22 Feb 2011

Bapa Fail Notis Usul Mohon Bedah Siasat Kedua

Shah Alam - Seorang bapa hari ini memfailkan notis usul memohon supaya bedah siasat kedua dijalankan ke atas mayat anaknya kerana mendakwa wujud unsur-unsur penderaan yang membawa kepada kematian anak perempuannya itu yang baru berkahwin lima bulan lalu.

M Subramaniam, 52, seorang pemandu lori, memfailkan notis itu melalui peguamnya, Gurmit Singh Hullon di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini. Subramaniam memohon perintah untuk satu bedah siasat kedua dan berkecuali dijalankan ke atas mayat anaknya, S Pakiam, 23, di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya oleh Pakar Patologi Forensik Dr Karunakaran Mathiharan.

Beliau juga memohon agar mayat Pakiam yang kini berada di Hospital Serdang dibawa ke PPUM dengan serta merta bagi tujuan bedah siasat untuk mengetahui sebab kematiannya mengikut Seksyen 328 Kanun Prosedur Jenayah.

Subramaniam juga antara lain memohon agar mahkamah mengarahkan satu inkues diadakan berkenaan kematian anaknya segera, selain memohon seorang peguam yang dipilih pihaknya dibenarkan menghadiri bedah siasat.

Dalam afidavit yang difailkan untuk menyokong permohonan itu, Subramaniam berkata, Pakiam baru berkahwin selama lima bulan secara 'diatur' dan semasa perkahwinannya, anaknya tidak mempunyai sebarang kelemahan daripada segi mental, fizikal atau kesihatan. -Bernama


BERITA SEBELUM INI


Gigi dicabut, tangan dicucuh

KUALA LUMPUR: Luluh dan hancur hati seorang bapa selepas anak perempuan yang dikahwinkan lima bulan lalu atas pilihan keluarga meninggal dunia dalam keadaan menyedihkan kerana terdapat kesan luka akibat dicucuh dengan rokok pada tangan selain kuku tangan dan giginya dicabut.

Lebih pilu, wanita berkenaan, S Pakiam, 23, dipercayai menamatkan riwayat dan penderiaan dialami dengan minum racun di rumah mentuanya di Padang Serai, Kulim, Kedah tiga hari lalu.

Mayatnya dihantar untuk bedah siasat di Hospital Kulim tetapi laporan dari hospital tidak menyatakan apa-apa mengenai punca kematian itu.

Bapa mangsa, M Subramaniam, 51, terpaksa menangguhkan upacara pengebumian anaknya itu selepas tidak berpuas hati dengan laporan perubatan hospital berkenaan.

“Saya hanya mendapat berita anak kedua saya itu meninggal dunia pada malam Sabtu lalu kira-kira jam 11.30 malam, selepas dihubungi seorang anggota polis dari Balai Polis Padang Serai.

“Anggota itu memaklumkan anak saya mati akibat minum racun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Puchong, di sini semalam.

Menurutnya, sekiranya anak perempuannya mati disebabkan bunuh diri kenapa laporan perubatan tidak tercatat sedemikian.

Katanya, lebih mengejutkan, pada mayat anaknya penuh dengan kesan dera seperti kuku dan gigi dicabut serta luka pada badan dicucuh rokok.

“Itulah penderitaan yang anak saya perlu lalui sebelum menghembuskan nafas terakhir dipercayai selepas didera,” katanya.

Subramaniam berkata, anaknya berkahwin dengan menantunya lima bulan lalu selepas keluarga masing-masing bersetuju menjodohkan mereka.

“Anak saya berkahwin dengan menantu selepas keluarganya (menantu) menyukai anak kedua saya itu dan kami terus bersetuju menyatukan mereka kerana beranggapan keluarga pihak menantu akan menjaganya dengan baik,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga kerap kali menghubungi anaknya itu, tetapi tidak dapat bercakap kerana keluarga mentua anaknya sering memberikan alasan dia tiada di rumah.

“Setiap kali menghubungi telefon Pakiam, orang lain akan menjawabnya dan mengatakan dia tiada di rumah atau sedang sibuk,” katanya.

Menurutnya, sebaik mengetahui berita sedih itu, dia sekeluarga pergi ke Padang Serai untuk menuntut mayat anaknya itu.

“Saya yang melihat keadaan mayat anak saya kemudian cuba membuat laporan polis berhubung kejadian itu selain tidak berpuas hati dengan laporan bedah siasat yang tidak menyatakan apa-apa tetapi polis enggan menerima laporan itu.

“Disebabkan itu kami terpaksa membawa pulang mayat Pakiam ke sini (Puchong) dan membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, pihaknya ada menerima laporan daripada keluarga mentua mangsa memaklumkan mangsa mati akibat minum racun.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -hm



Tiada ulasan: