3 Feb 2011

PRK Merlimau: PKR Perlu Hormati PAS

PKR lebih berpeluang dari PAS?

Pakatan Rakyat akan berbincang bagi memutuskan calon PRK Dun Merlimau.
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat (PR) malam ini akan memutuskan calon, sama ada dari parti PAS atau PKR, yang akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau nanti.

Meskipun sebelum ini kesepakatan telah dimeterai antara pemimpin tertinggi parti-parti dalam gabungan PR itu untuk mempertahankan status quo sebelum ini, kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin dianggap sebagai tidak menghormati keputusan itu.

Shamsul yang berhasrat untuk bertanding di kerusi itu sebelum ini dilaporkan berkata meskipun secara tradisi pakatan itu mengekalkan status quo, namun terdapat beberapa faktor yang menyokong PKR meletakkan calonnya untuk bertanding.

Kenyataannya itu telah melontarkan persoalan adakah prestasi PKR pada masa ini lebih baik berbanding PAS di DUN ini mahupun kawasan-kawasan lain dalam negara ini selepas PRU-12 lalu.

Rekod PKR dalam PRK

Mengikut statistik sepanjang 14 PRK yang telah diadakan selepas PRU-12 lalu, PKR telah memenangi tiga daripada enam PRK yang membabitkan calon dari parti itu.
Bagaimanapun kemenangan di Dun Penanti dianggap kejayaan mudah apabila lawan PKR dalam PRK tersebut hanya membabitkan calon-calon bebas dan tidak disertai oleh calon daripada BN yang dianggap sebagai lawan sebenar.

Kemenangan PKR di Permatang Pauh pula melibatkan pertambahan majoriti yang agak ketara kepada 15,671 undi berbanding majoriti dalam PRU 2008 sebanyak 13,388 undian.

Enam penyertaan PKR dalam PRK dalam tempoh itu juga membabitkan empat misi bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU sebelumnya dengan tiga kejayaan sementara kerusi parlimen Kuala Selangor telah dirampas BN.

Sementara itu, ketika PKR tewas dalam PRK Batang Ai, BN turut melebarkan majoriti kepada 1,854 terhadap PKR berbanding majoriti yang dimenangi terhadap Parti Tindakan Nasional Sarawak (SNAP) sebanyak 806 undi dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada tahun 2006.

Keadaan yang sama turut berlaku dalam PRK Parlimen Batu Sapi apabila BN berjaya melebarkan kemenangan terhadap PKR dengan majoriti 6,359 undi berbanding ketika berhadapan dengan calon bebas dalam PRU-12 lalu yang hanya majoriti 3,708 undi.

Bagaimanapun dalam PRK Batu Sapi ini telah membabitkan pertandingan tiga penjuru yang melibatkan di antara BN, PKR dan SAPP sekaligus memecahkan undi kepada tiga bahagian.

Rekod PAS dalam PRK

Manakala bagi PAS pula, telah memenangi empat kali daripada tujuh penyertaan dalam PRK dalam tempoh yang sama termasuk kejayaan merampas satu kerusi bagi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi BN dalam PRU-12.

Selain berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu, PAS turut melebarkan majoriti yang diraihnya di parlimen Bukit Gantang daripada 1,566 undi dalam PRU-12 kepada 2,789 undi dalam PRK tahun 2009.

Bagaimanapun kejayaan empat kali kemenangan dalam siri PRK dan merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu sedikit tercalar apabila majoriti kemenangan di Dun Manek Urai telah menunjukkan kemerosotan yang banyak, iaitu hanya 65 undi berbanding 1,352 yang dimenangi dalam PRU-12.

Selain itu, dalam PRK Dun Bagan Pinang dan Tenang turut menyaksikan BN telah berjaya melebarkan undi majoriti yang diperolehi pada PRU-12 terhadap PAS.

Berdasarkan perbandingan statistik, PAS dengan empat kemenangan termasuk satu kejayaan merampas kerusi parlimen mungkin mempunyai sedikit kelebihan berbanding PKR.

Dari segi pecahan kaum bagi Dun Merlimau pula, samada PAS mahupun PKR masing-masing tidak menunjukkan kelebihan antara satu sama lain.

Jika faktor calon diambil kira, Shamsul juga wajar mempertimbangkan semula hajatnya untuk bertanding dalam PRKA kali ini demi kebaikan PR apabila dianggap sebagai pemimpin yang kurang disenangi oleh ahli-ahli partinya sendiri.

Imej beliau dikatakan terjejas teruk di kalangan ahli-ahli PKR sendiri setelah dikaitkan dengan apa yang dianggap sebagai penyelewengan ketika pemilihan parti itu berlangsung hujung tahun lalu dan mampu mempengaruhi corak undi masyarakat di sini.

Faktor beliau sebagai anak Melaka mungkin tidak memberinya kelebihan, malahan ketika ini mungkin BN telah memperolehi banyak isu yang diperlukan sebagai peluru yang bakal dihalakan kepada batang tubuh Shamsul sekiranya beliau diletakkan sebagai calon PR.

Selain itu, kehadiran beliau sebagai calon PR, bukan sahaja boleh mengeruhkan kesepakatan yang telah dicapai di kalangan pemimpin dan penyokong PR sebelum ini bahkan turut mampu menyebabkan kurangnya sokongan jentera kempen pilihan raya di pihak PR termasuk dari PKR sendiri.


Bagaimanapun, baik PKR mahupun PAS, kedua-duanya bakal berhadapan laluan sukar bukan sahaja untuk memenangi persaingan dengan BN, malah juga perit untuk menafikan majoriti 2,154 undi yang diperolehi BN dalam PRU-12 lalu.

PRK Dun Merlimau yang bakal diadakan pada 6 Mac ini dikatakan penting sebagai pengukur sebenar sokongan terhadap PR mutakhir ini khususnya bagi mencula sokongan pengundi Melayu berbanding PRK Dun Tenang yang melibatkan peratusan tinggi pengundi di kalangan peneroka Felda yang dianggap simpanan tetap BN. -FMT

Ulasan GB

GB dah ulas sebelum ini bahawa PKR sepatutnya menumpukan usaha "membersihkan" partinya daripada masalah yang melanda mereka, bukan berebut nak bertanding apatah lagi nak merampas kerusi PAS seperti yang mereka telah lakukan sebelum ini.

Kajian yang dijalankan oleh Pusat Pengajian Demokrasi dan Pilihan raya Universiti Malaya (UM) menunjukkan populariti PKR tercalar ekoran laporan media mengenai krisis dalaman parti itu.

Lebih separuh daripada responden dalam kajian tersebut menyuarakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika PKR yang bertanding, musuh mempunyai terlalu banyak peluru untuk menyerang PR apatah lagi jika meletakkan Ketua AMKnya sbagai calon di Merlimau. Jawatan Ketua AMK yang disandang itupun masih dipersoalkan oleh banyak pihak di dalam PKR sendiri.

Kalau PAS kalah di PRK Merlimau, ia tidak membebankan sengat untuk PR menanggungnya kerana itu kerusi BN, tetapi jika PKR bertanding, PR akan kalah 2-3 kali ganda lebih teruk dari itu.

Sementelah lagi AMK/PKR tidak mempunyai jentera untuk bergerak di DUN berkenaan berbanding PAS yang telah mempunyai tapak yang kukuh di Merlimau dibantu oleh MTD Sg Rambai, Serkam dan Rim.

Sekadar makluman, Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Melaka telah pun menyusun struktur organisasi pilihanraya bagi PRK Merlimau bagi mempastikan kemenangan PR.

Tiada ulasan: