30 Mac 2011

TI-Malaysia Sanggah Nazri: Bantuan Segera Pilihanraya Adalah Rasuah

Kumpulan pemantau gejala rasuah Transparency International menolak dakwaan bantuan segera kepada rakyat ketika kempen pilihan raya tidak boleh ditakrif sebagai rasuah.

"Ini khususnya semasa kempen. Malangnya tidak ada undang-undang yang memadai bagi menangani perkara ini, terutamanya apabila ia membabitkan wang tunai dan mesin jahit,” kata presiden TI-Malaysia Paul Low.

"Banyak janji-janji ditaburkan seperti membina jambatan. Janji-janji ini tidak jelas.

"Awak hanya buat kesalahan bila berkata, 'nah ini RM1,000, undi saya',” kata Low pada sidang media di pejabatnya pagi ini.

Kenyataan TI itu jelas bercanggah dengan pendapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Nazri dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat, semalam berkata 'bantuan' yang diberikan kepada rakyat semasa kempen pilihan raya tidak boleh dianggap sebagai rasuah.

Beliau berkata ini kerana pelbagai bantuan yang disampaikan itu adalah sebagai memenuhi manifesto atau janji yang dibuat kerajaan jika menang pilihan raya.

"Kita dah berjanji kalau menang kita akan tunaikan (manifesto)... sebagai contoh bantuan mesin jahit, kalau kita tak bagi masa nak pilihan raya boleh segera bagi selepas pilihan raya, sama sahaja, adakah ini satu kesalahan?

"Kita juga tak boleh nak hentikan pemberian ini sebab kita akan bagi juga selepas itu (pilihan raya)," katanya ketika menjawab pertanyaan Ab Azizi Ab Kadir (PKR-Ketereh).

Bagaimanapun menurut Low, janji yang dibuat semasa pilihan raya bukan satu bentuk rasuah.

"Janji bukan rasuah dan kita tidak ambil peduli kecuali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil dengan peraturan tidak membenarkannya.

"Ia mungkin tidak beretika tetapi bukan rasuah,” katanya.

Low berkata kedua-dua pihak - pembangkang dan juga parti pemerintah - melakukan kesalahan dengan menaburkan janji pilihan raya.

"Jika seseorang menjanjikan sebuah jambatan, tanya (ahli politik itu) 'bukankah hak kawasan kita mendapat pembangunan.' Kenapa tidak laksanakan sebelum pilihan raya?” katanya. -mk


Nazri: Pemberian bantuan ketika pilihan raya bukan rasuah

KUALA LUMPUR, 29 Mac — Pemberian bantuan segera kepada rakyat ketika kempen pilihan raya tidak boleh ditakrif sebagai rasuah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Beliau berkata ini kerana pelbagai bantuan yang disampaikan kepada rakyat menjelang pilihan raya adalah sebagai memenuhi manifesto atau janji yang dibuat kerajaan jika menang pilihan raya.

“Kita dah berjanji kalau menang kita akan tunaikan (manifesto)... sebagai contoh bantuan mesin jahit, kalau kita tak bagi masa nak pilihan raya boleh segera bagi selepas pilihan raya, sama sahaja, adakah ini satu kesalahan?

“Kita juga tak boleh nak hentikan pemberian ini sebab kita akan bagi juga selepas itu (pilihan raya),” katanya ketika menjawab pertanyaan Ab Azizi Ab Kadir (PKR-Ketereh) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Ab Aziz dalam soalannya ingin tahu sama ada pemberian bantuan segera ketika pilihan raya atau pilihan raya kecil merupakan satu bentuk rasuah dan adakah kerajaan bercadang menghentikan bantuan seumpamanya ketika kempen pilihan raya.

Menjawab soalan Ab Aziz mengenai jumlah aduan rasuah yang diterima Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) ketika pilihan raya kecil bagi tempoh 2008 hingga 2010, Nazri berkata sebanyak enam kes diterima dan disiasat dalam tempoh itu. — Bernama


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sedutan daripada buku Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694). Bab Seksyen 3, Tafsiran mengenai "Suapan" atau rasuah adalah seperti berikut:-

(a) wang, derma. alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan menhenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, faedah kewangan, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain;

(b) apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat;

(c) apa-apa bayaran,pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;

(d) apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan, atau peratusan;

(e) apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga.

(f) apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, termasuk perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketidakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan

(g) apa-apa tawaran, aku janji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f).

Begitu luas sekali makna rasuah/suapan seperti 'apa-apa jenis balasan berharga, .....aku janji atau janji'