9 Jun 2011

Lelaki Ditahan Berhubung Kejadian Kuda Rempuh Kanak-kanak Di Batu Feringghi

George Town - Polis menahan seorang suspek yang dipercayai menunggang kuda dan merempuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di pantai Batu Feringghi di sini Selasa.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata lelaki tersebut berusia 28 tahun dan berasal dari Kedah yang berkerja di kawasan pantai berkenaan, ditahan pada hari kejadian.

"Hasil ujian air kencing yang dibuat ke atas suspek telah mendapati dia positif dadah jenis morfin. Dia kini dalam tahanan polis," katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak tersebut Arina Kirana Azrin di Hospital Pulau Pinang Rabu.

Polis telah mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman suspek sehingga 11 Jun ini bagi membantu siasatan.

Ayub berkata hasil siasatan awal turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes pecah rumah dan jenayah berkaitan dadah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Arina Kirana patah bahu kiri dan cedera di paha kanan akibat dirempuh ketika dia sedang bermain dengan kakaknya yang berusia 12 tahun di belakang sebuah hotel.

Kakaknya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ayub berkata kes itu akan disiasat menurut Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Bapa mangsa Azrin Abdul Razak, 37, berkata sekiranya anaknya dibenarkan keluar daripada hospital petang ini, mereka sekeluarga akan terus pulang ke Kuala Lumpur. -- BERNAMA




Tiada ulasan: