28 Jan 2011

[Video] PAS Tambun Buat Laporan Polis Terhadap Chua Soi Lek

PAS Kawasan Tambun (Muslimat) telah membuat laporan polis terhadap Presiden MCA, Chua Soi Lek yang telah menghina Islam di dalam kempen pilihanraya kecil DUN Tenang.

Tindakan Chua telah menghina Islam apabila secara sindiran membuat perbandingan cara Normala bersalaman dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa berkempen di Tenang.

Menjawab soalan wartawan Chua Soi Lek merangkap Presiden MCA itu dalam nada yang marah tetap menegaskan pendiriannya bahawa norma yang diamalkan oleh wanita Islam bagi mengelakkan persentuhan kulit dalam berjabat tangan itu adalah bertentangan dengan asas budaya dan kesopanan dalam berjabat tangan.


LAPORAN POLIS

Kami ingin membuat laporan tentang kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek di atas kenyataannya memperlekehkan ajaran Islam yang mengharamkan persentuhan antara lelaki dan perempuan. Kenyataan ini telah menghina umat Islam dan patut disiasat di bawah Akta Hasutan. Kenyataan ini telah disebut dalam kempen pilihanraya kecil DUN Tenang di Kuil Budha San Ti Shu dalam kawasan Labis pada tarikh 20 Januari 2011 di dalam artikel Malaysia Kini versi Bahasa Enggeris. Beliau telah merujuk kepada penampilan calon PAS, Normala Sudirman yang diandaikan tidak akan bersalam dengan pengundi-pengundi lelaki. Siapakah Datuk Seri Chua Soi Lek untuk mempertikaikan hukum Islam. Kenyataan ini juga boleh menimbulkan ketidakselesaan dan telah menyentuh sensitiviti umat Islam.

HADIS NABI YANG MENGHARAMKAN BERSENTUHAN ANTARA LELAKI DAN WANITA :

“Demi Allah, tidak pernah sekalipun tangan Nabi s.a.w. menyentuh tangan wanita semasa berbai’ah. Baginda tidak membai’ah mereka melainkan dengan ucapannya sahaja” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Dari Ma’qal bin Yasar r.a.; bahawa Nabi s.a.w. bersabda;
“Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal untuknya” (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi)


“Saya telah hidup dikalangan awam selama bertahun-tahun, itu sebahagian dari budaya dan sopan santun dalam berjabat tangan” kata Chua.

Sebelum ini Chua itu telah mempersendakan tindakan Calon PAS Cikgu Normala yang tidak berjabat tangan dengan jantina yang berlawanan dan membandingkannya dengan amalan yang sama yang dipraktikkan oleh Presiden PKR Dr Wan Azizah.

Chua juga telah berkata "Dia tidak akan datang ke sini (sebuah kuil China), dia bahkan tidak berjabat tangan dengan orang ramai. Saya telah menerima aduan tentang hal ini.

"Dia seperti isteri Anwar Ibrahim. Dia memakai sarung tangan ketika ia berjabat tangan. Jika anda boleh menerima jenis nilai-nilai Islam ini , teruskan dan pilihlah PAS, "katanya.

Hal ini kemudiannya disambung pula oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Menteri Hal Ehwal Pengguna Tan Lian Hoe dari GERAKAN yang membidas Cikgu Normala dengan berkata amalan Normala itu adalah bukti bahawa PAS bertujuan untuk menubuhkan sebuah Negara Islam yang bercorak melampau.

Setiausaha Agong PAS juga sebelum ini telah mengulas tindakan melampau Chua tersebut.


Berikut adalah kenyataan penuh Mustafa.

Saya terpanggil untuk memberikan komen dan pandangan saya bagi pihak PAS terhadap komen yang dibuat oleh Datuk Seri Chua Soi Lek, Presiden MCA terhadap isu bersalam.

PAS mengucapkan tahniah dan syabas kepada Normala Sudirman kerana tidak menggadaikan prinsip dan disiplin perjuangan untuk kepentingan politik sementara.

Normala berjaya tonjolkan disiplin Islam di tengah-tengah masyarakat dengan penuh yakin walaupun mungkin kehilangan satu dua undi orang di sekeliling Chua Soi Lek. Tak usah bimbang kerana masyarakat umum yang mengenali PAS memahami soal ini.

Ia bukan perkara baru dalam PAS. Semua pemimpin muslimat PAS samada calon atau tidak calon berpendirian yang sama seperti Normala. Samada Dr Mariah Mahmood (MP Kota Raja) atau Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (MP Titiwangsa) dan lain-lain wakil rakyat PAS pun berpendirian yang sama hatta Datuk Seri Dr Wan Azizah pun berpendirian yang sama.

Apa sebab Chua menjadikan isu sebagai pendiriannya dan MCA. Bagi saya, ada dua sebab.

Yang pertama Chua rasa pelik kerana sepanjang puluhan tahun bergaul dengan pemimpin Umno, samada pemimpin wanita atau isteri pemimpin Umno, dia tidak pernah melihat apa yang diperlihatkan oleh Normala.

Ini bagi saya kegagalan Umno kerana tidak memahamkan perkara ini kepada pemimpin bukan Islam yang bersama mereka. Saya tidak fikir wanita Umno tidak tahu dari segi hukumnya.

Yang kedua sikap Soi Lek sendiri yang tidak dapat membezakan mana yang dianggap bermoral dan mana yang tidak. Sebab itu, berlakun filem seks pada orang lain tidak bermoral tetapi bagi dia dan partinya MCA tidak ada apa-apa. Sebab itu dia terus menang menjadi presiden MCA.

Sepatutnya pemimpin Umno perlu ingatkan kawan mereka yang bukan Islam supaya hormati hak orang Islam sebagaimana orang Islam hormati hak orang bukan Islam. Kita tidak cemuh orang bukan Islam khususnya Cina yang makan babi misalnya kerana itu hak mereka dan banyak lagi contoh-contoh lain yang boleh
diambil.

Ia berbeza sekali dalam Pakatan Rakyat apabila pemimpin DAP dan pemimpin bukan Islam dalam PKR cuba memahami dan mendekati Islam. Ia diperlihatkan dengan baik dalam isu bukan Islam memasuki masjid, membaca al-Quran dan memberi salam.

Datuk Mustafa Ali
Setiausaha Agung PAS






Tiada ulasan: