9 Jun 2011

Waspada: Semak Label Alat Permainan Untuk Anak - Fomca

Ibu bapa disaran lebih peka terhadap tahap keselamatan alat permainan kanak-kanak dengan menyemak tanda "MC" (Malaysian Conformity) dan label peringkat umur pada barangan itu sebelum membelinya.

Bendahari Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata selain perlunya meneliti tahap keselamatan alat permainan, ibu bapa juga perlu bijak memilih alat permainan yang sesuai untuk anak mereka mengikut kesesuaian peringkat umur.

"Alat permainan ini sebenarnya satu medium yang dapat membantu ke arah tumbesaran yang lebih seimbang bagi kanak-kanak dan menjana daya imaginasi tetapi jika tersalah beli, contohnya senapang untuk kanak-kanak berusia tiga tahun, kita bimbang ia boleh mendatangkan risiko kecederaan.

"Anak-anak pada tahap itu tidak ada rangsangan untuk mengetahui tahap bahaya sesuatu alat permainan dan di sinilah peranan ibu bapa diperlukan untuk menentukan supaya alat permainan yang dibeli itu selamat digunakan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Isu keselamatan alat permainan kanak-kanak mendapat perhatian kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang telah mengeluarkan satu garis panduan standard keselamatan bagi alat permainan kanak-kanak.

Berkuatkuasa Februari lepas, semua alat permainan kanak-kanak sama ada buatan tempatan mahu pun yang diimport, diwajibkan mempunyai tanda "MC" sebagai bukti telah mematuhi garis panduan yang dikeluarkan kementerian itu.

Sirim Qas International Sdn Bhd adalah agensi yang bertanggungjawab menilai daripada segi pematuhan standard keselamatan bagi alat permainan kanak-kanak yang dikemukakan pihak industri sebelum laporan penilaian dihantar ke kementerian itu untuk tindakan selanjutnya.

Mohd Yusof berharap kempen kesedaran terhadap keselamatan alat permainan diperluaskan sama ada menerusi risalah atau pun media. -- BERNAMA

Tiada ulasan: