28 Jan 2011

[Video & Bergambar] Selepas Mesir, Rakyat Yaman Pula Protes Desak Presidennya Turun

Pemberontakan landa Yaman

TAWAKUL Karman yang merupakan aktivis hak asasi manusia dan anggota sebuah parti pembangkang Yemen turut serta dalam tunjuk perasaan di Sanaa mendesak Presiden negara itu berundur, kelmarin. - REUTERS

SANAA 27 Jan. - Beribu-ribu rakyat Yemen menunjuk perasaan di ibu negara ini hari ini mendesak Presiden Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan setelah memegang kuasa sejak 1978.

Penunjuk perasaan melaungkan slogan antikerajaan dan menyebut tentang penyingkiran Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali baru-baru ini.

"Memegang kuasa selama lebih 30 tahun sudah cukup," laung penunjuk perasaan dalam demonstrasi anjuran pembangkang Forum Bersama di empat lokasi di sini.

Kata mereka, Ben Ali tersingkir selepas hanya 20 tahun.

"Forum Bersama teruskan perjuangan. Sudah tiba masa untuk perubahan," menurut sepanduk yang dibawa dalam protes itu.

Seorang aktivis Forum Bersama berkata, demonstrasi itu diadakan di empat lokasi berbeza di ibu negara dengan tujuan untuk mengalihkan perhatian pasukan keselamatan.

Satu kawasan yang dipilih ialah di luar Universiti Sanaa.

Sabtu lalu, ratusan pelajar universiti itu mengadakan dua protes berasingan di kampus, dengan satu kem menuntut Saleh berundur manakala satu lagi mahu beliau mempertahankan jawatannya.

Penganjur protes hari ini menggesa pelajar dan pertubuhan sivil menunjuk perasaan menentang rasuah dan dasar ekonomi.

Rakyat Yemen merungut mengenai kadar kemiskinan yang semakin meningkat di kalangan penduduk yang makin bertambah dan kekecewaan dengan ketiadaan hak bersuara dalam politik di negara ini.

Seorang aktivis hak asasi yang juga anggota parti Islah iaitu parti pembangkang Yemen, Tawakul Karman dilihat menyertai tunjuk perasaan semalam, dua hari selepas dibebaskan.

Wanita itu ditahan Ahad lalu kerana mengetuai bantahan terhadap presiden Yemen dan dibebaskan dengan jaminan keluarganya pada Isnin lalu. - AFP











2 ulasan:

Amuraria berkata...

RAKYAT DUNIA SEMAKIN MAHU KETELUSAN DAN KEJUJURAN,SEMUA REJIM PERASUAH DAN PENYELEWENG AKAN RANAP AKHIRNYA !
BERAPA LAMA RAKYAT BOLEH DIKELENTONG ? HANYA LEMBU DAN KERBAU SAJA YANG SANGGUP !

Tanpa Nama berkata...

Ha! Tunisia,Mesir dan sekarang Yaman.Nampaknya rejim-rejim yang dah lama memerintah sudah lupus tarikh kegunaannya.Sekian lama jual koyok,kelentong rakyat,nampaknya rakyat sudah mula buka minda.Pemimpin-pemimpin rejim lama ni buat harta negara sebagai harta bapak mereka.Satu pengajaran kepada UMNO(khususnya Rosmah FLOM)dan BN amnya.Siap-siaplah beg untuk cabut.