30 Mac 2011

[Bergambar] Selamatkan Malaysia, Hentikan Projek "Rare Earth" Paling Besar Di Dunia Di Gebeng

Sekumpulan penunjuk perasaan berpakaian kemeja T hitam dengan perkataan 'Selamatkan Malaysia' berhimpun di luar kawasan Parlimen di sini membantah pembinaan loji radoaktif bahan nadir bumi di Gebeng, Kuantan.

Ahli kumpulan yang mendakwa mereka sebagai 'rakyat biasa' yang tinggal di Kuantan, memegang sepanduk 'Selamatkan Kuantan' dan 'Hentikan Lynas'.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (PKR) dilihat mengetuai kumpulan berkenaan.

Salah seorang ahli kumpulan tersebut berkata, mereka tiba dengan empat buah bas dan kebanyakan mereka tinggal dalam radius 20 kilometer dari lokasi loji itu akan dibina.

Mereka disekat oleh polis dari memasuki kawasan Parlimen.

Loji itu adalah pelaburan Lynas Corp Australia yang menubuhkan Syarikat Lynas (M) Sdn Bhd bagi membina kilang memproses bahan nadir bumi yang digunakan untuk menghasilkan bahan mula bagi pembuatan produk berteknologi tinggi.

Pelaburan membabitkan nilai hampir RM700 juta itu diluluskan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia pada 12 November 2007.

Projek itu juga memerlukan kelulusan kerajaan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja (DOSH) dan LPTA, serta melibatkan enam lesen kesemuanya.

Tiga daripada lesen ini adalah mengenai keselamatan radiologi di bawah LPTA iaitu Lesen Penempatan Tapak, Lesen Pembinaan dan Lesen Pengendalian.

Pengerusi MCA Pahang, Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta pihak yang berkaitan memberi penjelasan kepada penduduk mengenai aspek keselamatan loji pemprosesan logam radioaktif terbabit sebelum lesen dikeluarkan kepada Syarikat Lynas (M) Sdn Bhd.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan penduduk di kawasan sekitar tapak loji, terutamanya di Gebeng, Pahang mendapat jaminan keselamatan.

"Siapa saja yang berkuasa - LPTA (Lembaga Perlesenan Tenaga Atom), kerajaan pusat, kerajaan negeri - sebelum keluarkan lesen mereka mesti beri penjelasan terperinci kepada umum.

"Ini supaya orang ramai tahu keadaan sebenar, tahu keselamatan mereka dijaga dan loji itu selamat. Kemudian barulah lesen itu dikeluarkan," katanya kepada pemberita pada Selasa. -mstar



Lebih 100 aktivis anjur demo anti-sisa radioaktif

Kira-kira 100 orang berkumpul di hadapan simpang masuk ke bangunan parlimen bagi membantah pembinaan pusat pemprosesan nadir bumi (rare earth) yang paling besar di dunia di Gebeng, Kuantan.

Mereka terdiri daripada aktivitis termasuk dari NGO, Save Malaysia.

Mereka bimbang kemungkinan penyebaran sisa radioaktif yang bakal dihasilkan selepas projek bernilai RM700 juta itu beroperasi.

Sebanyak empat buah bas membawa kumpulan yang membantah pusat penapisan yang sedang dibina oleh syarikat Australia, Lynas Corp itu.

Penunjuk perasaan ini tiba di persimpangan parlimen sekitar jam 9.20 pagi. Mereka kemudian mengadakan perbincangan dengan seorang pegawai polis.

Hasil perbincangan, seramai 10 orang dibenarkan masuk ke parlimen bagi menghantar memorandum bantahan mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Penyokong lain pula dibenarkan berbaris di sepanjang jalan tanpa menganggu lalulintas dengan polis membuat barisan bagi membuat sekatan sekiranya mereka terus mara.

Kelihatan juga sekurang-kurangnya dua pacuan empat roda di simpang masuk ke parlimen dan tidak kurang 40 anggota polis di kawasan sekitar.

Aktivis pada hari ini juga mengibarkan poster dan kain rentang yang berbunyi: "Stop Lynas", "Hentikan Lynas".

Tidak selamat

Kira-kira jam 9.40 pagi, ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh keluar berbincang dengan seorang pegawai polis dan mendakwa kawasan tempat penyokong berkumpul adalah tidak selamat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya mereka erpindah ke tempat yang lebih selamat iaitu di atas pembahagi jalan masuk menuju ke parlimen.

Pihak polis membenarkan mereka menukar lokasi tetapi dengan syarat beberapa kain rentang tidak diboleh dikibarnya.

Sebaliknya mereka hanya dibenarkan membawa sepanduk dan poster. Antaranya berbunyi " Stop Lynas", "Selamatkan Kuantan" .

Penunjuk perasaan akur dengan arahan tersebut.

Beberapa minit kemudian, polis mengarahkan mereka pula supaya tidak lagi mengibarkan poster. Sekali lagi, aktivis berkenaan akur dengan larangan berkenaan.

Kumpulan itu berbaris sehingga jam 10 pagi.

Semua aktivis yang membantah pembinaan loji penapisan itu kemudiannya mula bersurai dan menuju ke hadapan pintu masuk tugu negara - tempat mula-mula mereka berkumpul.

Perhimpunan aman

Sebelum bersurai, mereka melaungkan "Stop Lynas, Selamatkan Kuantan, Stop Radioactive dan Selamatkan Malaysia".

Hadir sama, adalah lima anggota Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) yang diketuai oleh pesuruhjayanyanya, Mohamad Shaani dan perwakilan daripada Majlis Peguam turut hadir bagi memantau keadaan.

Perhimpunan hari ini diadakan secara aman. Tiada insiden yang tidak diingini dilaporkan.

Sementara itu Fuziah ketika ditemui pemberita berkata beliau telah membangkitkan isu berkenaan sejak 2008.

Menurutnya, selepas tsunami di Fukushima, Jepun, bulan lalu, rakyat kini lebih menyedari bahaya bahan radioaktif.

"Pembuangan radioaktif itu di Kuantan, walaupun lima peratus, tetapi ia (boleh) memberi kesan seperti kanser dan kecacatan," katanya.

Pada 23 Mac lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximus Ongkili berkata kerajaan memberi jaminan bahawa pembinaan loji pemprosesan logam radioaktif di Gebeng, itu adalah selamat dan tidak membahayakan kesihatan awam.

Katanya, sisa-sia yang akan dikeluarkan atau terhasil daripada pengilangan bahan mentah daripada loji Syarikat Lynas itu hanya mengandungi tahap bahan radioaktif yang rendah.

"Berdasarkan piawaian antarabangsa yang dikeluarkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), sisa seperti ini ditakrifkan sebagai bukan sisa radioaktif tetapi merupakan sisa industri yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi,” kata Ongkili. -mk











2 ulasan:

kembara putih berkata...

Komisyen oh komisyen..

Tanpa Nama berkata...

Buat la kat Putrajaya.....atau kat rumah mak bapak najib & Muyidin...