17 Feb 2011

5 Pasangan Dicekup Di Malam Maulidir-Rasul

Batu Pahat – Lima pasangan dicekup Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat dalam satu Operasi Bersepadu Penutupan Pusat Hiburan dan Pencegahan Maksiat sempena malam Maulidur Rasul.

Timbalan Ketua Penguatkuasa Agama Daerah Batu Pahat, Mohd Anuar Kosnin berkata, turut ditangkap seorang warga Bangladesh bersama pasangannya warga Myanmar dan seorang penjawat awam.

Menurutnya, serbuan dilakukan di sekitar kawasan yang disyaki menjadi sarang maksiat seperti di hotel dan rumah tumpangan di sekitar daerah Batu Pahat serta Yong Peng.

“Semua yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 dan akan dikenakan denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

“Manakala dua daripada pasangan berkenaan turut dituduh di bawah Seksyen 23 (1) (2), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, kerana melakukan persetubuhan luar nikah.

“Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua pasangan terbabit boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau tiga tahun penjara atau lima kali sebatan atau ke semuanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Operasi yang melibatkan tujuh anggota dari pelbagai unit Pejabat Kadi Batu Pahat turut disertai Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Pejabat Daerah Batu Pahat dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Anuar, operasi yang dilakukan secara berterusan ini akan diteruskan khususnya pada cuti umum dan hujung minggu bagi mengelakkan perlakuan maksiat berleluasa terutamanya di kalangan remaja.

“Jika dahulu, suspek yang dicekup hanya didakwa kerana berkhalwat, tetapi kini ada antara mereka yang dicekup telah mengandung anak luar nikah,” katanya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan maksiat boleh menghubungi terus talian hotline Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat di nombor 07-434 1141.

Tiada ulasan: