28 Mei 2011

Rogol Pelajar Dalam Bas Sekolah - Pemandu Dihukum Penjara Dan Sebat


Melaka - Seorang pemandu bas sekolah dihukum penjara 14 tahun dan 14 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah merogol pelajar sekolah di dalam bas empat tahun lalu.

Hakim, Datuk Ahmadi Asnawi menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh Ibrahim Sali, 26 selepas meneliti hujah dan rayuan kedua-dua belah pihak semasa prosiding rayuan terhadap hukuman oleh pihak pendakwaan.

Ibrahim sebelum ini dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada Julai tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati merogol seorang pelajar sekolah berumur 13 tahun sembilan bulan di dalam sebuah bas sekolah di hadapan Taman Muhibbah, Merlimau kira-kira jam 3 petang pada bulan April 2007.

Peguam bela tertuduh ketika rayuan, memohon mahkamah mengekalkan hukuman sedia ada dengan alasan hukuman terhadap tertuduh yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen adalah memadai.

“Tertuduh ketika kejadian merupakan pesalah muda dan tiada unsur-unsur paksaan terhadap perlakuan yang dilakukan tertuduh dan mangsa. Oleh itu, hukuman tersebut memadai dengan kepentingan kepada tertuduh dan masyarakat sekeliling,” katanya.

Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin ketika pendakwaan berhujah mangsa dihantar ke sekolah dengan selamat dan sepatutnya juga dihantar balik ke rumah juga dengan selamat.

“Malah, mangsa tidak pernah tidak hadir ke mahkamah sepanjang perbicaraan berlangsung walaupun dia tidak dipanggil mahkamah dan ini jelas menunjukkan kesungguhan mangsa untuk mendapatkan keadilan bagi dirinya,” katanya.

Ahmadi kemudian menjatuhkan hukuman selepas mendengar rayuan pihak pembelaan dan hujah pihak pendakwaan dan mendapati hukuman penjara 14 tahun dan 14 sebatan yang dijatuhkannya adalah hukuman yang sewajarnya terhadap kesalahan yang dilakukan tertuduh. -SH

Tiada ulasan: