kata tidak bersetuju dengan perkara yang membabitkan penyebaran (video itu) dan masuk dalam akhbar. Betul atau salah isu kedua," katanya. -mk

Tiada ulasan: