18 Dis 2010

Pemuda PAS Edar Risalah Protes Kenaikan 4-dalam-1

Pemuda PAS edar risalah protes kenaikan 4-dalam-1

PAS memulakan kempen memprotes kenaikan harga 4-dalam-1 dengan mengedar risalah kepada pengunjung gedung membeli-belah di ibu kota lewat petang ini.

Kempen berkenaan dijalankan oleh lebih 10 orang anggota pergerakan pemuda PAS Selangor dan Wilayah Persekutuan di kawasan yang menjadi tumpuan ramai pembeli di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Kempen itu diadakan bagi menuntut kerajaan membatalkan kenaikan harga petrol, diesel, gas dan gula pada 3 Disember lalu.

Risalah berkenaan antara lainnya menyebut "rakyat bantah kerajaan BN kurangkan subsidi dan naikkan harga gas RM1.90 (naik 5 sen), gula RM2.10 (naik 5 sen), minyak ron 95 (naik 5 sen) dan minyak diesel RM 1.80 (naik 5 sen)."

Selain itu, ia turut membangkitkan kesan daripada peningkatan harga barang keperluan berkenaan.

"Apa kesannya? Harga teh tarik naik, tambang bas naik, khidmat kesihatan semakin mahal, yuran sekolah semakin tinggi," kandungan risalah itu dipetik.

Ketua penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Fadhil Osman yang mengetuai program berkenaan berkata, pergerakan itu pada awalnya bercadang untuk mengadakan demonstrasi bagi menyuarakan bantahan berkenaan, tetapi kemudiannya memutuskan untuk menjalankan program mengedar risalah sahaja.

"Cukuplah sekadar kami mengedarkan risalah kerana impak lebih berkesan dapat (melalui) edar risalah dan menyebarkan maklumat terus kepada masyarakat berbanding demonstrasi," kata Fadhil lagi ketika ditemui di situ.

Tambahnya, program itu juga merupakan satu kejayaan apabila kira-kira 2,000 risalah berkenaan berjaya diedarkan dalam program berkenaan.

"Saya rasa kehadiran anggota polis ramai pada hari ini mungkin mereka fikir kita akan adakan demo agaknya. (Tapi) mereka tak ganggu kita edar risalah," katanya lagi dengan berseloroh.

Fadhil berkata demikian ketika mengulas kehadiran kira-kira lebih 10 orang anggota polis yang berkawal di luar perkarangan Kompleks Sogo sejak jam 4.15 petang lagi. -mk

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tolong edarkan di sabah dan sarawak..
kami mahu juga ba...
nanti kami perbanyakkan...
tawau da ready ni...