1 Mac 2011

Saman Ekor: Tukar Segera Kerajaan Dari BN Kepada PR

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu rakyat sedar bahawa kesusahan rakyat akibat saman ekor hanya dapat diselesaikan dengan menukar parti pemerintah kepada Pakatan Rakyat.

Katanya, dalam isu ini kerajaan Umno BN telah memperlihatkan sifat mereka yang tidak mahu memahami keperitan rakyat dengan tidak memberikan peluang untuk dibicarakan di mahkamah malah terus menghukum dengan menyenarai hitam tanpa dibuktikan bersalah.

"Sebab itulah, kita melihat bahawa rakyat tidak ada pilihan melainkan menukar pemerintahan BN kepada PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya yang akan datang bagi melihat usaha murni kami ini dapat direalisasikan.

"PAS berjanji akan menghapuskan saman ekor sekiranya diberi peluang memerintah negara dalam pilihanraya akan datang bersama Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau turut memuji usaha murni NGO Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang berusaha memberi penerangan kepada rakyat dan menuntut kerajaan menghapuskan saman ekor.

Bagaimanapun beliau kecewa dengan layanan kerajaan yang mengenepikan tuntutan Kase itu malah mengetatkan lagi akta berkaitan JPJ dan “menswastakan” urusan beberapa aspek saman ini,.

"Kita akan bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat membincangkan kaedah paling baik bagi menyelesaikan masalah tersebut dan kita percaya PKR dan DAP akan bersetuju dengan tawaran tersebut.

"PAS ingin menegaskan bahawa pelaksanaan saman ekor bukanlah kaedah terbaik untuk mendidik rakyat supaya berhemah dalam memandu di jalanraya," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di beberapa kaunter bayaran saman JPJ mendapati tempoh promosi bagi bayaran saman tertunggak yang berakhir semalam dilanjutkan sehingga jam 12 tengahari ini.

Hari ini pula telah berkuatkuasa kadar kompaun baru di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dikeluarkan JPJ, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perubahan kadar itu membabitkan empat kategori kesalahan lalu lintas, iaitu mengikut kelas kenderaan, tahap keseriusan dan jenis kesalahan, nilai kompaun bertambah mengikut tempoh pembayaran kompaun dan kompaun berganda akan dikenakan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan berulang.

Mengikut penyelarasan baru itu, pengguna jalan raya yang gagal menjelaskan kadar kompaun dalam tempoh 15 hari akan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200, seterusnya dinaikkan kepada RM300 sekiranya tidak dijelaskan dalam tempoh 30 hari.

Sementara pemandu yang gagal membayar saman dalam tempoh 60 hari pula akan diheret ke mahkamah.

Bagi pemandu yang menyumbang kepada kemalangan, kesesakan lalu lintas dan kesalahan berkaitan perkhidmatan teksi, kadar kompaun maksimum sebanyak RM300 akan dikenakan dan ia tidak akan dikurangkan walaupun dijelaskan lebih awal. -HD


Kase ulangi desak kerajaan hapuskan saman ekor

KUALA LUMPUR, 1 Mac: Kerajaan BN didesak menghapuskan saman ekor kerana ia merupakan sesuatu yang amat tidak praktikal untuk dilaksanakan, di samping bertentangan dengan undang-undang.

Selain itu, Kerajaan BN turut didesak menarik balik semua senarai hitam ke atas pemandu dan menghapuskan saman ekor yang lama kerana dua perkara itu juga turut bertentang dengan undang-undang, di samping jelas menindas rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Datuk Mahfuz Omar dalam desakannya berkata, setiap saman sepatutnya dikeluarkan secara terus kepada individu terbabit sejurus selepas kesalahan dilakukan, tetapi saman ekor tidak pula sedemikian.

Menurut beliau, sebaliknya, saman ekor atau istilah rasminya, Notis Pol. 170A merupakan notis yang dikeluarkan oleh PDRM kepada pemilik kenderaan untuk memberi maklumat butiran pemandu kenderaan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang melakukan kesalahan memandu melebihi had laju.

Katanya, saman ekor dihantar secara pos berdaftar kepada pemilik kenderaan, manakala saman lain dikeluarkan secara terus kepada pemandu kenderaan sejurus selepas kesalahan dilakukan (kendiri).

"Pindaan yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memasukkan takrif imej yang dirakam ke dalam Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan 2010), dengan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), jelas amat menindas rakyat dan menguntungkan syarikat swasta terbabit iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd," katanya.

Menjelaskan perkara itu dalam sidang akhbarnya yang diadakan ketika pertemuannya dengan pemilik-pemilik kenderaan yang mempunyai saman ekor di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju, di sini, hari ini, beliau berkata, pelaksanaan AES akan membolehkan dua syarikat swasta terbabit mengaut keuntungan sekurang-kurangnya RM3.8 bilion setahun.

Dalam pertemuan yang diadakan sekitar jam 11 pagi itu, beliau turut ditemani barisan peguam Kase dan beberapa orang kepimpinan Kase lain yang begitu prihatin dengan nasib para pemandu yang semakin tertindas berada di bawah pemerintahan BN sejak dulu.

Penindasan tersebut pasti lebih dirasai rakyat apabila kadar kompaun baru di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dikeluarkan JPJ, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dikuatkuasakan hari ini.

Ini berikutan penyusunan semula kesalahan lalu lintas yang dibuat oleh kabinet daripada tiga kategori kepada empat kategori, iaitu mengikut kelas kenderaan, tahap keseriusan dan jenis kesalahan, nilai kompaun bertambah mengikut tempoh pembayaran kompaun dan kompaun berganda akan dikenakan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan berulang.

Mengikut penyelarasan baru itu, pengguna jalan raya yang gagal menjelaskan kadar kompaun dalam tempoh 15 hari akan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200, seterusnya dinaikkan kepada RM300 sekiranya tidak dijelaskan dalam tempoh 30 hari, sementara pemandu yang gagal membayar saman dalam tempoh 60 hari pula akan diheret ke mahkamah.

Bagi pemandu yang menyumbang kepada kemalangan, kesesakan lalu lintas dan kesalahan berkaitan perkhidmatan teksi, kadar kompaun maksimum sebanyak RM300 akan dikenakan dan ia tidak akan dikurangkan walaupun dijelaskan lebih awal.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata, kesemua itu akan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan oleh Kerajaan BN apabila ia turut dikaitkan dengan pelaksanaan AES.

"Sistem tersebut diwujudkan bukan untuk mendidik pemandu supaya menjadi pemandu berhemah, tetapi untuk mengaut keuntungan hasil dari penindasan terhadap rakyat, pemandu atau orang ramai," katanya.

Justeru itu, pihaknya tidak akan membiarkan Kerajaan BN terus menindas rakyat berhubung perkara itu dan beliau berjanji akan turut mendedahkannya secara terperinci dalam persidangan Dewan Rakyat nanti.

"Demikian juga dengan tindakan menyenarai hitamkan pemandu yang tidak menjelaskan saman ekor dalam masa segera dan sehingga tertunggak, ia bukan berada di bawah bidang kuasa polis, tetapi JPJ.

"Itu pun tidak boleh dilaksanakan dengan mudah oleh JPJ kerana ia hanya boleh dilaksanakan setelah dibawa kemahkamah dan diputus oleh mahkamah,"
katanya.

Namun kini, katanya, perkara itu menjadi di sebaliknya pula apabila tindakan tersebut dilakukan oleh pihak polis, menjadikan semua itu bertentangan dengan undang-undang.

"Tentangan kami ke atas saman ekor bukanlah untuk menggalakkan orang ramai memandu laju melebihi had laju yang dibenarkan, tetapi kepada pihak polis, untuk mendidik orang ramai supaya menjadi pemandu berhemah, polis sendiri perlu berhemah dengan mematuhi peraturan-peraturan itu terlebih dahulu sebelum mengeluarkan saman ekor kepada orang ramai," katanya.

Pada pertemuan itu, beliau turut mengedarkan contoh surat yang dibuat oleh pihaknya kepada orang ramai untuk dikemukakan kepada Pengarah JPJ yang berupa tindakan pemandu untuk membawa kes itu ke mahkamah sekiranya disenaraihitamkan. -HD


1 ulasan:

win win malaysians berkata...

Sesiapa yg kena saman ekor 4DM aku harap jgn tidak2 UNDILAH BARISAN NASIONAL/UMNOGOK diPru13 UNDI DAN UNDI LAGI SAMPAI MATI,hanya BN/UMNOGOK saja dpt tolong kamu semua utk menyaman lagi dan lagi,jgn tak undi kamu akan senang seumur hidup bila BN/UMNOGOK memerintah negara bahkan dunia pun mereka boleh tadbir..waa,kah,kah,kah...`INGAT JGN LUPA UNDI NANTI