26 Jan 2011

Guan Eng Bidas Soi Lek Takutkan Bukan Islam Tentang Islam

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa MCA membangkitkan isu negara Islam dalam kempen pilihan raya kecil Tenang kerana mahu menghalang bukan Islam daripada mengenali Islam.

Beliau berkata tindakan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyerang PAS dengan membangkitkan isu negara Islam semata-mata mahu menimbulkan rasa “ketakutan” di kalangan bukan Melayu di Tenang terutamanya orang Cina.

“Dia (Dr Chua) tak mahu kita tahu antara satu sama lain, sebab itu tidak mahu kita kenali Islam.

“Memang itu yang mereka mahu, itu yang pemimpin MCA mahu.

“Ia penting, tapi kita tidak bimbang jika MCA gunakan isu negara Islam kerana isu ini dah digunakan sejak pilihan raya 2008 lagi,” katanya pada sidang media di sini.

Terdahulu, Dr Chua berkata akan terus menyerang PAS dengan memberi amaran kepada pengundi-pengundi bahawa sokongan mereka hanya akan memperkukuh kedudukan parti Islam itu dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata berkata meskipun DAP menjadi rakan komponen dalam Pakatan Rakyat parti itu tidak mampu menghalang PAS daripada meneruskan dasar negara Islamnya.

“Jika Pakatan (Rakyat) menang di peringkat persekutuan, yang saya rasa tidak mungkin, PAS akan menjadi ketua, selaku parti yang ada lebih banyak sumber berbanding DAP dan (Parti) Keadilan (Rakyat),” katanya.

Baru-baru ini Dr Chua berhadapan dengan kecaman PAS kerana mendakwa calonnya Normala Sudirman enggan bersalaman dengan pengundi lelaki.

Menurut Lim, Umno dan MCA yang merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) akan terus memainkan isu-isu yang akan menyebabkan sokongan rakyat beralih kepada pengundi daripada Pakatan Rakyat.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu menegaskan Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP tidak mempergunakan antara satu sama lain.

“MCA akan dendangkan lagu dengan mengatakan kita adalah alat yang diperkudakan PAS kepada pengundi Cina.

“Tapi Umno pula akan kata PAS diperkudakan DAP kepada pengundi Melayu, saya nak tegaskan di sini PAS tidak perkudakan DAP, DAP tidak perkudakan PAS. Kita dalam Pakatan Rakyat tidak perkudakan sesiapa.

“Ada kata DAP dimelayukan kerana cakap bahasa Malaysia, kita rakyat Malaysia jadi kenapa tidak bercakap bahasa Malaysia. Lagipun bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi negara,” katanya.

Menurut Lim, Pakatan Rakyat akan menghadapi setiap serangan yang akan dilakukan BN dalam kempen pilihan raya kecil kawasan itu.

“Apa yang penting adalah kita memperjuangkan prinsip kebebasan, keadilan dan demokrasi untuk semua.

“Kita akan hadapi mereka dengan berlandaskan kebebasan, keadilan dan demokrasi,” katanya.

“Ia (salam) tidak perlu dibangkitkan dan Dr Chua tidak harus membuat serangan peribadi.

“Itu adalah pilihan Normala, kalau nak buat serangan peribadi kita pun boleh buat tapi kita tidak mahu.

“Saya harap Soi Lek faham, jangan nanti makan tuan,” katanya.


Amaran Soi Lek: Undi PAS hanya kukuh kedudukannya di Pakatan

LABIS, 25 Jan — MCA, rakan Umno dalam Barisan Nasional (BN), terus menyerang PAS dengan hari ini memberi amaran kepada pengundi-pengundi bahawa sokongan mereka hanya akan memperkukuh kedudukan parti Islam itu dalam Pakatan Rakyat (PR).

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata meskipun DAP menjadi rakan komponen dalam PR parti itu tidak mampu menghalang PAS daripada meneruskan dasar negara Islamnya.

“Jika Pakatan menang di peringkat persekutuan, yang saya rasa tidak mungkin, PAS akan menjadi ketua, selaku parti yang ada lebih banyak sumber berbanding DAP dan Keadilan," kata Dr Chua pada sidang media di sini hari ini.

Baru-baru ini Dr Chua berhadapan dengan kecaman PAS kerana mendakwa calon PAS Normala Sudirman enggan bersalaman dengan pengundi-pengundi lelaki.

Perkasa dan Mufti Perak menggesa Dr Chua memohon maaf atas alasan kenyataannya menghina umat Islam negara ini.

Pagi tadi PAS menerusi Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali meminta Umno menasihatkan MCA supaya menghormati adat dan tatatertib orang Islam.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan komponen BN termasuk MCA supaya tidak bergantung kepada isu bersalam calon wanita PAS, sebaliknya memberi tumpuan ke atas isu-isu lain.

Isu negara Islam dibawa PAS juga menjadi bahan kempen di Tenang, sebagaimana disaksikan dalam kebanyakan pilihan raya umum sebelum ini dan ketika kebanyakan pilihan raya kecil sejak Mac 2008.

PAS, DAP dan PKR membentuk Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Bekas menteri kesihatan itu turut merujuk kepada kerajaan negeri Perak di mana Adun PAS Datuk Seri Nizar Jamaluddin dijadikan menteri besar meskipun DAP menguasai 18 kerusi negeri manakala PAS pula enam dan PKR tujuh.

“Gabungan kerusi Keadilan dan PAS juga tidak dapat mengatasi DAP, tetapi PAS menjadi MB,” kata Dr Chua.

“Jadi, PAS berupaya untuk memperluaskan sayapnya dari Kelantan ke Kedah dan Perak walaupun di Perak, saya pasti sekurang-kurangnya 45 peratus penduduk adalah Cina,” kata beliau.

PAS memerintah Kelantan sejak 1990.

Ditanya mengenai kemajuan dicapai MCA di kawasan-kawasan masyarakat Cina sejak kempen bermula Sabtu lalu, Dr Chua berkata, beliau tidak suka membuat spekulasi.

“Jangan buat spekulasi, kami perlu fokus pada perkara-perkara yang konkrit. Apa gunanya membuat spekulasi 60 peratus, 75 peratus, yang paling penting jentera mesti terus bekerja kerjas,” kata bekas ahli Parlimen kawasan Labis.

Pada 2008 beliau digantikan oleh anaknya bertanding di Labis.

MCA dikatakan berhadapan dengan tekanan untuk menguasai untuk menguasai sokongan komuniti Cina menjelang hari pengundian Ahad ini.

Pada pilihan raya umum 2008, BN memenangi kerusi DUN Tenang dengan hanya 42 peratus sokongan pengundi Cina.

Daripada lebih 14,000 pengundi, seramai 39 peratus merupakan pemilih kalangan masyarakat Cina.

Pengundi Melayu terdiri daripada 47 peratus manakala orang India pula 12 peratus.




Tiada ulasan: