1 Mac 2011

Sogokan Mee Segera: Mengapa SPR Membisu?

Sebelum pergi kepada isu yang akan saya sentuh, mari kita imbas antara bajet yang diperuntukkan kerajaan Malaysia untuk pembangunan ekonomi negara meliputi perindustrian, pertanian dan infrastruktur sepanjang tempoh lebih separuh dekad ini.

Bajet 2005 antara lain menyebutkan sebanyak 49.1% peruntukan untuk pembangunan. Ini bererti sejumlah RM13.9 bilion telah disediakan bagi sektor ekonomi dalam menampung keperluan infrastruktur, pertanian dan perindustrian.

Dalam Bajet 2007 pula, kerajaan di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi telah memperuntukkan sebanyak RM3.4 billion untuk pembangunan luar Bandar antaranya melibatkan projek pembinaan jalan, bekalan air dan elektrik. Ia turut melibatkan perkembangan pendidikan pra-sekolah di bawah KEMAS, kegiatan masyarakat dan latihan kemahiran. Jumlah keseluruhan bajet 2007 yang diperuntukkan kepada sektor ekonomi melibatkan sektor pertanian, perindustrian dan infrastruktur ialah RM20.8 billion manakala bajet pada tahun 2008 pula adalah sebanyak RM20.6 billion diperuntukkan untuk sektor-sektor tersebut.

Manakala Bajet 2009 telah memperlihatkan peningkatan lebih RM7 billion. Secara keseluruhannya, bajet ini memperuntukkan RM27.8 billion untuk pembangunan sektor ekonomi yang merangkumi sektor pertanian, perindustrian dan infrastruktur.

Kerajaan dilihat terus memberi penekanan serius dalam mempertingkatkan pembangunan negara. Bajet 2010 telah memperlihatkan sejumlah RM25.4 billion diperuntukkan walaupun mencatatkan pengurangan lebih RM2 billion. Peruntukan-peruntukan kepada pembangunan ekonomi melibatkan infrastruktur dalam bajet yang dibentangkan memperlihatkan usaha kerajaan dalam memperbaiki taraf hidup dan ekonomi rakyat.

SPRM: Penubuhan yang sia-sia

Isu pada kali ini kita akan memberi fokus kepada beberapa perkara penting yang mungkin telah kita terlepas pandang dan lupakan. Isu ini adalah antara isu yang sangat penting dalam pembentukan sebuah negara yang berintegriti dan telus. Berintegriti dan telus boleh diertikan dengan keberkesanan urus tadbir dan bebas rasuah. Apa pula kaitan bajet-bajet berkenaan dengan isu integriti dan rasuah?

SPRM telah ditubuhkan sejak zaman Abdullah Ahmad Badawi untuk memerangi gejala rasuah secara lebih meluas dan bebas dalam mewujudkan urus tadbir yang telus dan berkesan. Apakah rakyat boleh katakan bahawa objektif SPRM tercapai sejak penubuhannya?

Melihat kepada siri-siri berita jam 8 di RTM1, semestinya kerajaan pimpinan Najib diperlihat sangat cakna terhadap masalah rakyat, berintegriti dan telus dalam menjalankan tanggungjawab termasuk memerangi rasuah. Soalan pertama saya; sejauh mana rakyat yakin kepada ketelusan dan integriti pentadbiran Najib? Teluskah pentadbiran Najib apabila indeks CPI Malaysia berada pada skor 4.4 di tangga ke-56 pada tahun 2010 berbanding tahun 2009 berada pada skor 4.5? Apakah ertinya semua ini?

Terus terang saya katakan bahawa usaha kerajaan dalam memerangi rasuah tidak akan mencapai matlamat yang diingini walaupun kerajaan dilihat bersungguh menaik-taraf BPR kepada sebuah suruhanjaya, SPRM. Usaha memerangi rasuah digambarkan sebagai menyeluruh tetapi hasilnya ala-kadar, bersifat kosmetik dan berpilih-pilih. Saya percaya, anda juga akan bersetuju dengan saya. Rakyat dipertontonkan malah muak dengan siri-siri penangkapan "ikan bilis" manakala "jerung-jerung" besar masih bebas dan mengganas. Rakyat juga tidak terkejut dengan timbunan fail-fail berprofil tinggi yang masih "dalam siasatan" dan ada pula yang sudah mulai "mereput"- malah, sejak sekian lama, ia telah pun menjadi rahsia umum.


Isu rasuah bukan cuma melibatkan pemberian kontrak kepada kroni-kroni, sampul bawah meja di pejabat-pejabat maupun di kopitiam-kopitiam, antara pesalah trafik dan pihak berkuasa, hadiah melancong ke Batam seumpamanya ataupun hamper dan seperti yang kita sedia maklumi. Isu rasuah juga boleh menjadi sebuah "cara hidup"-gaya hidup yang boleh menjamin kemewahan. Seperti sumpah-sumpah, rasuah mampu mencorak dirinya mengikut tempat dan keadaan!

Integriti dan jalan kampung yang tak pernah sempurna?

Seperti kebiasaan, rasuah juga berlaku secara berleluasa semasa pilihan raya. Saya sangat tertarik dengan isu rasuah semasa pilihanraya memandangkan tahun 2010 dan 2011 telah menyaksikan banyak pilihan raya kecil diadakan. Sehingga saat ini Kerdau dan Merlimau sedang menyaksikan persaingan sengit siapa yang akan merangkul juara sebagai YB nanti. Banyak projek kononnya untuk "memperkasa ekonomi rakyat" dilancarkan, banyak jalan-jalan kampung yang diturap. Malah jalan yang masih elok tetap juga diturap. Buldozer dan lori pasir mula masuk kampung. Episod-episod drama sedang bermula, inilah medan untuk berlumba-lumba membuat kebajikan.

Mari kita imbas kembali ketika berlangsungnya proses kempen di Pilihanraya Kecil di Galas. Selain dituduh merasuah syurga kepada para pengundi (isu evergreen), sosok kerdil Nik Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan ini juga dituduh merasuah beberapa warga orang asal dengan wang sebanyak RM300 walaupun ia merupakan wang zakat. Relevan atau tidak pemberian wang zakat semasa pilihan raya kecil di Galas bukan isu yang ingin saya bawakan.

Mengulas isu "rasuah zakat" ini, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar berkata, mengikut tafsiran undang-undang, pemberian wang kepada pengundi yang boleh mendorong mereka mengundi adalah rasuah. Ia juga boleh ditafsir sebagai membeli undi yang mana perkara ini jelas diletakkan di bawah tajuk sogokan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, Bahagian III.


Mari kita lihat salah satu kandungan akta tersebut di bawah tajuk "Penyogokan":

Orang-orang yang berikut hendaklah disifatkan sebagai bersalah atas kesalahan menyogok:

(a) tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, memberi, meminjamkan atau bersetuju untuk memberi atau meminjamkan, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji akan mendapatkan atau akan berusaha untuk mendapatkan, apa- apa wang atau balasan bernilai kepada atau untuk mana-mana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak mana-mana pemilih atau pengundi atau kepada atau untuk mana-mana orang lain.

Persoalan penting yang harus diselesaikan

Persoalan demi persoalan timbul. Sekiranya Menteri Besar Kelantan dituduh "menyogok", apa pula istilah yang sesuai untuk Najib yang baru beberapa hari lepas meluluskan RM10 juta bagi pembangunan Kerdau. Dan apa pula istilah untuk peruntukan RM500,000 untuk pembinaan dewan serbaguna di tokong Yong Hock Kiong di Labis semasa pilihanraya Tenang baru-baru ini. Ini cuma sebahagian kecil fakta yang diketahui. Banyak lagi "peruntukan-peruntukan khas" telahpun diumumkan sepanjang berlangsungnya pilihanraya-pilihanraya kecil ini. Ya. Secara terang-terangan. Rakyat semakin musykil; dari manakah pula peruntukan untuk projek mee segera ini datang?

Selain itu, saya ingin mengajak anda untuk berfikir. Bagaimana pula dengan sejumlah peruntukan besar dalam bajet-bajet Malaysia semenjak tahun 2005 sehingga 2010 yang memberi tumpuan utama kepada pembangunan infrastruktur luar bandar seperti yang telah saya senaraikan di atas.

Apakah bajet-bajet tersebut dilihat tidak berjaya membangunkan kawasan luar bandar sehingga menyebabkan kerajaan menjanjikan pelbagai projek mee segera semasa pilihanraya kecil? Maka, apakah pula rasional projek mee segera ini ketika pilihanraya kecil? Atau kita boleh labelkan sahaja sebagai "sogokan" yang bertujuan memancing undi. Kalau begitu, ternyata Najib telah melakukan rasuah pilihan raya bukan? Mana dia suara-suara meminta SPRM untuk menyiasat Najib? Sejauh mana integriti rakyat Malaysia dalam berhadapan dengan isu rasuah pilihanraya ini?

Saya tidak mahu mengulas mengenai isu "projek mee segera" ini. Ia telahpun diulas banyak pihak. Isunya ialah kenapa SPR mendiamkan diri? Kenapa Wan Ahmad membisu? Perkara ini jelas menunjukkan SPR berat sebelah. Dalam ertikata lain; SPR telah diperalatkan pihak-pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka. Inilah yang dipanggil sebagai double standard. Isu-isu yang melibatkan pilihanraya seringkali mencerminkan sikap SPR yang diragui dan hilang integritinya.

Kebangkitan Gelombang Kuning

Sejak sekian lamanya, kelemahan SPR inilah yang memberi inspirasi kepada Penubuhan gabungan BERSIH yang berjuang mendesak SPR untuk memenuhi tuntutan agar pilihanraya dijalankan secara bersih dan adil sehingga tercetusnya kebangkitan "gelombang kuning 100,000 rakyat" pada 10 November 2007 yang lepas. Gelombang ini telah memberikan impak besar kepada lanskap politik negara.

Keadaan perjalanan pilihanraya kecil yang semakin dicemari kekotoran dan manipulasi sejak akhir-akhir ini membawa erti sistem pilihanraya perlu diubah dan BERSIH sekali lagi memainkan peranan mereka dalam mendesak SPR agar bersikap adil dan professional. SPR harus bebas dari tekanan mana-mana pihak. Sistem demokrasi harus diberi keutamaan. Saya berpendapat, selagi SPR tidak mereformasikan sistem pilihanraya yang ada dan sanggup menjadi boneka BN, selagi itu mungkin ada kewarasan untuk BERSIH mengulangi sejarah yang pernah dicipta. -MR

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pertukaran nama daripada BPR kepada SPRM tidak memberi apa-apa makna dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa jika SPRM tidak diberi kebebasan untuk mendakwa, hanya menyiasat sahaja. Oleh itu timbul masalah pendakwaan terpilih. Yang dari kalangan pembangkang atau ahli UMNO yang sudah tak berguna lagi akan didakwa manakala yang pro kerajaan/pemerintah tindakan pendakwaan hilang entah ke mana. Mungkin fail kategori ini banyak sangat.