3 Feb 2011

ADUN Sri Muda Didakwa Di Mahkamah Isnin

Adun Sri Muda bakal didakwa di mahkamah

Pagi ini beliau telah diminta untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan dibebaskan atas jaminan polis.

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda Shuhaimi Shafie dipercayai bakal didakwa atas Akta Hasutan di Mahkamah Sesyen Isnin depan, berhubung penulisannya di dalam blog yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pagi tadi, beliau telah diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam. Shuhaimi tiba kira-kira 11.10 pagi, ditemani peguam Lateefa Koya, ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Adun Sri Andalas Xavier Jayakumar.

Menurut Shuhaimi, beliau dibebaskan atas jaminan lisan oleh polis dengan seorang penjamin.

“Pihak polis menghubungi saya petang semalam untuk hadir ke balai. Saya dipanggil untuk ditangkap namun dibebaskan atas jaminan lisan oleh polis,” katanya yang ditemui media di luar perkarangan balai polis.

Lateefa menjelaskan pertuduhan masih belum jelas namun pihaknya diberitahu bahawa wakil rakyat itu akan didakwa dibawah Sesyen 4 (1) C.

“Kami diberitahu beliau (Shuhami) dituduh dibawah Seksyen 4(1)C. Kita kata pertuduhan ‘oppresive’ iaitu tiada objektif dan subjektif.

“Jika fikir punya ciri menghasut itu cukup untuk membawa pertuduhan di bawah Akta Hasutan,” jelas Lateefa.

Lateefa berkata pihaknya akan menunggu perkembangan pertuduhan pada Isnin ini.

Katanya jaminan lisan diberi polis bagi memastikan Shuhaimi hadir ke mahkamah Isnin ini dan jika gagal penjamin beliau iaitu Abdul Razak Ismail akan dikenakan denda RM2 ribu.

“Kita tunggu 7 Februari ini bagaimana pertuduhan dan lihat berapa jaminan.
“Bagi kami tindakan ini tidak patut dibuat dan akan protes terhadap apa-apa siasatan.

“Jaminan lisan pada hari ini bagi memastikan Shuhaimi hadir. Jika tidak tindakan akan dikenakan ke atas penjamin,” jelasnya.

Shuhaimi bakal didakwa Isnin ini jam 9 pagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Ketika ditanya sama ada akan hadir ke mahkamah Isnin ini beliau berkata “Insyallah akan hadir”.

Pendakwaan terpilih

Berhubung surat mengadap ke atas Sultan, beliau berkata masih tiada perkembangan lanjut berhubung hal itu.

“Setakat ini tiada maklumat terkini memandangkan Sultan tiada. Kita tunggu maklum balas Tuanku terlebih dahulu kerana buat masa ini tiada surat lain yang saya akan hantar,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid pula mendakwa tindakan ke atas Shuhaimi disifatkan sebagai berat sebelah.

“Tindakan ke atas beliau seolah-olah pendakwaan yang terpilih. Kenapa beliau menulis ringkas iaitu secara ‘subjective interpretation’ dikenakan tindakan tegas.

“Sedangkan Azmin Ali dalam sidang Dewan Undangan Negeri menjelaskan sejarah sejarah institusi raja diperlekehkan pemimpin Barisan Nasional.

“Disebabkan itu kita minta Tan Sri Abdul Gani Patail sepatutnya bertanggungjawab ke atas parlimen bukan arahan perdana menteri,” katanya. -FMT


ADUN Sri Muda hadapi pertuduhan Isnin

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, akan menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini Isnin ini, berhubung satu entri di dalam blognya yang didakwa telah menghina Sultan Selangor.

Beliau hadir ke balai polis hari ini untuk menyerah diri dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Semalam beliau telah diarahkan untuk hadir ke balai polis bagi ditahan.

Kira-kira 11.15 pagi ini, beliau dilihat memasuki perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan meninggalkan IPD tersebut lima minit kemudian.

"Saya menerima panggilan daripada polis kira-kira 7 malam semalam untuk hadir ke IPD Shah Alam untuk ditahan," katanya kepada pemberita setelah keluar daripada IPD itu.

Shuhaimi turut memberitahu bahawa beliau akan dihadapkan di Mahkamah Sesyen
Shah Alam pada 9 pagi Isnin ini bagi menghadapi pertuduhan.

Peguam beliau, Latheefa Koya berkata jaminan dengan seorang penjamin itu diberikan agar anak guamnya dapat hadir untuk menghadapi pertuduhan yang akan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan, Isnin ini.

"Jaminan ini ialah sebagai jaminan mulut iaitu sekiranya Shuhaimi gagal hadir ke mahkamah Isnin ini, maka penjaminnya harus membayar RM2,000," katanya.

Shuhaimi yang juga Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Kota Raja
mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan di dalam blognya pada 30 Disember tahun lalu yang didakwa telah mempertikai keputusan Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Beliau menafikan kenyataannya itu bertujuan untuk menghasut rakyat dan menghina Sultan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Zahedi Ayob, mengesahkan Shuhaimi dibebaskan dengan jaminan polis. - BERNAMA


1 ulasan:

Awanama berkata...

lepas ini akan kedengaran desas desus yang Adun ini akan berfikir untuk keluar dari PKR...sekarang boleh lagi laa cakap akan setia dan apa apa lagi...