17 Feb 2011

Calon PAS Untuk PRK Kerdau Sudah Ada

Pas Kawasan Kuala Krau menyenaraikan tujuh nama untuk dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Setiausaha Pas Pahang, Roslan Zainal bagaimanapun, enggan mendedahkan nama semua mereka yang diseranaikan itu.

“Sebahagian besar anak tempatan dan tiada calon wanita tersenarai. Mereka yang tersenarai terdiri daripada bekas pensyarah universiti, bekas pegawai kerajaan dan aktivis masyarakat,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Roslan berkata, nama-nama yang tersenarai akan dibawa ke peringkat negeri untuk diputuskan di peringkat Pusat yang akan bermesyuarat Jumaat ini.

Beliau hanya menyebut seorang yang disahkan tersenarai, iaitu Hassanuddin Salim, bekas calon Pas yang tewas kepada Allahyarham Datuk Zaharuddin Kassim pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Sinar Harian juga difahamkan oleh sumber rapat Pas Kawasan, nama Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi, juga antara nama yang disebut-sebut layak menjadi calon Pas.

Di samping itu, nama Naib Presiden Pas Pusat, yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat oleh beberapa pemerhati politik tempatan, berkemungkinan terdapat dalam senarai calon itu.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Roslan berkata, dari segi persiapan PRK itu pihaknya akan menggerakkan sepenuhnya jentera bagi merampas DUN Kerdau.

“Pas akan bekerja keras menawan Kerdau yang dikenali sebagai DUN bersejarah kerana di sini lahirnya Pas Pahang bersama pengasasnya, Mohd Yassin Salleh,” katanya.

Roslan berkata, Pakatan Rakyat Pahang juga telah menyatakan persetujuan dan memberikan sokongan penuh untuk Pas meletakkan calon pada PRK Kerdau.

Mengulas calon yang disenaraikan BN di Kerdau, Roslan secara peribadi berpendapat Pegawai Khas Menteri Besar Syed Ibrahim Syed Ahmad adalah calon yang sesuai.

Menurutnya, Syed Ibrahim berperwatakan agama masih muda adalah calon yang dijangka akan diletakkan BN di Kerdau.

Kerusi DUN kawasan Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, akibat serangan jantung Sabtu lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagaimanapun masih belum memutuskan tarikh pilihan raya kecil di kawasan berkenaan.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon Pas Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi. -SH

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sekejap lagi keluar berita PKR mahu tanding kerusi Kerdau.

Tanpa Nama berkata...

Dua tiga PRU yang lalu,PKR memang bersungguh-sungguh benar hendakkan banyak kerusi.Akhirnya meletakkan calun-calun yang tak ada kaliber dan calun-calun katak.Sekarang semua dah tahu akibatnya.DiWP misalnya,PAS minta hanya 3 kawasan tapi cuma dapat satu.Calun PKR diWangsa Maju bukan hakikatnnya ahli PKR,akhirnya jadi katak.Kalau semua ni tidak mendatangkan pengajaran kepada Azmin Ali,tak tahulah.