9 Jun 2011

Harga Jualan Hartanah Khir Toyo RM6.5 Juta - Saksi

Shah Alam: Perbicaraan kes Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo bermula Rabu dengan pemilik asal dua tanah lot di Seksyen 7, di sini memberitahu, tanah tersebut dijual pada harga RM6.5 juta.

Gambar: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo ditemani isteri, Zahrah Kechik meninggalkan Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas hakim mengekalkan pertuduhan memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah di Seksyen 7, Shah Alam secara salah di Shah Alam. - Foto THE STAR

Saksi pertama pendakwaan, Saiful Aznir Shahabudin yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Kebangsaan Berhad memberitahu, tanah itu dijual kepada Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni yang telah dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan Mohamad Khir.

Kata Saiful Aznir, 51, beliau pada mulanya berhasrat untuk menjual tanah tersebut harga RM7 juta.

"Saya mula bercadang untuk menjual tanah itu pada tahun 2004. Ini kerana saya mengambil hutang bank yang agak banyak, iaitu lebih kurang RM20,000 sebulan. Saya tidak mampu untuk tanggung lagi," katanya.

Kata Shaiful Aznir lagi, beliau telah meminta bantuan kawan-kawan dan bapanya untuk mencari pembeli hartanah tersebut.

Seterusnya, saksi memberitahu, kawan kepada bapanya yang bernama Datuk Sumadi Ismail telah membawa dua pembeli berpotensi iaitu Shamsuddin dan Mohamad Khir berjumpanya.

"Mohamad Khir datang melihat rumah saya bersama isterinya, Zahrah Kechik dan tanya harga. Mereka kata RM7 juta terlalu mahal," tambahnya.

Saksi seterusnya berkata, Shamsuddin juga ada datang ke rumah untuk berbincang dan beliau akhirnya bersetuju untuk menjual tanah seluas kira-kira 4,645 meter persegi pada harga yang lebih rendah.

Tanah tersebut yang mengandungi sebuah banglo berkeluasan 1,393 meter persegi, garaj yang boleh memuatkan empat buah kereta, kolam renang, kolam ikan dan lanskap dijual kepada Ditamas menerusi Shamsuddin pada 23 Disember 2004.

Pada keterangan lain, Shaiful Aznir mengakui dua tanah tersebut dibeli pada tahun 1995 dan 1996 pada harga RM1.3 juta.

Bagaimanapun, menjawab soalan peguam Mohamad Khir, M. Athimulan, saksi bersetuju bahawa berdasarkan surat pindah milik, tanah itu dijual pada harga RM5 juta.

"Saya tidak ingat siapa yang mencadangkan harga tersebut tetapi saya bersetuju dengannya," katanya dan menambah tidak dipaksa untuk menjual pada harga itu.

Beliau juga mengakui bahawa tidak mendapatkan sebarang khidmat untuk menilai harga pasaran hartanah tersebut

Mohamad Khir, 45, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 6 Disember tahun lalu atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -mstar


Saksi kelu, keliru

SHAH ALAM: Keadaan saksi pendakwaan yang seakan-akan kehilangan kata-kata menyebabkan perbicaraan kes dakwaan salah guna kuasa bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, terpaksa ditangguhkan kepada hari ini.

Saksi berkenaan, Pengarah Ditamas Sdn Bhd (Ditamas), Shamsuddin Hayroni dilihat seperti keliru dan tidak berupaya menjawab beberapa soalan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed.

Dia yang baru dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah daripada tuduhan bersubahat dengan Dr Mohamad Khir Isnin lalu juga seperti sukar meluahkan perkataan ketika memberi keterangan.

Situasi itu menyebabkan Hakim Datuk Mohtarudin Baki mencelah dan bertanyakan keadaan kesihatannya sebelum mahkamah membenarkan perbicaraan itu ditangguhkan hanya selepas setengah jam prosiding sebelah petang bermula.

Mengikut pertuduhan, Dr Mohamad Khir, 46, didakwa memperoleh dua lot tanah dan rumah di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, di sini, bagi diri dan isterinya, Zahrah Kecik, 46, Ia diperoleh daripada Shamsuddin, 52, yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Hartanah itu dibeli Dr Mohamad Khir pada harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, pada 29 Mei 2007.

Bagi pertuduhan itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Shamsuddin memberitahu mahkamah dia mengenali Dr Mohamad Khir ketika tertuduh Menteri Besar dalam mengendalikan urusan perniagaannya meliputi pembinaan dan pembangunan hartanah.

Beliau berkata, tugasnya sebagai ahli perniagaan menyebabkan dia berurusan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di mana Dr Mohamad Khir memiliki jawatan.

Menjawab soalan Abdul Wahab, Shamsuddin berkata, dia melawat dua lot tanah dan banglo Jalan Suasa 7/1L, namun mendapati harga ditawarkan pemiliknya terlalu mahal.

Pada prosiding semalam, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar.

Dr Mohamad Khir diwakili barisan peguam bela, M Athimulan, Adzly Ab Manas dan Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Isu berhubung rumah mewah milik Dr Mohamad Khir sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila Adun Sekincan, Ng Suee Lim mendakwa anggaran pembinaan kediaman itu melebihi kemampuan Menteri Besar yang berkhidmat lapan tahun.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Operasi Permodalan Kebangsaan Berhad, Saiful Aznir Shahabudin, 51, memberitahu mahkamah, beliau menjual dua lot tanah dan banglo di Seksyen 7 kepada Shamsuddin pada harga RM6.5 juta, dalam satu urusan jual beli pada akhir 2004. Saksi pendakwaan pertama itu berkata, pada asalnya dia mahu menjual hartanah itu pada harga RM7 juta.

Bagaimanapun, beliau menafikan menjual hartanah itu untuk membuat keuntungan.

“Saya banyak hutang bank, RM20,000 sebulan dan tidak mampu menanggungnya. Jadi saya buat keputusan untuk jual hartanah itu,” katanya.

Menurutnya, beliau membeli dua lot tanah itu pada 1995 dan 1996 pada harga sekitar RM1.3 juta, sebelum membina banglo di satu daripadanya.

Katanya, tanah 50,000 kaki persegi itu mengandungi banglo, garaj yang boleh memuatkan empat kereta, kolam renang, kolam ikan dan landskap pelbagai tumbuhan ketika dijual pada 23 Disember 2004. Saiful berkata sebelum hartanah itu dijual kepada Shamsuddin, Dr Mohamad Khir dan isterinya Zahrah melawat lot tanah dan banglo itu pada September atau Oktober 2004.

“Saya berbincang dengan Dr Mohamad Khir.

Dia hanya melihat sekeliling rumah antara 10 dan 15 minit saja. Dia tanya berapa saya mahu jual, saya kata RM7 juta. Dia kata terlalu mahal, lepas itu dia meninggalkan rumah saya,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohtarudin Baki bersambung hari ini. -hm


2 ulasan:

Awanama berkata...

Berapa gaji sebulan seorang menteri besar khususnya di selangor ?

Dan berapa lama seorang menteri besar boleh mengumpulkan duit sebanyak RM6.5 juta sehingga mampu membayar sesuatu dalam bentuk tunai?

Kalau Khir Toyo bekerja sebagai menteri besar disamping menjalankan tugas doktor gigi apakah beliau mampu mengumpulkan duit sebanyak itu dalam masa yang singkat ?

Kalau kita dapat singkirkan BN dari putrajaya, pastinya kita akan dapat dengar dan lihat lebih hebat dari cerita khir toyo ini.

Awanama berkata...

dua-dua muka jadi huduh dan pelik..naper yer?