30 Mac 2011

Mangsa Tembakan UPP Serah Memorandum

Kuala Lumpur - Seorang remaja yang mendakwa menjadi mangsa tembakan anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di Tumpat, menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz di Parlimen, semalam.

Mangsa, Ahmad Nizamuddin Mohamad, 19, yang hadir ke Parlimen bersama peguam dan keluarganya menyerahkan memorandum itu bagi mendesak tindakan segera diambil termasuk memastikan siasatan yang adil oleh pihak polis.

Memorandum itu juga menyatakan rasa tidak puas hati berikutan tindakan pihak polis yang didakwa hanya menyiasat berdasarkan laporan pihak UPP dan mengetepikan laporan yang dibuat keluarga mangsa.

Pada kejadian 16 Februari lalu, mangsa ditembak di perut dan dada manakala bapa saudaranya Said Mat Hassan, 56, meninggal dunia di Hospital Kelaboran, Tumpat selepas ditahan anggota UPP.

Memetik kandungan memorandum tersebut, keluarga mangsa mendakwa tindakan anggota UPP berkenaan menembak Ahmad Nizamuddin sebagai cubaan menghapuskan bukti bahawa kematian Said adalah akibat dipukul.

Ulasan GB

GB sudah ulas hal ini di dalam tulisan yang disiarkan sebelum ini di SINI. Petikan:


Rakyat sudah muak dengan kes-kes di mana pihak PDRM mempertahan "jenayah" yang dilakukan oleh pihak mereka dan beberapa pihak penguatkuasaan undang-undang seperti SPRM, PBT dan UPP. Kes-kes berprofil tinggi seperti kes Aminul-rasyid, kes kematian Teoh Beng Hock, kes Kugan, kes polis memukul dan merompak seorang peniaga, kes polis menampar dan merompak wanita hamil dan lain-lain menjelaskan keadaan tersebut.

Di dalam kes di atas, KP K'tan terlalu cepat membuat kenyataan SEBELUM melakukan SIASATAN RAPI mengenainya.

Sudah sampai masanya integriti PDRM dan lain-lain agensi penguatkuasaan ini dipertingkatkan dengan melakukan "pembersihan total" terhadap pegawai-pegawai mereka yang bertindak tidak profesyenal disamping cuba berdusta dan melakukan cover-up terhadap apa kes sekalipun.

Rakyat perlukan hanya mereka yang berwibawa, bukan yang hanya pandai menggunakan pistol dan kemudian bertindak liar meletakkan undang-undang di dalam tangan mereka dengan menjadi rakyat sebagai mangsa. Diperburukkan dengan adanya pihak lain menjadi "pembela" perlakuan jenayah mereka.

Mereka yang tidak profesyenal ini walaupun tidak ramai, namun cukup untuk mencacatkan kredibiliti polis.

Rakyat satu hari tetap akan bangun menuntut kebenaran dan keadilan itu ditegakkan tanpa mengira siapa juga yang cuba menyekatnya.

p/s Keselamatan remaja di atas perlu diberikan perhatian kerana seperti insiden-insiden sebelum ini, terdapat kes saksi-saksi penting ini diintimidasi.


Tiada ulasan: