23 Mac 2011

Keengganan Polis Tangkap Datuk T Cetuskan Kemarahan Rakyat

Tangkap segera Datuk T, gesa Karpal

Pihak polis mesti menahan segera dan mengambil tindakan keras kepada 'Datuk T' kerana terlibat menayangkan rakaman video lucah, kata pengerusi DAP Karpal Singh.

Penayangan video, bertujuan menggambarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan hubungan seks dengan wanita yang tidak dikenali jelas menyalahi undang-undang negara ini, kata Karpal.

Beliau mendakwa terkejut abila mendapat polis belum mengambil tindakan untuk menahan 'Datuk T' berhubung perkara itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Karpal berkata, tindakan lelaki misteri itu jelas melanggar Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua seksyen itu berkaitan larangan memiliki, mengedarkan dan menayangkan filem yang lucah atau yang selainnya bertentangan dengan kesopanan awam.


Polis siasat kes video seks ikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat laporan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan klip video aksi seks mengikut Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, laporan polis diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.

"...apa yang saya boleh katakan polis akan menyiasat kes ini," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini hari ini.

Mengikut peruntukan Seksyen 292 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan berkaitan tindakan itu, mereka yang didapati bersalah boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Anwar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini pagi ini berhubung video yang dipertontonkan kepada beberapa wakil media di Carcosa Seri Negara semalam.

Dalam laporan itu, di mana salinan diedarkan kepada media, Anwar menafikan pembabitannya dalam video lucah itu.

Satu kumpulan yang enggan dikenali mendakwa mereka memiliki klip video hitam putih yang memaparkan aksi seks seorang pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur wanita di sebuah hotel di sini yang menawarkan perkhidmatan seks.

Kumpulan itu yang diketuai seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya hanya sebagai Datuk T, berkata mereka akan menyerahkan pita video itu kepada pemimpin pembangkang berkenaan dan isterinya dalam masa seminggu ini.

Sementara itu, Ismail memberi amaran kepada pihak yang terbabit dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan datang, agar tidak melanggar peraturan sehingga boleh mencetuskan insiden yang tidak diingini.

Katanya pada masa yang sama, penyokong parti-parti politik yang terbabit dalam pilihan raya itu nanti, perlu bersikap matang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan.

Beliau berkata, polis bersiap sedia untuk berkhidmat sepanjang pilihan raya itu dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap pihak yang melanggar peraturan.

"Semua pihak termasuk penyokong parti politik diingatkan untuk mematuhi undang-undang serta prosedur yang ditetapkan dan tunjukkan moral yang tinggi," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian untuk pilihan raya negeri Sarawak yang ke-10, esok. - BERNAMA


Ulasan GB

Soal pilihanraya Sarawak adalah persoalan lain yang cuba dibawa oleh ketua Polis Negara untuk menutup sandiwara polis yang terhegeh-hegeh untuk tidak menangkap Datuk T yang ternyata terlibat di dalam kes penayangan video lucah di sebuah hotel terkemuka di ibukota.

Jelas Polis seperti mempunyai agendanya sendiri serta mengamalkan sikap double standard dan ini amat mendukacitakan. Ia sekaligus menimbulkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap polis.

Laporan polis boleh dibuat terhadap sikap polis yang melengah-lengahkan pengendalian tugasnya sebagai anggota polis.

Tiada ulasan: