18 Dis 2010

5 Leaks Lagi Muncul Selepas WikiLeaks

OpenLeaks, Brussels Leaks, TradeLeaks, Balkan Leaks, IndoLeaks beroperasi

Gambar: ASSANGE menunjukkan kertas mahkamah mengizinkannya dibebaskan atas ikat jamin di Mahkamah Tinggi, London.

LONDON: Web pembocor maklumat, WikiLeaks, kini menjadi inspirasi kepada orang lain untuk turut mewujudkan portal yang menjalankan fungsi sama seperti Julian Assange.

Amerika Syarikat dan pihak berkuasa lain sudah bertindak bagi menghukum WikiLeaks dan Assange atas penyiaran beribu-ribu kabel diplomatik yang memalukan Washington kerana mencetuskan pelbagai perbahasan mengenainya di seluruh dunia.

Assange yang mengasaskan WikiLeaks pada 2006 baru dibebaskan daripada tahanan di London selepas dibenarkan ikat jamin berhubung kes pencabulan wanita di Sweden.

Ketika diwawancara majalah Forbes, beliau berkata: “Memang benar, bukan mudah untuk melakukannya tetapi kami akan rasa dibantu jika lebih ramai orang terbabit dalam industri ini.”

Hasilnya, sejak beberapa minggu lalu, lima lagi web berteraskan misi membocor maklumat wujud iaitu OpenLeaks, Brussel Leaks, TradeLeaks, Balkan Leaks dan IndoLeaks.

OpenLeaks diwujudkan oleh bekas pembantu Assange, Daniel Domscheit-Berg. Web itu masih belum ada apa-apa kandungan kecuali logo berbunyi ‘Coming Soon.’
Domscheit-Berg enggan membincangkan sebab membuka portal baru tetapi menuduh WikiLeaks keluar daripada misi asal.
Domscheit-Berg berkata, OpenLeaks sudah ada di Twitter dan memulakan tugas awal 2011.

Brussels Leaks pula sudah ada laman web dan Twitter bertujuan mendedahkan perkara tersembunyi dalam sistem Kesatuan Eropah (EU).

“Ianya bertujuan mendedahkan maklumat penting kepada umum. Itulah sebabnya kami akan ‘senyap’ untuk beberapa minggu,” kata laman web itu.

Web TradeLeaks sudah ditonton 60,000 kali beberapa jam selepas dilancarkan bertujuan membocorkan maklumat perniagaan. Ia diasaskan oleh Ruslan Kogan, pemilik perniagaan elektronik Australia, Kogan Technologies.

Balkan Leaks pula dibentuk oleh Atanas Chobanov, seorang ekspatriat Bulgaria di Paris, bertujuan mempromosi ketelusan dan memerangi rasuah di rantau Balkan.

Pengguna boleh menghantar dokumen ke laman itu menerusi sistem rahsia yang hanya disiarkan kepada umum selepas disahkan. Moto organisasi itu ialah ‘Rantau Balkan tiada lagi rahsia.’

Laman IndoLeaks sudah menyiarkan laporan bedah siasat tragedi negara pada 1965 yang dianggap dokumen kontroversi, lapor akhbar Jakarta Post.

Ia juga menyiarkan dokumen sensitif mengenai perbincangan Timor Leste pada 1975 antara bekas Presiden Indonesia, dengan bekas Presiden Amerika, Gerald Ford. – Agensi

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mungkinkah ini permulaan kepada pengwujudan undang2 pengawalan internet diperingkat dunia?
kita tunggu dan lihat