23 Mac 2011

Serang Libya, Obama Digesa Serahkan Kembali Hadiah Nobel Keamanan

Presiden Bolivia Evo Morales menuntut Presiden AS Barack Obama untuk mengembalikan hadiah Nobel Perdamaian.

Seperti dilaporkan AFP, Presiden Bolivia, Evo Morales menggesa anugerah Nobel Keamanan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ditarik balik kerana menyifatkan keputusan pemimpin itu melancarkan serangan tentera terhadap Libya menunjukkan beliau tidak layak mendapat anugerah itu.

“Dua tahun lalu, kita mendengar bahawa Presiden Obama memenangi anugerah Nobel Keamanan tetapi adakah beliau mempertahankan keamanan dunia sekarang, atau tidakkah beliau yang mencetuskan keganasan?” kata Morales kepada pemberita.

Ulasan dibuat beberapa hari selepas Obama mengarahkan pengeboman mensasarkan tentera Libya sebagai usaha yang disokong PBB untuk melindungi penduduk awam.

“Bagaimana mungkin untuk memberi anugerah Nobel Keamanan kepada seseorang yang melancarkan serangan, pengeboman? Ia satu pencabulan, serangan, pencerobohan,” kata Morales, pemimpin Latin Amerika berhaluan kiri yang lantang mengkritik Amerika Syarikat.

“Obama adalah ketua kumpulan yang mengetuai serangan dan pencerobohan, dan tidak ada kena mengena dengan mempertahankan hak asasi manusia,” katanya.

Obama menerima anugerah berkenaan pada Disember 2009 kurang setahun selepas dilantik sebagai presiden Amerika.

Dalam ucapan beliau di Oslo, Obama merujuk dirinya sebagai ketua komander sebuah negara yang berada di tengah-tengah dua perang dan menyifatkan konflik bersenjata adalah tepat pada masanya.

Obama menghadiahkan AS$1.4 juta (RM4.2 juta) hadiah wang tunai yang dimenanginya itu kepada 10 badan kebajikan termasuk kumpulan yang bekerja bagi pemulihan Haiti dan menyokong keluarga tentera.

Sementara itu Reuters pula melaporkan, di Britain, kira-kira 53 peratus rakyat Britain berpendapat anggota tentera negara itu tidak perlu meletakkan diri mereka dalam bahaya untuk melindungi rakyat Libya daripada rejim Muammar Gaddafi.

Kajian pendapat terbaru juga mendapati, sebanyak 43 peratus daripada rakyat negara itu menentang serangan tentera terhadap negara itu. Hasil kajian itu yang dijalankan oleh ComRes Survey untuk stesen televisyen ITV News diumumkan semalam.

Hanya 35 peratus responden berkata, Britain bertindak betul untuk menyertai tindakan tentera antarabangsa bagi melaksanakan gencatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sementara 43 peratus tidak bersetuju dan 22 peratus lagi memberi jawapan tidak tahu.

Responden juga berbelah bagi mengenai sama ada tindakan itu memberi gambaran baik terhadap Perdana Menteri, David Cameron.

Di India, pemimpin India menyatakan, negara asing tidak berhak mencampuri urusan dalaman Libya, sekali gus menambah kecaman antarabangsa terhadap kempen ketenteraan ke atas rejim Muammar Gaddafi.

India yang bersikap berkecuali terhadap undian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menguatkuasakan zon larangan terbang mengambil sikap sama seperti China dan Russia.

Ketiga-tiga negara itu mengecam serangan udara diketuai AS, Britain dan Perancis yang bertujuan melemahkan sistem pertahanan udara Libya.

Menteri Kewangan India, Pranab Mukherjee, berkata tiada mana-mana negara asing berhak campur tangan dalam konflik dalaman sesebuah kerajaan.

“Tiada negara boleh memutuskan untuk menukar sesuatu rejim,” katanya.

Sama ada rejim terbabit akan berubah atau tidak, kata Pranab, bergantung kepada rakyat negara itu sendiri.

Tiada ulasan: