14 Jan 2011

Apakah Ini Bererti Anwar Semakin Dekat Ke Pintu Penjara?

Rayuan Anwar Minta Hakim Tarik Diri Ditolak

PUTRAJAYA: Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tetap didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ketua Pembangkang itu untuk mengenepikan keputusan hakim itu enggan menarik diri daripada mendengar perbicaraan itu.

Panel tiga hakim terdiri Hakim Datuk Wira Low Hop Bing, Hakim Datuk Abdul Malik Ishak dan Hakim Datuk Ahmad Maarop sebulat suara memutuskan bahawa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi (menolak permohonan Anwar supaya Mohamad Zabidin menarik diri), tidak boleh dirayu.

Panel itu menerima bantahan awal yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Hanafiah Zakaria bahawa keputusan itu tidak boleh dirayu sepertimana ketetapan Seksyen 50 (1) (a) dan Seksyen 3, Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Mohamad Hanafiah dalam hujahnya berkata Anwar tidak mempunyai hak untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kerana keputusan itu dibuat semasa perbicaraan sedang berjalan yang tidak melupuskan sepenuhnya hak pihak berkenaan.

Hakim Low hari ini berkata mahkamah berpendapat keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat ketika perbicaraan sedang berlangsung.

"Oleh yang demikian kami memutuskan bahawa mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan itu, begitu juga Anwar tidak mempunyai hak untuk merayu di peringkat interlokutori di Mahkamah Tinggi.

Kami menerima bantahan awal pihak pendakwa dan menolak rayuan ini," katanya.

Hakim Mohamad Zabidin pada 6 Dis tahun lepas menolak permohonan kedua Anwar supaya beliau menarik diri daripada mendengar perbicaraan liwatnya.

Anwar, 63, membuat permohonan itu atas alasan hakim telah mengugut peguam belanya semasa prosiding lepas dan walaupun hakim telah menarik balik ugutan seperti didakwa itu, wujud bahaya akan berlaku berat sebelah sekiranya hakim terus mendengar kes itu.

Mohamad Zabidin turut menolak permohonan pertama Anwar supaya beliau menarik diri, yang difailkan atas alasan mungkin berlaku berat sebelah sekiranya Mohamad Zabidin enggan melayani permohonan peguam belanya untuk mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap Utusan Malaysia berhubung dua artikel yang disiarkan akhbar itu.

Anwar memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi tetapi kemudian menariknya balik.

Anwar dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, bekas pembantunya, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Kes itu dijadualkan untuk pengurusan kes pada Isnin.

Terdahulu, peguam yang mewakili Anwar, Karpal Singh menggesa mahkamah menolak bantahan awal pihak pendakwa kerana menurutnya keputusan Mahkamah Tinggi boleh dirayu kerana ia merupakan perintah muktamad.

Katanya jika Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar kes itu, masalah berhubung perkara itu akan berakhir. - BERNAMA

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Letak hakim mana pun, sama saja keputusannya.

Tanpa Nama berkata...

Apa pun keputusan, nampaknya ia tidak akan menyebelahi Anwar.